Mempertahankan Wilayah, Mempertahankan Hidup Kita

Hari ini, pada Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa, Sahabat Alam Asia Pasifik (FoE Asia Pacific) melancarkan penerbitan terbaharu, Defending Territories, Defending Our Lives – satu peringatan yang serius bahawa setiap hari di mana sahaja di atas muka bumi ini, pembela hak asasi manusia alam sekitar (EHRD) diancam, difitnah, diserang atau dibunuh kerana mempertahankan wilayah mereka. Penerbitan ini mendedahkan tujuh kajian kes daripada ahli kumpulan Sahabat Alam di rantau ini yang menunjukkan dalam sesetengah kes, pembela hak asasi manusia yang terpaksa hidup dalam keadaan yang ekstrim untuk mempertahankan diri mereka sendiri, keluarga dan wilayah di mana mereka tinggal.

Di Bangladesh, penduduk yang tinggal di Khulna, sebahagian daripada Sundarbans ditindas kerana menyuarakan kebimbangan terhadap pembinaan Loji Tenaga Arang Batu Rampal yang terletak dalam lingkungan hutan bakau terbesar di dunia. Cadangan untuk membina landasan keretapi berkelajuan tinggi dari Bandung ke Jakarta di Indonesia mengakibatkan ramai penduduk kehilangan rumah mereka. Proses awal pengambilan tanah telah dicemari dengan ugutan dan manipulasi oleh pegawai tempatan, menafikan penyertaan sebenar pemilik tanah tempatan.

Sementara itu di Malaysia, komuniti nelayan kehilangan wilayah perikanan mereka kepada projek tambak laut yang besar di Pulau Pinang. Mereka di ambang kehilangan kehidupan mereka selamanya dan kehidupan laut juga akan musnah. Di Palestin, komuniti yang hidup di kota Hebron menderita pencemaran radiasi akibat lambakan sisa nuklear oleh Israel.

Manakala di Rusia, syarikat transnasional milik negara, Rosatom, dengan aktif mengeksport teknologi membunuh seperti nuklear ke banyak negara di seluruh dunia, walaupun banyak bencana dan kesilapan yang berkaitan nuklear berlaku yang masih belum diselesaikan. Mereka yang mengkritik Rosatom diancam dengan tuduhan mengintip dan dilabelkan sebagai ejen negara asing.

Di Sri Lanka kini adalah haram untuk membantah terhadap isu longgokan sampah yang mencemarkan banyak komuniti tempatan di seluruh negara yang bimbang mengenainya. Akhirnya di Filipina, yang mempunyai bilangan pembunuhan di luar bidang kehakiman yang tertinggi di rantau Asia Pasifik – 39 orang dibunuh pada 2018 sahaja, syarikat penanaman kopi merampas tanah yang subur daripada penduduk asli, mengancam, mengganggu dan membunuh pemimpin komuniti dalam proses rampasan tersebut.

Kes-kes ini adalah cerminan dominasi paradigma ekonomi neoliberal yang menjana peningkatan ketaksamaan, kebuluran, kehilangan demokrasi, kerosakan wilayah dan kehidupan, perubahan iklim yang memusnahkan, kehilangan biodiversiti, perampasan tanah dan peningkatan pencabulan hak asasi manusia oleh korporat.

Sistem neoliberal semasa mengeksploitasi manusia untuk keuntungan dan memudahkan korporat terlepas daripada hukuman, mengakibatkan keganasan terhadap mereka yang menyuarakan dan mempertahankan diri dari kuasa politik dan ekonomi. Untuk menghentikan keganasan ini dalam jangka panjang kita mestilah mengubah sistem ini. Kita perlu mewujudkan masyarakat mampan dan hubungan baharu antara manusia, dan antara manusia dan alam, berasaskan kesaksamaan dan timbal balik tetapi untuk mewujudkan masyarakat ini dan menegaskan hak asasi manusia kita perlu meningkatkan kuasa rakyat.

Bagi kita, ini bermakna mengubah sistem ekonomi, makanan dan tenaga berasaskan demokrasi yang sebenar, radikal dan adil berpusatkan kepada kedaulatan dan penyertaan rakyat.

Kerajaan dan institusi antarabangsa tidak lagi boleh menafikan suara-suara yang tidak berpuas hati yang semakin berkembang dalam kalangan komuniti dan aktivis yang merupakan pembela wilayah, berjuang untuk mempertahankan kehidupan mereka, sarahidup dan hak untuk hidup dalam alam sekitar yang bersih dan sihat di atas muka bumi ini di mana mereka yang berkuasa terus meletakkan keuntungan mengatasi manusia dan alam sekitar.

Sahabat Alam Asia Pasifik menegaskan bahawa perlindungan alam sekitar dan pembela hak asasi manusia alam sekitar adalah tanggungjawab negara dan komuniti antarabangsa. Kami menggesa supaya dihentikan dengan segera penjarahan korporat terhadap sumber komuniti dan menghentikan serangan terhadap pembela hak asasi manusia alam sekitar, dan menghentikan kerajaan dan korporat yang bebas daripada hukuman walaupun memusnahkan alam sekitar dan mencabul hak asasi manusia.

Laporan baharu kami boleh dimuat turun di: https://foeasiapacific.org/portfolio/defending-territories-defending-our-lives-protecting-human-rights-and-the-environment-in-asia-pacific-through-system-change/

Saksikan temu bual dengan Rizwana Hasan (FoE Bangladesh), Vitaly Servetnik (FoE Russia) Abeer Butmeh (FoE Palestine) mengenai penindasan terhadap EHRD: https://foeasiapacific.org/wp-content/uploads/2019/12/apac4.mp4

 

Untuk maklumat lanjut sila hubungi:

Theiva Lingam

FoE Asia Pacific Regional Facilitator

Email: apacrf@gmail.com

 

Emma Harvey

FoE Asia Pacific Communications Coordinator

Email: emma.harvey@foe.org.au

Kenyataan Akhbar, 10 Disember 2019