Menghalalkan e-cecair berasaskan nikotina bukanlah satu penyelesaian tetapi satu masalah

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk tidak terpengaruh dengan pujukan oleh industri tembakau baru-baru ini bahawa kerajaan boleh mengumpulkan sehingga RM250 juta dalam cukai eksais ke atas e-cecair berasaskan nikotina. E-cecair ini dimaksudkan untuk digunakan dalam peranti Sistem Penyampaian Nikotina Elektronik (ENDS) seperti vape dan e-rokok.

Di sini kita akan mengajukan satu persoalan hipotesis untuk kerajaan: Adakah kerajaan akan menghalalkan penjualan heroin, morfin, atau perangsang jenis amphetamine kerana berbilion ringgit dadah ini diseludup ke negara ini setiap tahun dan kerajaan sebaliknya boleh mendapat keuntungan cukai daripada penjualannya?

Sebarang bentuk ketagihan bahan kimia memberikan kesan buruk kepada kepentingan negara dan kos pemulihan serta rawatan penyakit tidak berjangkit  (NCD) berkaitan dengan tabiat ini merupakan satu beban fiskal kepada kerajaan. Nikotina adalah menagihkan sepertimana heroin dan kokain. Oleh itu, industri ini berkembang maju hasil daripada pengguna yang ketagih kepada produk ini dan mereka mungkin akan menderita akibat simptom penarikan jika mereka berusaha untuk menghilangkan tabiat mereka itu.

ENDS mestilah diharamkan – bukan dikawal selia – kerana tidak mungkin untuk memantau beratus jenama e-cecair haram dan halal di pasaran. Pada 2019 sahaja, terdapat kira-kira 7,000 perisa e-cecair boleh didapati di pasaran. Adalah tidak praktikal untuk mengesahkan komposisi e-cecair ini memandangkan untuk menguji sampel ini amat melelahkan dan mahal. Dengan membiarkan pihak industri untuk mengawal selia sendiri samalah seperti membenarkan musang menjaga reban ayam.

Dengan negara melaksanakan Konvensyen Rangka Kerja mengenai Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengekang merokok, pihak industri perlu berinovasi untuk memintas peraturan yang ketat dengan beralih kepada e-cecair memnggunakan ENDS. Malaysia meratifikasikan WHO FCTC pada 2005 dan ia merupakan taktik industri untuk bertukar kepada penyebaran ketagihan nikotina melalui ENDS.

Strategi ini disahkan oleh laporan berita baru-baru ini yang menyatakan bahawa Philip Morris (PM) akan menghentikan penjualan rokok tradisional di United Kingdom (UK) dalam tempoh 10 tahun akan datang. Menjual ketagihan nikotina adalah kekuatan dan bidang perniagaannya; oleh sebab itu, ia perlu mengubah jenis produk daripada konvensional untuk kelangsungan hidup.

Industri tembakau sedang beralih untuk menghasilkan dan memasarkan ENDS dan Produk Tembakau Dipanaskan (HTP), dengan mendakwa bahawa apa yang dipanggil rokok ‘tradisional’ sudah ketinggalan zaman (kuno) dan tidak selamat berbanding ENDS yang lebih tenang, moden dan kurang berbahaya. HTP adalah peranti yang secara elektronik memanaskan gulungan nipis tembakau untuk melepaskan kandungan bahan kimia dalam tembakau sebagai ganti menggunakan e-cecair.

Ketua Eksekutif Philip Morris, Jacek Olczak berkata bahawa “bagi mereka yang mahu terus merokok akan digalakkan untuk beralih kepada alernatif moden seperti e-rokok atau peranti tembakau dipanaskan yang dianggap kurang berbahaya”. Kajian menunjukkan ENDS memang menghasilkan bahan kimia toksik seperti formaldehid, plumbum, nikel, dan asetaldehid dalam wap aerosolnya. Bahan kimia ini diketahui menyebabkan kanser, kecacatan kelahiran, dan bahaya reproduktif lain. Logam berat seperti kadmium dan nikel juga terdapat di dalamnya.

Industri ini mempunyai sejarah tipu daya sepertimana yang boleh dilihat dengan membaca Tobacco Explained di laman sesawang WHO https://www.who.int/tobacco/mediaen/TobaccoExplained.pdf.

Jika kerajaan membenarkan penjualan e-cecair berasaskan nikotina, ia akan menghapuskan usaha kawalan tembakau selama 50 tahun oleh pendahulu mereka. Kawalan tembakau bermula pada 1971 apabila kajian kelaziman merokok terhadap doktor kesihatan awam dijalankan. Pada tahun berikutnya, Laporan Semakan Gaji Sheikh Abdullah memansuhkan pemberian rokok percuma kepada anggota tentera dalam operasi, dan Tindakan berhubung Merokok dan Kesihatan (ASH) diwujudkan.

Dengan membenarkan penjualan cecair untuk menghisap vape berasaskan nikotina, maka kerajaan telah membuka pintu peluang yang tidak akan dapat ditutup semula dalam dekad akan datang. Langkah itu juga bukan hanya melibatkan British American Tobacco (BAT), Japan Tobacco International (JTI), dan Philip Morris (PM) tetapi kira-kira 5,000 pengendali vape di negara ini bersaing untuk mendapatkan pelanggan.

Maksud cukai eksais RM250 juta yang dinyatakan oleh JTI akan diperolehi daripada rakyat Malaysia yang secara langsung berbelanja untuk memenuhi ketagihan mereka sebagai ganti perbelanjaan ke atas makanan dan keperluan lain yang lebih penting untuk keluarga.

Menjual rokok kepada seseorang yang berusia di bawah 18 tahun adalah haram sejak 1994 tetapi ia adalah agenda tersembunyi pihak industri untuk memikat golongan belia. Ini kerana, sebaik sahaja seseorang itu ketagih kepada nikotina, seseorang itu akan mendapati amat sukar untuk berhenti. Industri ini mengetahuinya sejak 1960-an tetapi menafikannya bagi tiga dekad akan datang. Pada 1963, Addison Yeaman yang merupakan Penasihat Umum bagi Brown dan Williamson berkata, “Nikotina menagihkan. Maka, kita, dalam perniagaan penjualan nikotina, dadah yang menagihkan.”

Pihak industri sedang beralih kepada ENDS kerana saiznya yang padat dan reka bentuknya yang menarik kepada golongan belia yang mendapati lebih mudah untuk menyeludupkannya ke sekolah berbanding bungkusan kotak rokok yang lebih besar. Oleh itu, menghisap vape semakin meningkat menjadi satu kelaziman dalam kalangan pelajar dan dilaporkan bahawa malah murid sekolah rendah juga mula menggunakan ENDS secara terbuka.

Walaupun tiada undang-undang khusus bagi e-cecair di Malaysia, terdapat pengharaman e-cecair berasaskan nikotina sejak 2015. Walaupun terdapat larangan, e-cecair bernilai RM1.4 juta disyaki mengandungi nikotina dirampas pada Ogos 2019 selepas aduan mengenai pelajar menghisapnya.

Pada Ogos 2019, JTI Malaysia menyatakan bahawa pasaran vape haram di Malaysia bernilai kira-kira RM2 bilion dan ia telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh setahun. Kami sekali lagi menggesa kerajaan supaya mengharamkan penjualan semua e-cecair tidak kira jika ia berasaskan nikotina atau bukan nikotina.

 

Kenyataan Akhbar, 30 Julai 2021