Ketika Kesatuan Eropah (EU) beralih kepada pergigian bebas merkuri 100%, masyarakat sivil Asia mendesak agar perdagangan amalgam ditamatkan pada masa yang sama.
Amalgam pergigian yang mengandungi 50% merkuri, adalah toksik dan tidak konsisten dengan persekitaran dan pergigian moden. Selepas sedekad kajian dan larangan sebahagian daripadanya, Kesatuan Eropah nampaknya bersedia untuk menetapkan tarikh tamat penggunaannya, seperti mana yang berlaku di tempat lain di dunia.
Tetapi masih dalam pertimbangan sama ada untuk membenarkan perdagangan amalgam ke negara-negara membangun, jadi masyarakat sivil Asia menggesa agar perdagangan amalgam mesti ditamatkan serentak dengan penggunaan amalgam.
Empat belas NGO alam sekitar dari sepuluh negara Asia, termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Eropah (EC) pada 5 Oktober 2022 menggesa supaya dihentikan eksport amalgam pergigian dari Eropah.
Sudah terlalu lama syarikat Barat menjual produk toksik kepada negara Asia dan Afrika selepas mengharamkannya di dalam negara mereka. Sikap pilih kasih (double standard) ini tidak lagi boleh diterima.
Di seluruh Asia, kerajaan dan masyarakat sivil sedang berusaha untuk beralih daripada amalgam dan ke arah pergigian bebas merkuri. Filipina, Nepal dan Indonesia telah mengguna pakai penghapusan sepenuhnya penggunaan amalgam mengikut jadual waktu. Vietnam telah menamatkan penggunaan amalgam untuk kanak-kanak dan wanita hamil dan menyusu.
Di Malaysia, terdapat sekatan tertentu terhadap penggunaan amalgam, contohnya dielakkan bagi kumpulan berisiko tinggi di mana boleh. Program Kesihatan Pergigian Malaysia terus menyokong pengurangan tampalan amalgam tetapi belum menetapkan sasaran masa. Sehubungan itu, CAP telah menggesa kerajaan Malaysia untuk menamatkan penggunaan amalgam pergigian untuk pesakit di bawah 15 tahun, dan wanita hamil dan menyusu.
Eksport amalgam ke Asia mungkin mengakibatkan kebanyakan merkuri daripada amalgam dilepaskan ke dalam alam sekitar kerana di banyak tempat tidak terdapat infrastruktur kawalan sisa yang mencukupi dan kerana kawalan sisa tidak memadai untuk melindungi alam sekitar daripada amalgam.
Dalam usaha untuk melindungi rakyat dan alam sekitar, kita mestilah menamatkan semua penggunaan amalgam. Oleh itu, 14 pertubuhan masyarakat sivil Asia menggesa Kesatuan Eropah untuk melakukan bahagiannya dengan menamatkan perdagangan amalgam.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 13 Oktober 2022