Minggu Tindakan Hijau 2022: Komuniti Berkongsi Dari Lebihan Makanan Ke Sajian

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berucap kepada peserta kempen awam “Dari Lebihan ke Sajian” yang dianjurkan oleh CAP.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meraikan Minggu Tindakan Hijau (Green Action Week) tahun ini bertemakan “Komuniti Berkongsi” dengan memberikan beberapa petua mengenai bagaimana cara menukar sisa makanan kepada makanan. Perkongsian ini adalah untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengubah tabiat membuang sisa makanan yang masih boleh dimakan. Dengan membuat makanan baharu daripada lebihan makanan ini, kita boleh membantu mengurangkan sisa dan pembaziran makanan di Malaysia.

Pada 2021, rakyat Malaysia telah membuang 4,081 tan makanan yang masih boleh dimakan seperti yang didakwa oleh SWCorp. Lebihan makanan seperti nasi, roti dan mee boleh ditukar menjadi makanan yang ringkas tetapi masih sesuai untuk dimakan. Menurut SWCorp Malaysia, 24% sisa makanan seperti lebihan sayur-sayuran dan daging yang dikumpul pada 2021 masih boleh dimakan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Mohammad Diah Wahari berkata jumlah pembaziran makanan di Malaysia adalah mencukupi untuk memberi makan kepada 12 juta orang tiga kali sehari. Ini menunjukkan rakyat Malaysia sudah terbiasa membuang makanan tanpa berfikir dua kali dan ini sudah menjadi tabiat buruk dalam kalangan rakyat Malaysia. Oleh sebab itu, idea untuk menukar lebihan makanan ini kepada makanan boleh menjadi cara alternatif untuk menghentikan tabiat buruk ini.

Nasi boleh ditukar menjadi nasi goreng atau ‘apam’ manakala lebihan roti boleh ditukar kepada puding roti, bread finger, cutlets atau tumis. Rakyat Malaysia perlu mula mengamalkan gaya hidup sifar sisa dan belajar menghargai makanan mereka. Menurut Action Against Hunger, sekurang-kurangnya 14 juta kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan akut yang serius di seluruh dunia dan ini merupakan punca kematian bagi 2 juta kanak-kanak setiap tahun.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow memberikan penerangan kepada peserta.
Sebahagian daripada peserta kempen awam anjuran CAP.

Rakyat Malaysia perlu berhenti mengambil makanan secara mudah dan mengawal diri mereka daripada membeli lebih banyak daripada apa yang mereka boleh makan terutamanya pada bulan Ramadan untuk mengelakkan pembaziran makanan. Terdapat banyak cara untuk mengurangkan pembaziran makanan dengan ketara yang amat penting untuk alasan ekonomi dan alam sekitar, terutamanya dalam isi rumah.

Sisa makanan boleh memberi beberapa kesan negatif ke atas komuniti dan alam sekitar. Lebihan makanan yang dibuang juga akhirnya akan berakhir di tapak pelupusan sampah yang boleh menggalakkan pelepasan gas rumah hijau yang turut menyumbang kepada perubahan iklim. Bukan itu sahaja, tabiat buruk yang sentiasa membuang lebihan makanan ini boleh mempengaruhi keselamatan dan ketersediaan makanan secara negatif yang boleh membawa kepada kenaikan harga makanan, seperti mana yang dibuktikan dalam laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2014.

Beberapa orang peserta melihat cara memasak lebihan makanan kepada sajian.

Oleh sebab itu, CAP sedang berusaha untuk menyebarkan kesedaran kepada komuniti dan menunjukkan kepada mereka cara menukar lebihan makanan kepada makanan. Mengelakkan makanan daripada dibazirkan ialah salah satu tindakan paling mudah untuk menjimatkan wang, mengurangkan jejak karbon kita dan memulihara sumber. Orang ramai juga dialu-alukan untuk berkongsi resipi mereka dengan menghubungi kami melalui platform media sosial kami. Bersama-sama kita akan mengurangkan pembaziran makanan. Tiada yang sia-sia sehingga ia dibazirkan.

 

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 8 Oktober 2022