Rata-rata sekarang rakyat meluahkan rasa tidak puas hati kerana sungguhpun harga petrol dan diesel telah turun namun harga barangan masih mahal. Kami di CAP bersimpati dengan keadaan ini kerana kami sendiri adalah pengguna dan memang kos taraf hidup semakin meningkat hari demi hari. Agak mengecewakan kerana tidak seorang pun yang berani tampil untuk menjelaskan kenapa harga barangan belum turun. Apa yang pasti terdapat beberapa faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku.
Beberapa faktor yang mungkin dapat menjelaskan kenapa harga barangan tidak diturunkan termasuklah:
1.Penurunan harga barangan mengambil masa untuk dilaksanakan. Jika harga barangan tiba-tiba jatuh, ia akan menunjukkan bahawa harga barangan di Malaysia tidak mantap dan ekonomi negara berada dalam keadaan bahaya.
2. Kedudukan Ringgit Malaysia dan hakikat bahawa kebanyakan barangan yang dijual di Malaysia diimport dari negara lain juga menyebabkan barangan di sini masih tinggi. Perlu diambil kira bahawa:
a. Ringgit Malaysia semakin melemah.
b. Kita mengimport kebanyakan barangan keperluan kita.
c. Kita membayar barangan dalam matawang dolar Amerika.
d. Harga barangan di pasaran dunia telah meningkat.
3. Sindrom orang tengah.
Sehubungan itu, kami ingin mencadangkan beberapa perkara kepada semua pihak yang terlibat:
- Orang ramai perlu bersabar kerana bantahan secara membuta tuli tidak akan membawa kita ke mana. Ada perkara yang lebih penting dan tidak ada sesiapa pun yang ingin menyusahkan kehidupan anda.
- Mereka yang menjual barangan, tidak kira sama ada bahan mentah atau barangan yang sudah siap, tidak sepatutnya menangguk di air keruh.
- Sementara kerajaan tidak boleh dan tidak sepatutnya menurunkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya, mereka perlu mengadakan perjumpaan dengan Dewan Perniagaan, Persatuan Penjaja, Persatuan Restoran dan kesemua Persatuan Pengangkutan yang terlibat, dan membincangkan isu penting ini serta mengemukakan jalan penyelesaiannya. Dengan itu pengeluar, peruncit, penjual makanan dan sebagainya boleh diarahkan supaya menjalankan perniagaan mereka secara wajar, bertanggungjawab dan beretika.
- Hapuskan peranan orang tengah terutama memandangkan dalam masyarakat kita orang tengah bukan cuma seorang, tetapi mungkin melibatkan beberapa orang. Akhirnya, penggunalah yang terpaksa menanggung kesan buruk daripada sindrom orang tengah yang tidak sepatutnya wujud ini.
Seperkara lagi, CAP beranggapan hasil keluaran Malaysia (termasuk sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin) dan ternakan (ayam, kambing dan sebagainya) perlu diharamkan daripada dieskport. Di sebalik memberi tumpuan kepada keuntungan komersial hasil daripada kegiatan mengeksport barangan ini, kita seharusnya memberi tumpuan kepada memenuhi permintaan makanan untuk rakyat tempatan.
CAP percaya bahawa jika semua orang bekerjasama, bertolak ansur dan berusaha ke arah mencari jalan tengah, maka kita pasti mampu mengharungi saat-saat yang sukar ini dan menukar kepada keadaan yang menguntungkan semua pihak.
Surat kepada Pengarang, 17hb. Februari 2015