Pandemik yang kita hadapi sekarang menjadi endemik, bermakna ia akan berada dengan kita selamanya (diharapkan lebih terkawal dan dalam bentuk kurang berjangkit). Dan kita terpaksa belajar untuk hidup dengan alam semula jadi dan banyak kemarahannya. Kita adalah sebahagian daripada alam semula jadi, BUKAN terpisah daripada alam semula jadi.
Kita, manusia, telah menjadi angkuh mengenai kepandaian kita dan kemampuan kita untuk melakukan banyak perkara tanpa memikirkan mengenai apakah kesan terhadap alam semula jadi dan penghuni lain di bumi ini. Ini termasuklah virus dan bakteria, yang sebenarnya lebih banyak (biomas yang lebih tinggi) berbanding semua haiwan (termasuk manusia). Tumbuhan mempunyai biomas yang tertinggi.
Manusia menguasai alam semula jadi yang telah membawa kepada gangguan kepada alam semula jadi dan kehidupan kita, membawa kerosakan dan kemusnahan yang tidak dapat diperbaiki dan kita terus berbuat demikian. Terutamanya oleh logik ketamakan kapitalis, pertumbuhan, pengembangan, pengumpulan, persaingan, kemajuan, kelajuan, penguasaan, kawalan dan sebagainya, yang mana kita telah menyerapnya sebagai norma. Dan ramai daripada kita melihatnya sebagai hanya satu-satunya cara untuk bergerak ke hadapan sebagai individu atau kemanusiaan.
Kita sering melihat terhadap lebih banyak pertumbuhan dan kemajuan sepertimana yang dibayangkan oleh mereka yang kaya dan berkuasa yang menetapkan perundangan, ideologi, ekonomi, politik, penguatkuasaan dan rangka kerja yang menjelaskan apa yang kita boleh/harus lakukan dan tidak boleh/harus tidak lakukan.
Sepertimana Frederic Bastiat, ahli ekonomi dan falsafah Perancis abad ke 19 berkata, “apabila penjarahan menjadi cara hidup bagi sekumpulan lelaki dalam masyarakat ini dalam suatu tempoh masa mereka wujudkan untuk diri sendiri sistem perundangan yang memberikan kuasa dan kod moral yang mengagungkannya.” Perkara yang sama terpakai kepada sistem yang dimajukan untuk manfaat segelintir kumpulan yang berusaha untuk mengagungkan sistem ini yang menjadi norma dalam masyarakat moden kita. Inilah salah satu sebab kenapa ketidaksamaan semakin buruk setiap masa.
Dan kebanyakan daripada kita dipaksa untuk menjadi pengguna, untuk menggunakan apa yang dikeluarkan oleh kilang yang semakin berkembang, oleh kapitalis, industri, usahawan, pembuat dasar dan sudah tentu ahli ekonomi yang berfikir dalam kerangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pertumbuhan, kemajuan dan kos luaran alam sekitar. Alam semula jadi sering dilemparkan dan diketepikan, tidak ditambah sebagai kos sebenar. Tidak dapat diukur, sukar untuk dikira dan lebih cenderung memanfaatkan hasil kilang atau cadangan mungkin tidak kelihatan baik sepenuhnya, atau lebih buruk kelihatan negatif. Seperti pengiklanan hanya menunjukkan sisi positif – di mana sering terdapat dakwaan tidak benar dan keterlaluan dibuat, sedangkan sisi kesan negatifnya disembunyikan.
Kini tiba masanya untuk kita melihat kos sebenar kemusnahan alam sekitar dan alam semula jadi yang kita sedang hadapinya pada masa sekarang dan di peringkat yang mungkin menjadi tidak dapat dipulihkan lagi.
Lihat kepada pencemaran plastik, negara menangani masalah ini dengan menghantar dan mengeksport sisa ke negara lain yang jauh daripada mereka, tetapi masih kembali kepada mereka dalam bentuk partikel mikro di Alps dan Artik. Ia ada di mana-mana, kita menyedut dan memakannya. Kita mewujudkan pusingan racun di sekeliling kita.
Atau masalah pengeluaran makanan, kita sebenarnya memakan sampah dan racun. Kita meracuni makanan kita dengan racun perosak, racun rumpai dan bahan kimia pasca tuai lain. Kita mencantikkannya dan memuliharanya dengan pewarna bahan kimia, perisa dan pengawet. Dan membiarkannya kekal untuk dimakan berbulan lamanya dan membolehkannya untuk bergerak beribu-ribu batu. Saya tertanya-tanya sama ada semua kos kesihatan dan alam sekitar yang amat luar biasa ini diambilkira? Oleh itu tidak hairanlah kebanyakan negara paling maju mempunyai kadar kanser paling tinggi.
