Umum mengetahui bahawa udang galah merupakan hasil tangkapan utama bagi 200 hingga 300 nelayan sungai di Sungai Kerian, Nibong Tebal tidak kira nelayan tulen ataupun nelayan sampingan. Pendapatan dan hasil tangkapan mereka bergantung kepada hasil sungai untuk menjana ekonomi harian namun kini pendapatan mereka seolah dirompak dan dirosakkan oleh mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab.
Sahabat Alam Malaysia (SAM) bersama Komuniti Nelayan Sungai Tanjung Berembang menggesa Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Selatan dan Jabatan Pengairan dan Saliran supaya menjalankan tinjauan dan menyiasat status pelantar ikan yang sedang beroperasi di Sungai Tok Tuntong, Nibong Tebal. Pelantar tersebut dibina di tebing Sungai Kerian dan sangat tidak sesuai dengan keadaan persekitaran.
Masalah yang berlaku sejak setahun lalu ini telah menyebabkan nelayan-nelayan sungai di sini berasa bimbang terhadap tahap keselamatan mereka selain kemerosotan hasil tangkapan. Para nelayan sungai merasa tergugat pada masa kini kerana bot-bot kenka kerap berulang-alik menyelusuri sungai berkenaan untuk ke pelantar pendaratan ikan. Bengkel bot yang bersebelahan dengan pelantar terbabit juga meningkatkan kehadiran bot-bot kenka di sungai tersebut.
Kami juga difahamkan bahawa bot-bot kenka tersebut membawa muatan bekalan ikan baja ke pelantar pendaratan yang mana di belakang pelantar berkenaan dipenuhi kolam-kolam ternakan akuakultur.
Pelantar ini kebanyakannya digunakan oleh bot kenka yang mana bot jenis ini agak besar berbanding bot atau sampan nelayan sungai malah ia sangat membahayakan kepada sebilangan besar nelayan yang sedang memancing dan menjala. Selain itu, alun dari bot kenka tersebut turut mengundang masalah hakisan tebing Sungai Kerian dan sekitar kawasan berdekatan.
Di samping itu nelayan juga turut mengadu mengenai bengkel membaiki bot di kawasan bersebelahan yang menyebabkan laluan bot kenka lebih kerap di sini dan mengganggu operasi nelayan sungai. Dikhuatiri besar kemungkinan insiden seperti kemalangan di perairan boleh berlaku. Menurut nelayan sungai Tanjung Berembang, baru-baru ini terdapat satu kes kemalangan yang melibatkan bot fiber yang membawa muatan stok ikan baja telah melanggar sebuah sampan nelayan yang sedang memancing udang galah sehingga terbelah dua sampan terbabit.
SAM berasakan bahawa pihak berkuasa semestinya sedar tentang pelantar ini kerana kami diberitahu bahawa komuniti nelayan telah memaklumkan kepada pihak-pihak berkenaan sejak pembinaannya. Apa yang menghairankan nelayan ialah bagaimana mungkin pelantar ini dibina terlalu hampir dengan Sungai Kerian, malah struktur pembinaannya pula berada atas tebing sungai.
Bagaimana pula dengan status pemilikan tanah, adakah ia tanah kerajaan atau rizab sungai atau tanah persendirian atau TOL? SAM telah menulis surat kepada pihak berkenaan tentang status tanah di sini dan sedang menunggu maklum balas.
Dalam satu tinjauan yang dilakukan oleh komuniti nelayan sungai Tanjung Berembang mendapati pembangunan di kawasan rizab sungai dilihat semakin ketara.
Bukan setakat itu sahaja, malah ada ketika operator bot kenka berkenaan seolah tidak hairan dan sesuka hati melabuhkan pukat mereka di sungai. Tindakan ini adalah melanggar undang-undang. Walaupun diberi amaran oleh para nelayan namun mereka tidak ambil peduli. Persoalannya ialah apakah mereka terlalu kebal hingga tiada sebarang tindakan dapat diambil?
Kami juga berpendapat bahawa kesemua aktiviti berkaitan bot kenka dan pelantar di sini adalah memudaratkan malah ia memberi kesan buruk terhadap alam sekitar dan keseimbangan ekosistem sungai.
Sehubungan itu, kami berharap agar pihak-pihak yang bertanggungjawab turun padang memantau, meninjau dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengatasi masalah ini. Jika keadaan ini dibiarkan tanpa ada sebarang tindakan maka sumber pendapatan nelayan-nelayan sungai akan merosot dan terjejas serta menghadapi kesukaran untuk menjalankan aktiviti harian.
Kenyataan Media, 18 Mac 2020