Sahabat Alam Malaysia (SAM) terperanjat apabila mendengar berita kematian enam ekor lagi gajah pigmi di mana kejadian ini sudah bertahun-tahun berlaku di negara ini.
Gajah tidak boleh dikecualikan memandangkan kemudaratan yang berlaku kepada penyu dan jerung yang menjadi berita utama di dalam media pada tahun lalu jelas mencerminkan kurangnya perlindungan dari pihak kerajaan. Pembunuhan yang kerap berlaku itu membawa pengertian mereka yang diamanahkan untuk melindungi haiwan-haiwan tersebut tidak melakukan tanggungjawab dengan sebaiknya. Sehingga kini pihak yang melakukan pembunuhan tersebut masih belum dibawa ke muka pengadilan, sementara punca kematian gajah pigmi berkenaan serta haiwan lain masih belum dimaklumkan. Kebanyakan pembunuhan berakhir dengan siasatan yang tidak berkesudahan.
Dalam keadaan cukup menyedari bahawa gajah pigmi kini berdepan dengan kepupusan, taruhan bagi kelangsungan hidup gajah ini begitu tinggi bagi kejadian seumpamanya berulang. Begitu jugalah keadaan spesies haiwan-haiwan lain yang kini bergelut untuk hidup di Sabah akibat pengeluaran minyak sawit. Sementara keburukan yang dibawa oleh industri minyak sawit terhadap spesies orang utan cukup memeritkan, industri berkenaan turut melakukan jenayah ke atas haiwan lain.
Berita kematian gajah-gajah ini memberikan sorotan negatif ke atas Sabah. Amat menyedihkan apabila Malaysia mengorbankan gajah pigmi semata-mata untuk memberi laluan kepada penghasilan minyak sawit.
Dengan mengenal pasti permintaan tinggi dan keuntungan lumayan yang dikaitkan dengan minyak sawit, industri terbabit melipatgandakan usaha untuk menghasilkan minyak sawit seberapa banyak yang mungkin. Dengan berkembangnya tindakan menebang hutan dan semakin bertambahnya ladang kelapa sawit, gajah semakin sukar mencari makanan dan akhirnya terpaksa makan buah kelapa sawit itu sendiri.
Dianggap sebagai makhluk perosak atau ancaman kepada pengeluaran minyak sawit, setiap tahun gajah ditemui mati sama ada akibat ditembak atau diracuni, dalam lingkungan kediaman gajah di Sabah, walaupun orang awam seringkali tidak mengetahuinya.
Sudah jelas kerajaan terdahulu tidak mengambil sebarang langkah segera yang berkesan untuk mencegah lebih banyak kematian gajah pigmi atau mengheret mereka yang bertanggungjawab melakukan jenayah tersebut ke muka pengadilan. Lebih buruk lagi, ia tidak menunjukkan kesungguhan untuk mengambil langkah-langkah yang lebih drastik terhadap syarikat pembalakan besar. Sungguhpun pelan tindakan telah diperkenalkan untuk memulihara gajah-gajah Borneo, pelaksanaannya amat diperlukan sekarang.
Kini terdapat sinar harapan apabila kerajaan sudah bertukar tangan dan SAM amat gembira apabila mengetahui Ketua Menteri Sabah yang baharu, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal telah mengambil langkah-langkah yang perlu dan sesuai untuk menghentikan lebih banyak kematian hidupan liar di Sabah. Sememangnya ini merupakan langkah yang tepat dan amat dialu-alukan.
Demi menyelamatkan kelangsungan hidup gajah pigmi, hutan Sabah sendiri perlu dipulihara. Sekurang-kurangnya koridor hidupan liar perlu dibentuk bagi membolehkan gajah bebas bergerak daripada satu ruang hutan kepada yang lain, mencegahnya daripada terperangkap di dalam pulau hutan. Langkah-langkah lain yang perlu diambil termasuklah membendung ladang kelapa sawit dan membentuk lebih banyak taman negara.
Sehubungan itu, SAM menggesa Kerajaan dan pihak berkuasa Hidupan Liar supaya mengambil langkah segera yang konkrit untuk mencegah lebih banyak kematian spesies hidupan liar yang begitu berharga kerana perkara ini mengundang minat orang ramai yang perlu diberi keutamaan.
Surat kepada Pengarang, 6 Jun 2018