Merokok dan Vape: Satu perkara yang sangat membahayakan

Baru-baru ini Ahli Parlimen, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, mahu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggantung sementara pengharaman merokok di tempat makan terbuka pada 1 Januari 2020 “sehingga peraturan yang lebih sempurna dilaksanakan untuk industri vape”.

Gesaannya tidak masuk akal. Pengharaman merokok dan vape di tempat makan termasuk di tempat terbuka tidak terlepas daripada penggubalan peraturan bagi vape.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terperanjat dengan gesaannya agar KKM “mengemukakan penyelesaian menang-menang dan menggubal peraturan yang lebih sempurna bagi kira-kira 5,000 operator vape yang berpotensi menyumbang kepada ekonomi”.

Beliau meletakkan kepentingan ekonomi 5,000 operator vape mengatasi kesihatan dan kebajikan rakyat, terutama generasi muda.

Datuk Abdullah Sani mengulas bahawa perokok dan vape perlu “sekurang-kurangnya diberikan ruang bagi kedua-dua tempat makan”, dengan menambah bahawa “kekurangan dalam undang-undang (yang boleh dibaiki) dalam usaha untuk melindungi kebebasan kumpulan ini”.

Datuk Abdullah Sani jelas akan kejahilannya terhadap komitmen Malaysia dibawah perjanjian antarabangsa untuk mengharamkan merokok di tempat awam.

Pengharaman merokok di tempat makan terbuka adalah selaras dengan Artikel 8 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Perlindungan daripada pendedahan kepada asap tembakau yang memerlukan semua pihak untuk:

“Melaksanakan dan mengguna pakai dalam bidang kuasa negara sedia ada sepertimana yang ditentukan oleh undang-undang negara dan secara aktif mempromosikannya diperingkat bidang kuasa lain dalam mengguna pakai dan pelaksanaan berkesan perundangan, eksekutif, pentadbiran dan/atau langkah lain, menyediakan bagi perlindungan daripada pendedahan kepada asap tembakau di dalam tempat kerja, pengangkutan awam, dalam tempat awam dan tempat awam lain yang sewajarnya.”

Malaysia meratifikasikan FCTC pada 2005 dan tiada alasan bagi kita untuk menurut langkah industri tembakau apabila 181 negara telah meratifikasi perjanjian WHO itu. FCTC menggubal satu satu standard sejagat yang menyatakan bahaya tembakau dan membataskan penggunaannya dalam semua bentuk di seluruh dunia, “untuk melindungi generasi sekarang dan masa depan daripada kehancuran kesihatan, sosial, alam sekitar dan ekonomi kesan daripada pengambilan tembakau dan pendedahan kepada asap rokok.”

Vape perlu diharamkan bukan dikawal kerana ia mustahil untuk memantau beratus jenama e-cecair haram dan halal dalam pasaran. Kita tidak mampu untuk memeriksa komposisi e-cecair itu di samping pelaksanaannya yang mahal dan menyukarkan.

Pengajaran yang perlu kita pelajari ialah kaitan antara vape dan risiko kesihatan seperti yang dilihat dalam beberapa kes penyakit paru-paru berkaitan vape. Pada 2015, British Journal of Family Medicine mendakwa e-rokok 95% selamat berbanding rokok. Kenyataan ini ditanggapi dan alat Electronic Nicotine Delivery System (ENDS) digunakan oleh pihak industri untuk meyakinkan orang ramai supaya menghisap vape atau beralih daripada menghisap produk tembakau konvensional.

Apabila penyakit paru-paru berkaitan vape muncul pada Julai 2019, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDCP) di Amerika Syarikat mengarahkan 100 doktor dan penyiasat untuk mengenal pasti penyebab kematian yang pada awalnya dikatakan satu bentuk pneumonia. Jika ia berlaku di Asia, berapa banyak negara yang mampu untuk menyediakan tenaga manusia, masa dan wang untuk melaksanakan siasatan seperti itu? Kita tidak mengambilkira kos rawatan perubatan bagi kes penyakit paru-paru berkaitan vape.

CDCP mengenal pasti Vitamin E-acetate yang digunakan untuk meningkatkan kekentalan e-cecair menjadi punca utama yang disyaki. Bagaimanapun, bentuk Vitamin E sintetik ini digunakan dalam banyak produk jagaan kulit dan suplemen diet. Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) mengklasifikasikannya sebagai bahan kimia perhatian rendah berdasarkan ujikaji dan model data. Contoh ini jelas menunjukan bahawa apa yang boleh ditelan dan diserap dengan selamat oleh kulit tidak bermakna ia juga selamat kepada sistem pernafasan. Pada peringkat ini kita tidak mengetahui ketoksikan bahan kimia lain terhadap paru-paru malah jika ia dianggap gred makanan.

Datuk Abdullah Sani juga mempersoalkan unit farmasi KKM yang merampas cecair rokok elektronik ketika pemeriksaan mengejut di 29 premis pada November.

Walaupun tiada undang-undang khusus bagi e-cecair di Malaysia, terdapat pengharaman ke atas e-cecair yang mengandungi nikotin sejak 2015. Meskipun diharamkan, e-cecair  bernilai RM1.4 juta disyaki mengandungi nikotin dirampas pada Ogos selepas aduan mengenai pelajar menghisapnya. Kajian Rokok Elektronik dan Tembakau Dalam Kalangan Remaja Malaysia 2016 mendapati 300,000 pelajar menggunakan rokok elektronik.

Pada 14 Oktober 2019, Dewan Rakyat diberitahu bahawa penguatkuasaan pengharaman penjualan rokok elektronik (e-rokok) atau vape yang menggunakan e-cecair tanpa nikotin masih dalam perbincangan. Kami menggesa pengharaman sepenuhnya disebabkan adalah mustahil untuk memantau penggunaan e-cecair dan kita tidak mahu remaja kita menghisap vape. Kita boleh mengharapkan masalah yang sama sepertimana merokok yang kita gagal untuk menghapuskannya selepas 69 tahun mengetahui bagaimana bahayanya merokok.

Pengharaman merokok akan bermula pada 1 Januari 2020. Kami ingin menggesa kerajaan supaya meneruskannya kerana apabila meludah di lantai di tempat awam juga bersalah di bawah Akta Kesalahan Kecil 1955 – Sesyen 15 (Pelbagai Gangguan), terdapat juga bantahan. Pada hakikatnya, adalah perkara biasa bagi kedai kopi untuk menyediakan tempat ludah di bawah setiap meja untuk menghalang pelanggan daripada meludah di atas lantai. Selepas berdekad tingkah laku itu berubah, tabiat itu sekarang tidak lagi dilakukan oleh generasi muda. Tiada jalan lain untuk dilaksanakan melainkan dengan pendekatan yang sama kepada merokok dan vape.

Kami ingin mengulangi sekali lagi supaya vape diharamkan sebelum Malaysia menjadi negara penagih nikotin. Kerajaan perlu berhati-hati mengenai industri dan kumpulan yang dibiayai oleh industri berkaitan untuk mensabotaj agenda kesihatan kerajaan.

 

Kenyataan Akhbar, 21 November 2019