Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyelesaikan masalah kekurangan bekalan telur ayam dengan segera.
“Kebanyakan peniaga runcit dan pasar awam mendakwa sukar untuk mereka mendapatkan bekalan itu sejak dua bulan lalu, dengan itu menimbulkan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan pada masa hadapan. Telur ayam merupakan sumber protein termurah di pasaran.
Menurut laporan berita, pengeluar telur telah memilih untuk menyembelih ayam telur mereka sebelum mencapai usia kematangan, dengan itu mengakibatkan kekurangan telur.
Pasukan Petugas Khas Jihad Melawan Inflasi baru-baru ini mengenal pasti kos makanan ayam yang tinggi sebagai bertanggungjawab terhadap kekurangan bekalan telur ayam. Mengapa mereka tidak berunding dengan penternak ayam lebih awal dan mengambil tindakan pembaikan? Sekiranya penternak ayam telah memberi maklum balas, adakah Pasukan Petugas berbincang dengan pengeluar makanan tempatan mengenai bagaimana cara menghasilkan makanan yang lebih murah dengan menggunakan sisa isirong sawit memandangkan kos makanan adalah isu utama yang menjadi pertikaian? Terdapat banyak kajian yang berkaitan dengan penggunaan kek isirong sawit sebagai bahan makanan haiwan sejak 1980-an.
Selangor mengumumkan bahawa ia akan menerima pakai kaedah menyediakan pengeluaran makanan haiwan alternatif berdasarkan penyelidikan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dua tahun lalu. Kaedah tersebut telah dilaksanakan di Kedah dan didapati telah mengurangkan kos makanan ternakan dengan ketara.
Tinjauan CAP mendapati telur ayam masih terdapat di pasar awam dan kedai runcit di sekitar Gelugor, Bayan Baru, Jelutong dan Batu Lanchang. Bagaimanapun, peniaga runcit mendakwa sukar untuk mereka mendapatkan bekalan kerana kuantiti yang diterima daripada pemborong adalah kurang berbanding peniaga di pasar.
Selain kekurangan telur ayam, CAP juga mendapati ada peniaga yang menjual telur segar gred rendah, seperti gred A dan B sebagai telur premium (gred AA) yang dijual pada harga 66 sen sebiji. Sebagai rujukan, telur gred A telah ditetapkan pada 45 sen setiap telur dan telur gred B sebanyak 43 sen.
CAP menggesa Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyiasat perkara ini kerana golongan berpendapatan sederhana akan terjejas teruk akibat kenaikan harga barang.
Tindakan segera perlu diambil bagi mengurangkan dan mengawal harga semua barangan.
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Kenyataan Akhbar, 6 Disember 2022