Menurut laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) “Natural Capital Impacts in Agriculture” kos luaran pengeluaran jagung, beras, kacang soya dan gandum global adalah 1.7 kali lebih tinggi berbanding nilai produk. Daripada itu, nilai khidmat ekosistem yang dikaitkan dengan pertanian boleh menjadi lebih besar. Pada 2012, dianggarkan nilai pengeluaran daripada pertanian di Jepun ialah 9.5 trilion Yen manakala nilai khidmat ekosistem dianggarkan 8.2 trilion Yen iaitu hampir sama banyak dengan nilai pengeluaran.
Atau beban antibiotik yang diberikan kepada haiwan ternakan kita. 70-80% antibiotic dunia diberikan kepada haiwan, bukan untuk mencegah atau menyembuhkan penyakit tetapi sebagai penggalak pembesaran. Ini menjadikan kebanyakan antibiotik kita tidak berkesan. Dan antibiotik baharu dicipta tidak cukup cepat untuk menggantikan yang tidak berkesan. Antibiotik pilihan terakhir juga lebih toksik dan berbahaya. Kita sedang berdepan situasi yang boleh membawa kita kepada berakhirnya ubatan moden. Di mana luka kecil mungkin boleh membunuh kita kerana kita tidak dapat menyembuhnya dan kita mati kerananya, ketika pembedahan, rawatan kanser dan prosedur lain yang memerlukan antibiotik tidak dapat dilakukan. Bakteria kebal antibiotik kini dalam komuniti, sama seperti virus Covid-19.
Kerajaan juga membenarkan pengaruh swasta mengatasi pilihan awam. Kini kereta elektrik yang menjadi kegemaran dibunuh pada 1999 apabila General Motors menghentikan pengeluaran kenderaan elektriknya, EVI. Ia direka untuk mematuhi dengan mandat udara bersih California. Tetapi kemudiannya ia dibunuh oleh tuntutan mahkamah daripada pentadbiran George W. Bush, pembuat kereta dan industri minyak. Ini jelas apabila korporat besar atau kepentingan swasta melobi kerajaan untuk projek yang jelas menjejaskan alam sekitar dan kepentingan awam. Di Pulau Pinang, kita mempunyai projek Tambak Laut Selatan Pulau Pinang yang Kerajaan Pulau Pinang lancarkan sebagai cara untuk maju walaupun nelayan, kumpulan awam dan ahli politik menyuarakan kebimbangan terhadap kemusnahan sektor perikanan dan alam sekitar dan bagaimana projek itu akan membebankan penduduk Pulau Pinang dengan beban hutang yang besar dan hanya memanfaatkan pemaju swasta.
Di Malaysia dengan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat dan perubahan iklim yang dialami oleh kita, berjuta pengguna berdepan dengan banyak lagi masalah alam sekitar lain. Pencemaran air dan wasap toksik di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang menjadi tajuk utama, meracuni dan menyebabkan beribu orang dimasukkan ke hospital. Kemudian Selangor pula turut mengalami pencemaran air yang menjejaskan berjuta pengguna dan pada masa yang sama banjir kilat yang mengakibatkan Masjid Jamek seperti terapung dalam air banjir.
Kota kita menjadi semakin panas akibat kekurangan kawasan hijau dan perubahan iklim menyebabkan kesan pulau haba. Kajian yang dijalankan oleh Think City menunjukkan bahawa suhu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Ipoh meningkat 1.64o C, 6.37 o C, 6.7 o C dan 6.75 o C dalam beberapa tahun.
Pembalakan dan pemusnahan hutan berterusan untuk mendapatkan balak dan projek penanaman durian musang king di Kedah dan Pahang mengancam kehidupan penduduk kampung dan Orang Asli. Terdapat juga pembalakan haram, 16 daripada 37 hutan simpanan kekal di Kelantan diceroboh oleh pembalak haram dalam tempoh lima tahun.
Kini tiba masanya untuk kita melakukan sesuatu yang baik untuk Bumi sekarang. Keasyikan kita dengan “Kebendaan bersamaan Kebahagiaan” hanya melahirkan kemusnahan kepada Bumi dan membawa kemusnahan kepada kita, kesakitan dan ketidakbahagiaan. Kita tidak menyelamatkan Bumi tetapi menyelamatkan diri sendiri. Bumi ini tidak memerlukan kita tetapi kitalah yang memerlukannya untuk semua keperluan yang memberikan kehidupan, kuasa penyembuhan, pengajaran dan kecantikan yang diberikan kepada kita.
Kita perlu mengurangkan penggunaan, kurangkan pembaziran dan melayan Bumi dengan berhati-hati. Bersama-sama kita harus membayangkan semula kehidupan kita untuk menjadi lebih indah, penyayang, mewah, menghormati dan menghargai Bumi.
Kini tiba masanya untuk kita mencegah, menghentikan kemerosotan alam dan memulihkan ekosistem di setiap benua dan lautan.
Surat Kepada Pengarang, 4 Jun 2021