Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor, YB Hee Loy Sian mengumumkan pada 19 Mei 2022 lima dasar baharu berhubung operasi kilang kitar semula sisa plastik di negeri itu termasuk tidak membenarkan pengimportan sisa plastik bagi tujuan pemulihan atau pelupusan akhir oleh kilang yang menjalankan proses kitar semula sisa plastik.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Greenpeace Malaysia, Kakacaucau Eco Hub, Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat (PTASKL), dan Sahabat Alam Malaysia (SAM), memuji langkah kerajaan negeri itu untuk membendung pencemaran dan menggesa negeri lain agar mencontohi Selangor.
Sisa plastik yang diimport ini menyerlahkan lagi sistem yang ‘rosak’. Malaysia merupakan penerima terbesar sisa plastik global pada 2018 dan menjadi tempat lambakan sampah memandangkan ada sebahagian import sisa plastik termasuk sisa plastik campuran, sisa plastik tidak boleh dikitar semula atau sisa plastik yang tercemar dengan ketara dengan sisa lain. Isu pengitar semula sisa plastik haram, tapak pelupusan sampah haram, dan pembakaran terbuka diketengahkan oleh komuniti yang terjejas dan pertubuhan masyarakat sivil sejak itu.
Pihak penguatkuasa akhirnya mula mengambil tindakan dengan menutup operasi haram dan mengenakan syarat yang lebih ketat kepada pengimport yang mempunyai permit yang diluluskan untuk mengimport sisa itu. Walau bagaimanapun, bukti di lapangan dan laporan INTERPOL 2020 menunjukkan bahawa masih terdapat kebocoran atau salah urus sisa plastik, perdagangan haram dan pengisytiharan palsu.
Sungguhpun kami menghargai komitmen kerajaan negeri Selangor untuk membendung pencemaran, namun kita akan terlepas pandang sekiranya kita tidak menekankan akan kepentingan pemantauan dan pemeriksaan berkala terhadap operasi semasa lilang dan premis dengan permit sah untuk memastikan pematuhan peraturan alam sekitar dan mengelakkan urusan curang dengan premis haram atau menerima sisa plastik yang diimport dari negeri lain.
Berkenaan dengan kebimbangan terakhir kami, adalah sangat penting untuk mengharamkan sepenuhnya pengimportan sisa plastik ke negara ini terlebih dahulu. Adalah amat penting bagi agensi penguatkuasaan untuk memeriksa setiap penghantaran dan penghantar sisa antarabangsa yang terlibat dalam perdagangan sisa supaya kita boleh ‘menutup kebocoran’ pada sumbernya.
Kerajaan Selangor juga perlu mengambil berat mengenai pencemaran sisa plastik dalam import sisa kertas dan juga sisa elektronik dan elektrikal (e-waste). Terdapat beberapa loji kitar semula sisa kertas yang kini beroperasi di Kuala Langat dengan beberapa kilang dalam peringkat perancangan.
Terdapat insinerator in-situ di loji kitar semula sisa kertas untuk membakar sisa-sisa yang terdiri daripada plastik dan sisa lain. Insinerator ini akan mengeluarkan gas toksik dan membahayakan kesihatan awam dan alam sekitar. Selain itu, kelulusan loji kitar semula kertas di kawasan tadahan air seperti di Hulu Selangor atau hulu Sungai Langat meningkatkan lagi risiko pencemaran air minuman penduduk di Selangor.
Terdapat juga isu import sisa elektronik yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tinjauan lapangan kami baru-baru ini mendapati tapak pelupusan sampah di Sri Cheeding yang terdiri daripada antara lain ialah serpihan plastik daripada sisa elektronik.
Siasatan oleh Greenpeace Malaysia sebelum ini mendedahkan bahawa lapisan tanah atas tercemar dengan kepekatan tinggi logam berat termasuk kadmium dan plumbum, berbanding tahap persekitaran latar belakang. Ujian makmal juga mendedahkan kehadiran sebatian organik yang berterusan seperti bahan kalis api bromin dan ftalat di beberapa tapak pelupusan.
Justeru itu, kami menggesa agar kerajaan Selangor memastikan pemantauan, pemeriksaan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa dijalankan dengan tegas bagi membendung pencemaran daripada semua kilang pemprosesan sisa, selain kilang kitar semula sisa plastik. Ia juga penting bagi negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Kedah, dan Johor mengikuti dan komited untuk mengharamkan import sisa dan mengenakan dasar yang lebih ketat ke atas kilang pemprosesan sisa.
Kita perlu berhenti mengimport sisa dari negara lain, dan memberi tumpuan kepada mengutamakan pengurangan sisa, pengasingan sisa di sumber, kitar semula yang selamat, dan pengkomposan sisa organik serta membina kapasiti institusi untuk bergerak ke arah ekonomi sirkular yang selamat dan tidak toksik yang diterajui oleh pengendali kitar semula tempatan.
Kami juga menggesa kerajaan persekutuan supaya memainkan peranan aktif bagi menutup kelemahan yang sedia ada dalam Konvensyen Basel pada mesyuarat Persidangan Para Pihak (COP) Ke-15 pada Jun ini di mana kerajaan-kerajaan akan berkumpul untuk memutuskan peraturan lanjut mengenai pergerakan rentas sempadan sisa berbahaya, termasuk sisa plastik.
#breakfreefromplastic #stopwastetrade
Untuk pertanyaan, sila hubungi: Mageswari Sangaralingam di talian 012-878 2706 (foemalaysia@gmail.com)
Kenyataan Media, 23 Mei 2022