Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri Kedah mengekalkan padang ragut di Kampung Kubang Palas dekat Kuala Nerang di sini untuk 200 penternak di kampung itu. Langkah tersebut amat wajar kerana para penternak terbabit merupakan penduduk asal dan aktiviti penternakan di sini juga telah dilakukan sejak turun temurun lagi di samping memberi banyak sumbangan kepada ekonomi negara dan bekalan daging untuk rakyat di negeri ini.
CAP amat bersimpati dengan nasib penternak-penternak di sini kerana padang ragut mereka seluas 320 ekar telah dipajak kepada syarikat perladangan untuk tanaman getah dan kelapa sawit. Tindakan sedemikian bukan saja akan menimbulkan berbagai masalah, malah mereka juga akan terputus sumber pendapatan pada masa akan datang. Dimanakah 1,500 ekor binatang ternakan lembu, kerbau dan kambing kepunyaan penternak-penternak di kampung ini hendak makan rumput jika padang ragut dipajak kepada syarikat perladangan. Kalau tukar gunatanah ini berlaku para penternak yang terlibat akan kehilangan modal lebih RM 4 juta dan pendapatan tahunan antara RM20 ribu hingga RM60 ribu seorang.
CAP berpendapat para penternak di kampung ini perlu dibantu dengan berbagai kemudahan untuk mereka meneruskan aktiviti tersebut. Selain kerajaan Kedah, CAP juga meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani campurtangan bagi menyelesaikan masalah yang berlaku. Galakan harus diberikan kepada penternak-penternak bukan saja di kampung ini tetapi juga di seluruh negara bagi menampung keperluan daging segar untuk pengguna serta mengawal kenaikan harga secara mendadak dan menghindarkan para pengguna dari memakan daging import yang kurang kualitinya.
CAP kesal walau pun masalah padang ragut ini sudah lama dihadapi oleh penternak-penternak di sini tetapi hingga sekarang tidak ada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan bagi mengatasinya. Berikutan itu para penternak terbabit merasa bimbang memikirkan nasib mereka dan masa depan generasi akan datang jika aktiviti ternakan yang diwarisi sejak dahulu terhenti akibat ketiadaan padang ragut.
CAP berharap kerajaan Kedah dan kementerian berkenaan dapat menunaikan tuntutan para penternak di sini supaya padang ragut yang pernah diwartakan sebagai rizab ternakan pada tahun 1968 dikekalkan di kampung itu. CAP akan menghantar surat rasmi kepada pihak berkenaan untuk menggesa masalah ini ditangani segera. CAP percaya jika keadaan ini dibiarkan berterusan bukan saja para penternak di kampung ini akan mengalami berbagai masalah dan kesempitan hidup, malah sektor pertanian negara dan bekalan daging untuk para pengguna juga akan terjejas pada masa depan.
Sidang Media, 27hb Ogos 2015