Pastikan cadangan dalam KSP dilaksanakan

Mohideen Abdul Kader

Persatuan Pengguna Pulau Pinang mengalu-alukan cadangan dalam Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 untuk menggalakkan kemakmuran ekonomi, menghapuskan kemiskinan tegar, memerangi rasuah, meningkatkan kualiti hidup rakyat dan menangani krisis iklim.

Rancangan itu akan kekal sebagai pelan melainkan ia dilaksanakan dengan cekap dan berkesan untuk mencapai hasil yang diinginkan. Adalah menggalakkan memandangkan tidak seperti Rancangan Malaysia sebelum ini, KSP memperuntukkan satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan dan mengenal pasti halangan bagi mencapai sasaran KSP.

Sumber yang diperuntukkan di bawah KSP bagi menaik taraf 1200 klinik awam yang usang akan memberi manfaat kepada ramai golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu untuk membayar rawatan di klinik dan hospital swasta. Pertambahan dana perlu diperuntukkan bagi penjagaan kesihatan awam untuk menambah baik kemudahan di hospital dan klinik awam yang memberi perkhidmatan kepada sebahagian besar penduduk. Pencegahan penyakit mestilah diberikan keutamaan yang tinggi melalui usaha bagi menjalankan program pendidikan dan kempen yang berkesan untuk menggalakkan kehidupan yang sihat.

Keterjaminan makanan kini menjadi isu global yang amat kritikal dan KSP meletakkan pertanian dan industri asas tani sebagai di antara lima sektor bernilai tinggi dengan pertumbuhan yang tinggi. Ini adalah satu langkah yang bijak kerana pada masa lalu pertanian makanan adalah keutamaan yang rendah. Malaysia terlalu bergantung kepada import makanan dan ini mestilah diperbetulkan untuk menjadi sebahagian besar keperluan makanan yang mencukupi untuk keperluan sendiri.

Pihak berkuasa perlu memberi insentif kepada golongan muda khususnya graduan pertanian untuk menceburi bidang pertanian dan memperkenalkan inovasi bagi meningkatkan produktiviti ladang. Pertanian organik dan pertanian bandar mestilah digalakkan bagi memenuhi keperluan makanan. Koperasi petani boleh ditubuhkan di bandar untuk memasarkan hasil petani tanpa melalui orang tengah dan menyediakan makanan yang lebih murah kepada pengguna.

Perumahan merupakan satu masalah yang utama terutama sekali di bandar-bandar besar. Matlamat KSP bagi menyediakan 500,000 rumah dalam jangkauan adalah amat dipuji sebagai satu langkah jangka pendek.

Kita memerlukan dasar perumahan yang meletakkan tanggungjawab utama kepada kerajaan untuk menyediakan perumahan yang merupakan satu  keperluan asas. Dasar semasa memberikan tanah negeri dan persekutuan kepada pemaju swasta di bawah perjanjian usaha sama untuk membina rumah dan kondominium yang kebanyakannya mahal untuk orang kaya mestilah dihentikan.

Lembaga Perumahan Negara perlu ditubuhkan untuk membangunkan unit perumahan dan perniagaan untuk dijual atau disewa. Ia perlu mengutamakan unit perumahan dan sewaan sosial terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, gelandangan dan pekerja yang datang ke pusat bandar untuk mencari pekerjaan.

Ia perlu membangunkan perumahan di atas tanah negeri dan persekutuan serta tanah milik Pihak Berkuasa Awam. Tanah-tanah ini tidak boleh diberikan atau dijual kepada pemaju swasta bagi sebarang tujuan. Ia juga boleh memperoleh tanah untuk perumahan sosial dan membangunkan Bank Tanah bagi perumahan di seluruh negara.

Mengenai krisis iklim, KSP yang menerima pakai pelan penyesuaian nasional bagi menangani kesannya adalah dipuji tetapi ia sudah lama tertangguh. Kerajaan mestilah memperuntukkan dana yang mencukupi bagi langkah-langkah mitigasi dan penyesuaian. Tidak boleh ada penebangan hutan dan pembangunan di lereng bukit dan tanah tinggi yang mudah terjejas.

Segala cadangan aktiviti tebus guna pantai dan laut di Malaysia khususnya Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) yang dirancang kerajaan negeri Pulau Pinang mestilah ditolak. Hanya aktiviti penambakan untuk perkhidmatan awam yang penting harus dibenarkan. Kawasan pesisir pantai yang telah rosak perlu dipulihkan dengan spesies pokok yang sesuai.

Kita perlu menghentikan rasuah dan menggalakkan tata kelola yang baik, ketelusan, akauntabiliti dan integriti di semua peringkat. Dalam hal ini, cadangan KSP untuk mereformasi tata kelola yang memberi tumpuan kepada undang-undang antirasuah dan perolehan kerajaan berdasarkan tender yang kompetitif dan terbuka boleh membantu mengurangkan rasuah dan ketirisan dana yang dimaksudkan untuk projek awam.

Pihak berkuasa mestilah memastikan perlindungan Pemberi Maklumat yang diperlukan untuk menjaga kepentingan awam dan menggalakkan budaya akauntabiliti dan integriti awam. Wang yang diletakkan di tempat berlindung cukai di bawah akaun tanpa nama mestilah dibawa balik dan mereka yang menghantar wang itu perlu dipertanggungjawabkan.

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) 

Kenyataan Akhbar, 13 September 2023