Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong dengan sepenuhnya gesaan oleh Pengerusi Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor, Christine Chin untuk melindungi haiwan peliharaan daripada mercun dan bunga api semasa musim perayaan.
Bunga api dan mercun yang telah menjadi satu kebiasaan semasa perayaan di Malaysia, telah menyebabkan haiwan menjadi trauma dan membuatkannya menggigil ketakutan. Ironinya, sesetengah pemilik haiwan peliharaan ini sendiri tidak begitu sensitif terhadap ketakutan dan tekanan yang dihadapi oleh haiwan peliharaan mereka.
Adalah amat penting untuk diingatkan bahawa pendengaran banyak haiwan ini cenderung lebih sensitif daripada manusia. Letupan bunga api boleh menyakiti secara fizikal dan merosakkan pendengaran haiwan ini secara kekal dan boleh mengancam nyawa haiwan itu dalam beberapa cara yang berbeza.
Bunyi letupan dan pancaran cahaya yang terang menakutkan haiwan peliharaan dan hidupan liar. Melarikan diri secara terburu-buru adalah naluri kelangsungan hidup bagi anjing dan kucing apabila ia menjadi takut dengan bunyi bising dan keadaan yang kecoh daripada mercun dan bunga api. Akibatnya, haiwan ini mungkin melarikan diri dalam keadaan ketakutan, tersesat dan kehilangan tempat tinggal, atau mungkin terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa melarikan diri dalam keadaan panik.
Dalam kes hidupan liar, bunyi yang kuat daripada mercun sering menyebabkan haiwan ini cemas dan takut seperti menyebabkan burung terbang. Ibu-ibu yang melarikan diri dari sarang apabila mendengar bunyi letupan tidak akan tahu bagaimana untuk kembali kepada anak-anaknya selepas bunyi berhenti, dengan itu ia meninggalkan anak-anak yang terdedah dengan kesejukan, kelaparan atau menjadi mangsa pemangsa.
Terdapat juga bahaya apabila burung-burung ini merempuh bangunan semasa bergegas untuk melarikan diri atau menjadi keliru dalam pancaran cahaya secara tiba-tiba daripada bunga api. Bunga api juga menyebabkan burung-burung yang ketakutan ini membuang tenaganya penting yang diperlukan untuk kehidupan seharian, terutamanya jika ia menjaga anaknya.
Sesetengah burung terbang lebih tinggi hanya untuk terdedah kepada produk sampingan berbahaya daripada bunga api yang termasuk sulfur dioksida dan nitrik oksida. Sulfur dioksida adalah ancaman kepada kesihatan haiwan.
Penyedutan mercun dan produk sampingan gas bunga api adalah toksik kepada manusia juga. Gas-gas ini boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada orang dewasa, dan ia boleh menyebabkan serangan batuk dan asma pada kanak-kanak yang alahan. Selain pencemaran bunyi, mercun dan bunga api dengan mudah juga boleh mengejutkan orang sakit, orang tua dan bayi, menyebabkan banyak kesulitan kepada mereka.
Walau bagaimanapun, ini mungkin ringan jika dibandingkan dengan penderitaan mereka yang rumahnya terbakar oleh bunga api, atau dibakar oleh percikan api, roket atau roket botol. Terdapat juga kejadian kanak-kanak yang mengalami kecacatan kekal akibat kehilangan anggota badan, atau kehilangan pendengaran disebabkan oleh bunga api buatan sendiri atau bunga api yang diubah suai.
CAP telah menggesa pengharaman bunga api dan mercun selama lebih dua dekad. Sukar untuk memahami mengapa gesaan ini tidak dipedulikan. Tindakan terbaharu oleh Menteri Kemajuan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang menghalalkan mercun dan bunga api di negara ini sebagai langkah menghentikan penyeludupan barang-barang ini adalah satu kekecewaan yang besar kepada CAP. Niatnya adalah untuk menghalang penyeludupan barang-barang ini, ia niat yang baik tetapi dengan hasil yang buruk.
Daripada perspektif perlindungan alam sekitar, CAP percaya terdapat asas kukuh, baik dari segi alam sekitar dan undang-undang, bagi mengharamkan mercun dan bunga api yang akan menghalang pencemaran alam sekitar, memastikan keselamatan orang ramai, melindungi harta benda, dan mengekalkan ketenteraman sosial yang harmoni.
Oleh itu CAP mengulangi pendiriannya bagi melarang penjualan bunga api kepada orang ramai untuk mengelakkan kemalangan dan kecederaan serta penderitaan kepada haiwan peliharaan dan hidupan liar.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat Kepada Pengarang, 8 Mei 2023