Mengecilkan PSR dengan pembiayaan Persekutuan untuk PTMP bukanlah jawapannya – Gesaan supaya batalkan PSR dan kaji semula PTMP – kata SAM

Mengecilkan projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR) jika terdapat pembiayaan Persekutuan bagi komponen PTMP seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas dan Pan Island Link (PIL 1) tidak akan menyelesaikan masalah asas yang dihadapi oleh PSR dan PTMP.

Dilaporkan di dalam media bahawa berikutan pertemuan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB. Chow Kon Yeow bahawa ia merupakan salah satu perkara yang telah dipertimbangkan.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) membantah PSR dan nelayan juga menyatakan projek tebus guna mega itu akan memberikan kesan besar sepertimana yang dijelaskan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani baru-baru ini di Parlimen yang secara terbuka mengakuinya (pada 16 Julai 2019) bahawa projek tebus guna itu akan memusnahkan dan membawa kesan lumpur ke atas ekosistem kukup, kawasan penangkapan ikan, zon pendaratan penyu dan sebahagian daripada terumbu karang di Pulau Rimau, yang menjadi ekosistem penting bagi hidupan marin tempatan.

Menurut Jabatan Perikanan, tebus guna laut itu akan mengganggu kawasan pembiakan, pembesaran ikan dan laluan utama udang kecil, dengan itu menjejaskan bilangannya. Jangkaan hasil kemerosotan ekologi marin daripada projek PSR juga jelas dinyatakan dalam Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek itu.

Sepertimana yang dijelaskan oleh Menteri Pertanian, kehidupan 4,996 nelayan akan terjejas, di mana 1,442 adalah nelayan tradisional Zon A. Beliau juga menganggarkan bahawa 51,184 tan metrik hasil tangkapan marin bernilai RM555 juta setahun, dan 511 petani akuakultur menghasilkan 45,742 tan metrik ikan marin bernilai RM1.67 bilion, semuanya akan terganggu oleh tebus guna itu. Ini tidak termasuk hasil yang diperolehi dari operasi perikanan rekreasi di kawasan projek, yang dianggarkan bernilai RM5.3 juta setahun, menurut EIA.

Mengecilkan PSR masih boleh menjejaskan ekosistem alam sekitar yang sensitif dan ia masih boleh memberikan kesan sampingan yang serius kepada sosio-ekonomi dan alam sekitar yang tidak boleh dengan mudah dikurangkan. Sepertimana yang kami tekankan sebelum ini, memusnahkan sumber perikanan kita yang amat berharga yang amat penting untuk jaminan keselamatan makanan bagi generasi sekarang dan masa depan adalah tidak masuk akal. Bahkan, sebarang tebus guna masih memerlukan perlombongan dan pengambilan pasir dan ini juga akan mendedahkan lagi kesan tambahan kepada alam sekitar.

Tambahan lagi, apa yang tidak diberikan perhatian ialah kesan peningkatan paras laut akibat perubahan iklim terhadap kelangsungan dan kemampanan projek PSR.

Sebarang tebus guna yang dilakukan tidak dapat mengembalikan semula kehilangan kepada ekosistem yang tidak dapat diperbaiki dan diganti. Kita sepatutnya menilai, melindungi dan memulihara ekosistem lautan dan pantai yang kaya ini sebagai ganti mengorbankannya bagi projek yang luar biasa bagi menjual lebih banyak tanah, sedangkan tanah begitu banyak terdapat di bahagian tanah besar. 

Terdapat begitu banyak hartanah yang tidak terjual di Pulau Pinang. Jadi kami tidak dapat melihat justifikasi untuk lebih banyak lagi pembangunan hartanah di atas tanah tebus guna. Tambahan lagi, jika terdapat keperluan bagi pengembangan perindustrian maka tanah yang masih boleh diperolehi itu ada di tanah besar di Seberang Perai.

Oleh sebab itu, PSR mestilah dibatalkan. Ia bukan mengenai pengecilannya.

Berhubung isu pembiayaan Persekutuan untuk PTMP, SAM mengulangi sekali lagi gesaan agar kajian semula dasar rancangan itu.

Terdapat alternatif yang lebih baik dan murah seperti Autonomous Rail Transit (ART) dan Bus Rapid Transit (BRT) sebagai ganti LRT, yang kini dianggarkan kosnya lebih daripada RM10 bilion.

Tambahan lagi, isu serius telah dikemukakan mengenai ramalan penumpang LRT, yang tidak mendapat maklum balas yang sepatutnya daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Bagi Pan Island Link (PIL), kami telah mengemukakan isu dasar mengenai justifikasi bagi lebuh raya seperti itu pada kos yang luar biasa iaitu RM8 bilion untuk jalan ini yang menjadi pembaziran kepada sumber awam dan ia bukannya penyelesaian jangka panjang bagi masalah kesesakan lalu lintas kita.

PIL merupakan lebuh raya 6 lorong yang ditinggikan akan merosakkan sepenuhnya daya tarikan pulau ini memandangkan ia akan menjadikan mata sakit memandangnya, dengan kesan sampingan visual terhadap taman yang hijau dan hutan bukit. Tiada langkah kawalan yang akan dapat menangani bagaimana ciri-ciri pulau akan berubah dengan lebuh raya yang ditinggikan yang sudah tentu menjadi struktur gergasi yang jelek.

Sebab itulah SAM dan kumpulan masyarakat sivil lain yang prihatin secara konsisten menggesa supaya kajian semula PTMP yang bebas supaya pelan yang lebih baik digunapakai yang mana lebih murah, baik dan dengan alam sekitar yang mampan bagi menyelesaikan masalah lalu lintas kita.

Mendapatkan pembiayaan Persekutuan bagi pelan pengangkutan yang memberikan ke atas kewangan dan alam sekitar adalah tidak masuk akal dan hanya akan meningkatkan hutang kerajaan dan membazirkan wang pembayar cukai.

Kini tiba masanya bagi kajian semula yang lebih adil dan bebas ke atas PTMP dan bagi PSR dibatalkan. Tiada penyelesaian yang lebih baik berbanding membatalkannya.

 

Siaran Akhbar, 26 Julai 2019