Pengguna perlu berhati-hati. Kumpulan pemerhati toksik di Filipina telah menemui merkuri dalam produk dari Thailand, 88 Total White Underarm Cream yang mendakwa dapat memutihkan ketiak dan meminimumkan bau badan.
Kumpulan itu, Ecowaste Coalition membeli 4 sampel produk dan menjalankan saringan kimia ke atasnya. Ia mendapati bahawa kesemua 4 sampel itu mengandungi paras merkuri dalam julat 2,486 hingga 3,130 bahagian per juta (ppm), jauh melebihi had maksimum 1 ppm yang dibenarkan.
“Merkuri tidak dibenarkan sebagai bahan kosmetik di bawah Arahan Kosmetik ASEAN,” kata Aileen Lucero, Penyelaras Kebangsaan EcoWaste Coalition. “Pengguna yang telah membeli produk ini perlu segera berhenti menggunakannya dan mendapatkan nasihat doktor.”
Seperti yang ditunjukkan pada label, produk itu dikeluarkan pada 2021 dan 2022 secara terang-terangan melanggar penghapusan berperingkat global 2020 bagi kosmetik yang mengandungi merkuri melebihi 1 ppm mengikut Konvensyen Minamata mengenai Merkuri. Thailand menyetujui perjanjian itu pada 2017 dan Filipina meratifikasinya pada 2020.
88 Total White Underarm Cream ialah produk kosmetik terbaharu dari Thailand yang didapati tercemar dengan merkuri oleh EcoWaste Coalition. November lalu, kumpulan itu mendedahkan paras merkuri yang tinggi dalam 8 kosmetik pencerah kulit Thai yang dijual secara dalam talian: Lady Gold Seaweed Gluta/Super Gluta Brightening dengan 44,540 ppm (krim kuning air), 5 varian Krim Muka Dr. Yanhee dengan 19,200 ppm (krim ungu), 19,000 ppm (krim hijau), 11,830 ppm (krim kuning air), 9,460 ppm (merah jambu) dan 8,600 ppm (krim oren gelap); White Nano dengan 15,900 ppm (krim kuning), dan Meyyong Seaweeds Super Whitening dengan 3,784 ppm (krim hijau).
“Kehadiran kosmetik dengan merkuri dari Thailand di kedai fizikal dan dalam platform beli-belah secara dalam talian amat membimbangkan,” kata Lucero.
Menurut pakar kesihatan, merkuri dalam kosmetik seperti krim pencerah kulit dan sabun boleh diserap oleh kulit sehingga menyebabkan kerosakan kepada buah pinggang, otak dan sistem saraf. Penggunaan kosmetik seperti itu boleh mengakibatkan ruam kulit, perubahan warna dan tompok serta kehilangan daya tahan terhadap jangkitan bakteria dan kulat, serta kebimbangan, kemurungan, neuropati periferal dan psikosis. Pendedahan wanita hamil kepada merkuri juga boleh menjejaskan perkembangan bayi dalam kandungan.