Pandemik tersembunyi yang membunuh 1.3 juta orang pada 2019

Diramalkan bahawa bakteria kebal antibiotik akan membunuh lebih ramai orang berbanding kanser (10 juta setiap tahun) menjelang 2050. Tetapi ia mungkin berlaku lebih awal, demikian menurut satu kajian.

Kajian terbaharu dalam jurnal perubatan Lancet, merumuskan bahawa pada 2019, 4.95 juta kematian dikaitkan dengan jangkitan bakteria kebal ubatan, di mana 1.27 juta kematian secara langsung disebabkan oleh kekebalan antimikrob.

“Anggaran sebelumnya meramalkan 10 juta kematian tahunan daripada kekebalan antimikrob menjelang 2050, tetapi kita kini tahu bahawa sudah pasti kita sudah pun semakin dekat kepada angka itu berbanding apa yang kita fikirkan,” kata ahli ekonomi kesihatan Universiti Washington, Chris Murray, pengarang bersama penyelidikan baharu.

Jika antibiotik kehilangan keberkesanannya, prosedur perubatan utama – termasuk pemindahan organ, pembedahan Caesarean, dan penggantian pinggul dan sendi – boleh menjadi terlalu berbahaya untuk melakukannya.

Penyalahgunaan dan penggunaan berlebihan antibiotik yang berterusan boleh dalam tempoh satu generasi, akan melihat angka kematian global akibat jangkitan kebal ubatan meningkat kepada 10 juta – lebih daripada kematian kanser semasa.

Di negara berpendapatan rendah dan sederhana, kekebalannya sudah pun tinggi: di Indonesia, Brazil dan Rusia, sehingga 60% jangkitan bakteria sudah pun kebal kepada sekurang-kurangnya satu antibiotik.

Di Malaysia, bakteria kebal antibiotik terdapat dalam makanan, sungai dan alam sekitar kita. Ia telah merebak dalam komuniti.

Antibiotik digunakan tanpa pengawasan yang betul, mengakibatkan penyalahgunaannya.

Contohnya termasuklah apabila manusia mengambil antibiotik yang hanya berkesan terhadap bakteria untuk menentang jangkitan disebabkan oleh virus (seperti selesema), atau apabila manusia memulakan rawatan antibiotik tetapi tidak menghabiskan semua antibiotik itu.

Lebih buruk apabila antibiotik digunakan sebagai penggalak pembesaran dalam ternakan. Pada 2017, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sehingga 80% semua antibiotik digunakan pada haiwan ternakan.

Hasil kumulatif tindakan ini adalah ubatan yang tidak berkesan dan berterusan, jangkitan yang tidak boleh dirawat.

Adakah daging dan produk akuatik di Malaysia mempunyai sisa antibiotik? Pada Mei 2016, Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat mengharamkan udang halus dan udang dari Malaysia kerana ia menganndungi 2 antibiotik yang diharamkan, chloramphenicol dan nitrofurans.

Ironinya, 2 antibiotik ini telah diharamkan bagi kegunaan di Malaysia sejak 1985. Namun ia terus muncul dalam ternakan ikan kita – serta produk daging ternakan.

Pada lewat 1980-an, siasatan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati ladang ternakan ayam itik dan babi komersial menggunakan chloramphenicol. Pada 2002, Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan mendedahkan bahawa nitrofuran dan chloramphenicol ditemui dalam ayam yang diuji.

Pada November 2012, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak mengharamkan import produk makanan proses Ayamas tertentu ke negeri itu disebabkan pengesanan chloramphenicol dalam sampel frankfurter ayam.

CAP dalam tinjauannya mendapati penggunaan antibiotik dengan sewenang-wenangnya dalam ternakan ayam itik dan ladang babi komersial dan penjualan antibiotik di kedai menjual makanan haiwan. Pada 2016, CAP mendapati antibiotik erythromycin boleh didapati dengan meluas di kedai menjual makanan haiwan di Kedah dan Perlis.

Di Malaysia, ujian CAP ke atas daging yang dijual di pasaran tempatan di masa lalu menunjukkan kehadiran bakteria kebal antibiotik.

Pada 1988, ujian CAP mendapati bakteria kebal penisilin terdapat dalam ayam, daging kambing dan babi. Beberapa jenis bakteria juga kebal kepada neomycin dan chloremphenicol. Ini menunjukkan penggunaan antibiotik yang berleluasa di ladang Malaysia.

