Papadum Mengandungi Terlalu Banyak Natrium (garam) – CAP

Papadum, kerepek rangup yang kerap dihidang bersama hidangan kaum India, didapati mengandungi terlalu banyak natrium (garam) dalam kadar yang boleh memudaratkan.

Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan agar menetapkan kadar yang selamat bagi pengambilan garam dalam papadum. Jabatan Kastam seharusnya diarah memeriksa semua papadum yang diimport dan paras garam yang tinggi di dalamnya.

Mengambil terlalu banyak makanan bergaram boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, meningkatkan risiko strok dan serangan jantung, penyebab utama kematian dan keadaan hilang upaya di negara kita.

Dalam ujian makmal yang dijalankan oleh CAP ke atas 11 sampel papadum, kami mendapati kesemua sampel terbabit mengandungi lebih daripada 1,000 mg/100 gram natrium di mana 4 sampel mengandungi lebih daripada 2,000 mg/100 gram natrium.

Papadum diperbuat dengan  menggunakan beberapa jenis tepung selain bahan penambah dan pengawet seperti bahan perisa dan pewarna tiruan.

Sungguhpun papadum menambah keenakan hidangan, namun ia juga boleh memudaratkan kesihatan kerana kandungan natrium dan pengawet lain yang tinggi di dalamnya.

Jika mengikut gaya makan penduduk di India Selatan, khususnya ketika makan tengah hari, papadum menjadi pelengkap hidangan mereka.

Ia sudah menjadi makanan ruji bagi kaum India. Selain menambah keenakan hidangan, papadum juga menambah kerangupan tambahan kepada sambar (sejenis kari dal atau kekacang) ataupun nasi rasam.

Sekeping papadum mempunyai berat kira-kira 13 gram. Bayangkan jika lima keping papadum dimakan bersama setiap hidangan, anda boleh dikatakan telah mengambil kira-kira 1,300 mg natrium daripada papadum dalam satu hidangan.

Jika anda turut mengira kandungan papadum yang terkandung dalam makanan lain, anda mungkin sudah termakan lebih daripada 2,000 mg natrium, yang merupakan paras yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi pengambilan harian.

Kementerian Kesihatan mengangggarkan bahawa purata orang dewasa Malaysia memakan 7.15 gram garam sehari, kadar yang melebihi paras yang ditetapkan oleh WHO.

Menurut Kementerian Kesihatan, adalah dianggarkan seorang dalam tiga orang dewasa mengalami masalah tekanan darah tinggi. Ia juga menjangkakan seorang dalam lima orang dewasa mungkin sudah mengalami tekanan darah tinggi namun masih belum dikesan. Sekiranya anda mempunyai tekanan darah tinggi, anda berisiko mengalami penyakit jantung, strok dan kegagalan buah pinggang.

Sainstis percaya bahawa garam boleh menaikkan tekanan darah kerana natrium menyerap air lalu menyebabkan bendungan atau retensi cecair. Bendungan air tambahan itu mengembangkan  darah di dalam arteri, yang kemudian akan mengenakan tekanan ke atas dinding saluran darah, dan menyebabkan tekanan darah tinggi.

Selain kandungan natrium yang tinggi, terdapat beberapa ancaman kesihatan lain seperti rempah-ratus di dalam papadum boleh menyebabkan keadaan berasid jika dimakan berlebihan.

Walaupun papadum boleh dianggap tidak memudaratkan, namun jika dimakan berlebihan, doh yang digunakan dalam pembuatan papadum boleh melekat pada usus dan menyebabkan sembelit, keadaan terlalu berasid dan dalam sesetengah kes, berangin.

Papadum menjadi rangup jika digoreng, malah kebanyakan surirumah India lebih gemar menggorengnya daripada memanggang. Namun minyak yang dimakan bersama papadum yang digoreng boleh menimbulkan masalah kesihatan sepereti aterosklerosis, dan lain-lain penyakit kardiovaskular.

Bertentangan dengan kepercayaan umum bahawa papadum yang dipanggang lebih baik daripada papadum yang digoreng, kajian telah menunjukkan apabila papadum dipanggang atau digoreng, acryamide (berkemungkinan karsinogen dan bahan penyebab kanser) terbentuk akibat kandungan garam alkalinya (natrium benzoat).

Satu lagi perkara yang membimbangkan ialah mengenai cara papadum dihasilkan. Apabila ia dihampar dan dijemur, biasanya di tempat terbuka, ia terdedah kepada bahan cemar udara. Selain itu tempat ia dijemur untuk mengering mungkin mengandungi pelbagai jenis mikroorganisme yang akan menambah pencemarannya.

Sesungguhnya papadum yang dikunyah bersama hidangan lain memang menjadi kesukaan ramai namun adalah lebih baik jika dimakan secara berhemah.

Berikutan kandungan natrium yang tinggi di dalam papadum yang beredar di pasaran, CAP menggesa Kementerian Kesihatan agar membatasi kandungan natrium di dalamnya. Sementara itu, pengguna juga seharusnya tidak memakan papadum sehinggalah batasan untuknya dikenakan.

 

Kenyataan Akhbar,  9 Oktober 2018