Nelayan dan Pertubuhan-pertubuhan Alam Sekitar Memfailkan Tindakan Mahkamah Terhadap Projek PSR

Sidang Akhbar – Nelayan dan Pertubuhan-pertubuhan alam sekitar memfailkan tindakan mahkamah terhadap Projek PSR.

Tujuh nelayan yang diketuai oleh Zakaria Ismail bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI) telah memfailkan permohonan untuk Semakan Kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 29 Disember 2023 untuk mencabar kebenaran merancang yang diberi oleh Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang pada 21 Ogos 2023 untuk Projek Penambakan Pulau Pinang Selatan (PSR).

Kesemua sembilan pemohon telah menyaman Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang (PLANMalaysia) (Responden Pertama), Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang (Responden Ke-2), Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Responden Ke-3) dan SRS Consortium Sdn Bhd (Responden Ke-4). Pemohon pertama, Zakaria Ismail membawa tindakan ini bagi pihak diri sendiri dan bagi pihak nelayan-nelayan lain yang tinggal dan/atau menjalankan aktiviti perikanan di selatan pantai pulau Pulau Pinang yang terjejas teruk akibat projek PSR.

Pada 5 Februari 2024, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah memberi kebenaran kepada pemohon-pemohon untuk meneruskan dengan permohonan untuk Semakan Kehakiman mereka.

Di dalam permohonan untuk semakan kehakiman, antara lain, pemohon-pemohon telah memohon untuk perintah-perintah seperti berikut:

(a)  Satu deklarasi bahawa Kebenaran Merancang yang diberikan oleh PLANMalaysia pada 21 Ogos 2023 adalah batal dan tidak sah kerana ia melanggar peruntukan-peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (APBD 1976).

(b)  Satu perintah Certiorari untuk membatalkan keputusan pemberian Kebenaran Merancang kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memulakan kerja-kerja penambakan bagi Projek PSR di Daerah Barat Daya, Pulau Pinang.

(c)  Satu perintah agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan SRS Consortium Sdn Bhd dengan segera memulihkan semua dan/atau sebarang kerosakan kepada kawasan di mana kerja-kerja penambakan telah bermula dan/atau disiapkan untuk Pulau A dan/atau Projek PSR, kepada keadaan asal dan tidak tercemar seperti sebelum bermulanya kerja-kerja penambakan tersebut.

(d)  Satu perintah agar responden-responden membayar ganti rugi kepada pemohon-pemohon dan semua nelayan yang diwakili oleh pemohon-pemohon berhubung dengan kehilangan pendapatan mereka, yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah ini.

Puan Mageswari Setiausaha Kehormat SAM. Haji Zakaria Ismail – Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Puan Khoo Salma – Presiden JEDI.

Selain daripada apa yang dinyatakan di atas, pemohon-pemohon juga memohon untuk satu perintah bahawa Kebenaran Merancang yang diberi bagi Projek PSR, dan semua proses-proses yang lain dan kerja-kerja penambakan yang berkaitan dengannya digantung sementara menunggu pelupusan akhir permohonan semakan kehakiman ini dan kos dibayar kepada pemohon-pemohon. Kesan-kesan projek ini sudah dapat dilihat dan dirasai oleh nelayan-nelayan dalam kes ini.

Permohonan penggantungan Kebenaran Merancang akan didengar sebaik sahaja selepas mahkamah menetapkan tarikh semasa pengurusan kes yang telah ditetapkan pada 19 Februari 2024.

Berikut adalah ringkasan alasan-alasan bagi permohonan Semakan Kehakiman[1]:

(a)  responden-responden telah gagal mematuhi beberapa peruntukan di dalam APBD 1976 termasuk,

(i)  mendapatkan nasihat daripada Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) sebelum Draf Rancangan Struktur Pulau Pinang 2030 (DRSNPP 2030) diluluskan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang (JPN Pulau Pinang); dan

(ii)  mendapatkan nasihat daripada MPFN apabila permohonan Kebenaran Merancang diserahkan oleh Kerajaan Pulau Pinang.

(b)  responden-responden telah melakukan kesalahan undang-undang yang serius bila Pelan Induk PSR dirujuk kepada MPFN untuk mendapatkan nasihat dan arahan di bawah APBD 1976, bila DRSNPP 2030 belum lagi berkuatkuasa, dan Rancangan Struktur yang berkuatkuasa pada masa itu adalah Rancangan Struktur 2020. Rancangan Struktur 2020 tidak mengandungi peruntukan bagi Projek PSR di kawasan tersebut.

(c)  responden-responden gagal untuk menjalankan proses pengubahan dan/atau pindaan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 untuk mencerminkan pengecilan Projek PSR dari tiga buah pulau kepada satu pulau, dan dengan itu melucutkan peluang Pemohon-Pemohon untuk memberi maklum balas dan bantahan kami seperti yang diperuntukkan di bawah APBD 1976.

(d)  tiada Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang lengkap bagi Projek PSR pada masa Kebenaran Merancang diberi oleh PLANMalaysia, memandangkan proses EIA di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) merangkumi hak rayuan berkanun. Hak rayuan ini masih belum dilupuskan kerana kelewatan dan ketiadaan tindakan oleh Lembaga Rayuan yang ditubuhkan di bawah AKAS 1974[2].

(e)  dalam meluluskan Laporan EIA oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar dan dalam pemberian Kebenaran Merancang oleh Responden Pertama, Responden-Responden langsung tidak mengambil kira atau tidak mengambil kira secara memadai kesan-kesan buruk terhadap alam sekitar dan sosial dan kemusnahan kekal kepada mata pencarian nelayan-nelayan di kawasan tersebut akibat Projek PSR ini.

Klik di sini bagi graf analisis data perbandingan oleh Unit Nelayan Sungai Batu mengenai kemerosotan hasil tangkapan udang di kawasan itu: https://consumer.org.my/wp-content/uploads/2024/02/14-Feb-2024-Laporan-Analisis-Data-Penangkapan-Unit-Nelayan-Sungai-Batu-BM.pdf

 

 

Mageswari Sangaralingam
Setiausaha Kehormat
Sahabat Alam Malaysia

Khoo Salma Nasution
Presiden
Jaringan Ekologi Dan Iklim (JEDI)

Haji Zakaria bin Ismail
Ketua Unit Nelayan Sg Batu

Ibrahim bin Che Rose
Unit Nelayan Teluk Tempoyak

Azhar bin Najamudin
Unit Nelayan Sg Batu

Mohd Ismail bin Ahmad
Unit Nelayan Sg Batu

Mohd Shahril bin Rosli
Unit Nelayan Sg Batu

Omar bin Hassan
Unit Nelayan Sg Batu

Ramdzan bin Ishak
Unit Nelayan Sg Batu

Kenyataan Media, 14 Februari 2024

[1] Sila lihat alasan-alsan penuh di dalam dokumen mahkamah yang dilampirkan.

[2] Nelayan-nelayan telah memfailkan satu rayuan dengan Lembaga Rayuan dalam bulan Mei 2023 untuk mencabar keputusan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar yang meluluskan Laporan EIA dalam bulan April 2023. Sehingga kini Lembaga Rayuan masih belum menetapkan tarikh pendengaran bagi rayuan ini.