Ujian kami pada 1995 mendapati majoriti bakteria dalam banyak jenis daging – ayam, lembu, kambing dan babi – kebal kepada 2 jenis antibiotik, ampicillin dan amoxycyllin. Ini menunjukkan kewujudan kuman kebal meracuni makanan yang tidak boleh dirawat dengan beberapa ubatan.

Malaysia telah mengharamkan 6 antibiotik daripada digunakan pada ternakan. 6 antibiotik itu adalah erythromycin, enrofloxacin, tetracycline, ceftiofur, tylosin, dan fosfomycin. Sebelum itu ia juga mengharamkan colistin, antibiotik pilihan terakhir digunakan bagi manusia.

Tetapi kita tidak tahu sama ada daging benar-benar bebas daripada antibiotik yang diharamkan atau yang lain memandangkan pada pengalaman lepas menunjukkan walau pun terdapat pengharaman, antibiotik ini masih digunakan. Jabatan Veterinar dan Kementerian Kesihatan mestilah mendedahkan hasil laporan daripada pengawasan dan penguatkuasaan kepada orang rawai.

SARANAN:

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pengguna, pesakit, penyedia penjagaan kesihatan – dan industri ternakan – supaya menghentikan mewujudkan kuman kebal untuk membantu memperlahankan pandemik kebal antibiotik.

PENGGUNA

Untuk membantu melawan kekebalan antibiotik dan melindungi diri sendiri terhadap jangkitan:

  • JANGAN ambil antibiotik melainkan anda benar-benar memerlukannya. Bagi penyakit yang disebabkan oleh virus – selesema biasa, bronkitis, dan jangkitan sinus dan telinga – ia tidak berkesan.
  • HABISKAN pil anda. Ambil preskripsi anda seperti yang diarahkan. Lakukannya malah jika anda mula merasa sihat. Jika anda berhenti sebelum jangkitan lenyap sepenuhnya, bakteria itu akan lebih cenderung menjadi kebal kepada ubatan.
  • KEKAL selamat di hospital. Bakteria kebal antibiotik biasanya ditemui di hospital. Pastikan penjaga membasuh tangan mereka dengan sempurna. Juga pastikan luka pembedahan bebas jangkitan.

Bilakah Untuk Tidak Mengambil Antibiotik

Terdapat 2 jenis kuman yang menyebabkan orang jatuh sakit: bakteria dan virus. Dan antibiotik tidak berkesan terhadap virus.

Banyak bakteria bermanfaat tetapi sesetengah bakteria berbahaya dan boleh menyebabkan penyakit. Antibiotik berkesan terhadap bakteria kerana ia membunuh organisme hidup dengan menghentikan pertumbuhan dan pembiakan.

Sistem imun tubuh boleh menentang sesetengah virus sebelum ia menyebabkan penyakit, tetapi yang lain (contohnya selesema) mestilah mengikut tempoh masanya.

PENYEDIA PENJAGAAN KESIHATAN

Penyedia penjagaan kesihatan boleh membantu mencegah merebaknya kekebalan antibiotik memandangkan doktor yang memberikan preskripsi antibiotik berlebihan merupakan sebahagian besar daripada masalah.

Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat menganggarkan sekitar 30% antibiotik dipreskripsi berlebihan di Amerika Syarikat.

INDUSTRI LADANG

Petani seharusnya berhenti daripada penggunaan sebarang antibiotik secara rutin untuk menggalakkan pembesaran dan mencegah penyakit pada haiwan yang sebaliknya sihat.

Sekitar 130,000 tan antibiotik diberikan kepada makanan haiwan setiap tahun, menurut analisis data jualan global 2017.

Ini bermakna penggunaan antibiotik dalam haiwan kini mengatasi pada manusia.

Antibiotik yang digunakan dalam pertanian boleh dihadam oleh manusia melalui pengambilan makanan. Ia juga dianggarkan sehingga 90% antibiotik diambil oleh haiwan dikumuhkan – dilepaskan ke dalam alam sekitar semula jadi bagi penyebaran di permukaan tanah dan air.

 

Kenyataan Akhbar / Surat Kepada Pengarang, 28 Januari 2022