Ucapan Tuan Hj. Mohideen Abdul Kader, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.
Selamat Datang ke aktiviti Minggu Tindakan Hijau anjuran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Minggu Tindakan Hijau adalah kempen global yang disambut dari 30 September ke 6 Oktober 2019 bagi mempromosikan penggunaan mampan. Setiap tahun pada Oktober, pertubuhan di seluruh dunia akan mengambil tindakan bersama bagi mempromosikan suatu perjuangan tertentu. Tahun ini, 50 pertubuhan masyarakat sivil di 30 negara di Afrika, Asia, Eropah, Australia, Amerika turut serta dalam kempen ini.
Tema Minggu Tindakan Hijau sejak tahun lepas ialah “Perkongsian Komuniti”. Kenapa penting bagi kita menghidupkan kembali budaya tradisional perkongsian dan kerjasama komuniti? Ini kerana penggunaan yang tidak bererti, berlebihan, individualisma, materialisma dan budaya guna buang amat membebankan planet kita serta kehidupan kita di bumi ini. Oleh itu amat penting bagi kita untuk menangani masalah sosial dan alam sekitar yang menjadi penyebab kepada krisis ini. Salah satu caranya ialah melalui perkongsian, yang akan meningkatkan akses penduduk kepada perkhidmatan dan barangan tanpa membebankan bumi kita.
Aktiviti yang diadakan hari ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai perkongsian dengan memperkenalkan pelbagai platform untuk komuniti berkongsi, termasuklah perkongsian pengetahuan, sumber, buku, penyembuhan tradisional dan benih. Ini bukan satu program yang berakhir di sini sahaja malah ia akan menjadi satu platform perkongsian yang diwujudkan dan diuruskan oleh CAP untuk memastikan kemampanannya. Pada tahun lepas, program perkongsian benih sempena Minggu Tindakan Hijau berjaya dalam mewujudkan platform di mana terdapat pertukaran biji benih dan panduan berkebun sehingga sekarang.
Kami berusaha untuk memperkenalkan konsep perkongsian komuniti yang akan membawa kepada penggunaan yang bermakna, gaya hidup mampan dan membina komuniti mampan sisa sifar. Berhubung dengan perkara ini kita juga memerlukan sokongan kerajaan bagi menyokong usaha kita ini dengan
· Tidak menyertai Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Tumbuhan Jenis Baharu 1991 (UPOV 1991) yang akan menyekat petani daripada bebas untuk menyimpan, bertukar-tukar dan menjual biji benih yang disimpan. Sebagai ganti kerajaan mestilah menggalakkan simpanan dan perkongsian biji benih termasuk tumbuhan jenis pusaka dan asli untuk mempromosikan biodiversiti pertanian.
· Memperkenalkan cukai ke atas pengeluaran plastik, pembuatan, penjualan, penggunaan dan pembuangan sebagai langkah awal ke arah menghapuskan pengeluaran, penggunaan dan pembuangan plastik guna sekali. Kita perlu bergerak daripada budaya guna buang kepada komuniti sisa sifar dan yang amalkan perkongsian.
· Menyediakan sumber kewangan yang mencukupi bagi kos permulaan untuk mempromosikan pertanian bandar.
· Meningkatkan insentif untuk menggalakkan petani tempatan, usahawan, komuniti untuk menjana lebih banyak hasil dan produk pertanian asli dan organik bagi pengguna untuk memperolehi makanan yang mampu dan sihat.
Sementara ramai orang yang mengamalkan penggunaan yang tinggi dan ramai lagi yang berusaha untuk turut serta dalam gaya hidup itu, masih terdapat ramai lagi mereka yang menghadapi kekurangan akses kepada perkhidmatan dan barangan asas. Oleh itu marilah kita menghidupkan kembali budaya perkongsian untuk membantu mereka yang masih terpinggir.
Perkongsian dalam Komuniti adalah Komuniti Penyayang!
Nota kepada Editor: Minggu Tindakan Hijau adalah inisiatif oleh Swedish Society for Nature Conservation (SSNC) dan dijalankan dengan penyelarasan oleh Consumers International (CI) dan CAP adalah ahlinya.
5 Oktober 2019