Pastikan lembu dan kerbau tempatan bebas dari Penyakit Kulit Berbonjol (LSD) – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar  (JPV) Malaysia agar  menjalankan program pemantauan untuk mengesan, mengawal dan mencegah penularan penyakit kulit berbonjol  (LSD) yang membabitkan ternakan di seluruh negara.

Menurut laporan baru-baru ini, LSD yang menjangkiti kulit haiwan ternakan, dikesan di ladang lembu Simpang Pulai.

LSD adalah penyakit zoonotik (bermakna ia tidak menjangkiti manusia) yang disebabkan oleh Capripoxvirus. Penyakit ini diketahui hanya menjangkiti lembu dan kerbau.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB, penyakit itu pertama kali dikenalpasti berlaku di Afrika sekitar 1929  dan sejak itu telah merebak ke beberapa bahagian lain dunia. LSD dilaporkan telah merebak di beberapa negara Asia termasuk India, Bangladesh, Nepal, Bhutan, China, China Taipei, Vietnam dan Myanmar. Terkini ia dilaporkan menular di Thailand.

Penyakit kulit berbonjol bukan sahaja menimbulkan  masalah yang kronik dan membabitkan kematian haiwan ternakan ladang yang dijangkiti, malah ia turut memberi kesan kepada ekonomi kerana ia mengganggu perdagangan ternakan dan produk ternakan di seluruh dunia.

Sehubungan itu, CAP menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Malaysia  agar:

> Memperketatkan syarat-syarat bagi import haiwan ternakan dari luar negara dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

> Mengambil tindakan terhadap mana-mana konsignmen lembu import yang menunjukkan gejala LSD di Stesen Kuarantin.

 

Kenyataan Akhbar, 10hb. Jun 2021