Sempena tema Hari Tanpa Tembakau Sedunia “Tekad untuk Berhenti” pada tahun ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa:
- Perokok dan penghisap vape agar menghentikan tabiat mereka kerana selain menjimatkan wang, ia juga tidak membahayakan kesihatan mereka. Mereka tidak seharusnya membiarkan diri diperalatkan oleh industri tembakau semata-mata untuk meningkatkan kepentingan perniagaannya.
- Kerajaan tidak seharusnya melayani campur tangan dan pembangunan dasar oleh industri tembakau dan vape. Misalnya pada 2019, industri tembakau berjaya menyekat kenaikan cukai tembakau berjadual. Pihak industri dan kumpulan barisan hadapannya turut membantah pengharaman vape dikenakan di sesetengah negeri untuk menjadi dasar kebangsaan.
Sehingga April 2021, presiden Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas menggesa kerajaan agar mengawal produk vape dan membenarkan penjualan produk berasaskan nikotina. Alasan yang diberikan ialah Malaysia perlu “mengikuti bagaimana produk vape, khususnya yang mengandungi nikotina dikawal agar ia boleh dihisap dengan selamat”. Pada ketika ini, cecair vape yang bernikotina diharamkan di Malaysia sejak 2015.
Bagaimanapun, kami menggesa kerajaan supaya mengharamkan semua sistem penghantaran nikotina elektronik (ENDS atau e-rokok) , Produk Tembakau Dipanaskan (HTPs). Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu mengawal dengan tegas semua produk tembakau (seperti rokok, cerut, bidis dan tembakau kunyah) selaras dengan garis panduan Konvensyen Rangkakerja WHO mengenai Kawalan Tembakau (PFTC).
Nikotina amat menagihkan dan merupakan bahan kimia toksik. Ia termasuk dalam kumpulan Racun Kelas C yang perlu mendapatkan preskripsi ahli farmasi. Kajian menunjukkan ia menimbulkan ketagihan yang sama seperti heroin atau kokain. Ini menjelaskan kenapa perokok boleh mengalami gejala kesan buruknya.
Datuk Adzwan pada penghujung 2020 menggantung prospek memperolehi antara RM265-RM300 juta dalam hasil cukai daripada cukai vape oleh kerajaan. Namun beliau tidak pula mendedahkan bahawa agenda tersembunyi industri ialah menarik golongan muda untuk cenderung mengalami ketagihan kepada nikotina sepanjang hayat.
Jus vape atau e-cecair (cairan yang akan termeluwap oleh alat ENDS untuk disedut) tidak pernah seselamat sebagaimana yang kerap didakwa. Komponen utamanya ialah propylene glycol dan menurut penyokongnya ia tersenarai sebagai ‘Diperakui Selamat Secara Umum’ (GRAS). Namun begitu, ketoksikannya kepada pulmonari berikutan pendedahan yang lama tidak diketahui. Menurut Pusat bagi Kawalan Penyakit (CDC) di Amerika syarikat, ia tercatat: “Tidak ditemui sebarang kajian mengenai kesannya ke atas manusia.”
Kajian terkini menunjukkan aerosol e-cecair mengandungi karsinogen seperti formaldehyde, acetaldehyde dan logam berat seperti kadmium dan nikel. Ulasan penulisan penyelidikan bagi kesan kesihatan e-rokok mendapati peningkatan risiko batuk yang kronik, kahak dan bronkitis, serta asma.
Kajian lain menunjukkan e-cecair merosakkan fungsi sel imun di dalam paru-paru dan ini menambah kebimbangan mengenai betapa mudahnya pengguna terjejas kepada jangkitan bakteria dan virus dalam sistem pernafasan. Lebih-lebih lagi apabila perokok menarik turun pelitup muka mereka untuk merokok di mana berlaku gerakan tangan ke mulut dan cenderung menyentuh muka, dengan itu menambah risiko jangkitan Covid-19. Perlakuan sebegini mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan.
Kerajaan perlu menyedari kos rawatan bagi bukan penyakit mudah berjangkit (NCD) yang menelan kos berbilion ringgit, menghapuskan hasil cukai vape yang bernilai RM300 juta. NCD yang dikaitkan dengan merokok dan menghisap vape amat sukar dicegah.
Ramai pelajar diketahui menghisap vape kerana ia lebih mudah disembunyikan berbanding sekotak rokok dari pengetahuan pihak berkuasa sekolah. Selain itu terdapat juga laporan mengenai promosi perniagaan vape dalam kalangan pelajar. Pengambilan e-cecair tanpa nikotina juga bukannya selamat dan menjadi laluan bagi pengguna, khususnya remaja, untuk menjadi perokok atau ENDS berasaskan nikotina. Pihak industri sering memberikan maklumat yang salah dengan mendakwa ENDS merupakan alat untuk berhenti merokok.
Kerajaan bakal berdepan masalah yang hampir sama dengan merokok, yang kerajaan telah gagal menghapusnya selepas lebih 70 tahun mengetahui betapa bahayanya kesan merokok.
Kajian pertama yang mengaitkan penggunaan e-rokok dengan kanser diterbitkan dalam Proceedings of the National Academy of Sciences pada 22 Oktober 2019. Penyelidik mendapati tikus yang terdedah kepada aerosol e-rokok selama 54 minggu mengalami carcinoma paru-paru dan pertumbuhan sel hempedu yang abnormal.
Terdapat sekurang-kurangnya 20,000 bahan perisa e-cecair di pasaran. Banyak daripadanya boleh dibeli atas talian; justeru kerajaan perlu menimbangkan dengan serius mengharamkan iklan dan penjualan ENDS dan HTPs atas talian.
Kenyataan Akhbar, 31hb. Mei 2021