Pada 7 Oktober lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa Malaysia telah menandatangani perjanjian bagi mendapatkan 150,000 sukatan ubat berkenaan. Tetapi beliau enggan mendedahkan kos yang terlibat atas alasan kerajaan terikat oleh perjanjian kerahsiaan dengan syarikat Merck.
Jika kita menggunakan harga runcit yang diumumkan oleh Merck untuk Molnupiravir pada harga RM293 sebiji (10 biji diperlukan untuk setiap rawatan terapi), Malaysia perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM439,500, 000.
Kenapakah kita perlu membuang wang yang berharga (hampir setengah bilion RM) ke atas satu lagi ubat yang masih diuji dengan perjanjian pembelian yang dirahsiakan (yang kedua selepas vaksin Pfizer di bawah pemantauan Khairy Jamaluddin), dengan mengetepikan penelitian awam, yang tidak mempunyai data keselamatan jangka panjang (sama seperti vaksin mRNA) di mana keberkesanannya dipersoalkan tetapi menguntungkan Merck.
Pada 27 Oktober, Merck & Co mengumumkan bahawa ia telah menandatangani perjanjian pelesenan dengan Medicines Patent Pool (MPP) yang disokong PBB yang akan membolehkan lebih banyak syarikat mengeluarkan versi generik rawatan antiviral oral Covid-19 yang masih diuji.
Merck berkata, lesen tanpa royalti itu akan melibatkan 105 negara berpendapatan rendah dan sederhana. Ia membolehkan pengeluar yang dipilih oleh MPP untuk menghasilkan versi generik molnupiravir. Menurut Bank Dunia pula, terdapat 137 negara berpendapatan rendah dan sederhana di dunia.
32 daripada negara-negara berkenaan tidak dimasukkan dalam perjanjian tersebut. Adakah Malaysia turut termasuk dalam negara yang dikecualikan? Dan adakah akan berlaku sebarang perubahan dalam perjanjian Malaysia untuk mendapatkan ubat tersebut memandangkan ia ditandatangani sebelum perjanjian pelesenan yang baharu untuk mengeluarkan versi generik ubat tersebut?
Pil bagi merawat Covid-19 di peringkat ujian itu digelar pengubah permainan, ‘silver bullet’ yang boleh membantu ‘menukar Covid-19 dari krisis kesihatan awam kepada penyakit yang mampu ditangani’.
Pernahkah dipertimbangkan pilihan yang lebih murah?
Adakah kita ketinggalan sesuatu? Kira-kira setahun setengah yang lalu, ahli klinikal, penyelidik dan negara mencari ubat generik yang murah, berkesan dengan rekod keselamatan yang lama dan sejarah panjang penggunaannya bagi merawat Covid-19. Ramai yang merasakan bahawa ubat yang didakwa mampu menyelamatkan nyawa ini mungkin benar-benar merupakan penyelesaian bagi pendemik Covid-19 global.
Bagaimanapun, agensi kesihatan kebangsaan dan antarabangsa termasuk WHO memperkecilkan ubat terapeutik ini, di sebalik semakin banyak bukti perubatan yang tidak dapat disangkal dan yang menyokongnya.
Ubat Ivermectin ini mula-mula dikeluarkan oleh Merck sehingga hak patennya luput pada 1996. Pada 2020, Merck diminta membantu dalam ujian di Nigeria dan Jepun membabitkan Ivermectin tetapi syarikat tersebut enggan melakukannya; ini bermakna ia tidak berhasrat untuk melakukan ujian klinikal.
Merck telah mengedarkan Ivermectin secara percuma menerusi Mectizan Donation Programme (MDP) iaitu melalui kerjasama dengan WHO sejak 1987 kepada negara membangun untuk mencegah kebutaan sungai dan filariasis limfa. Kira-kira 3.7 bilion dos telah diagihkan dengan meluas dalam tempoh 30 tahun di 70 negara/wilayah di mana penemu ubat tersebut menerima Anugerah Nobel pada 2015. Merck sendiri telah mengumumkan dalam halaman hubungan awamnya bahawa terdapat terlalu sedikit kesan buruk dalam MDP selama tempoh lebih 30 tahun itu.
Konflik Kepentingan
Merck telah membuat akujanji dengan kerajaan AS untuk memaju, mengeluar dan mengedar ubat terapeutik untuk Covid-19 di mana kerajaan akan membayar USD356 juta kepada Merck selepas mendapat kelulusan atau pengesahan kegunaan kecemasan (EUA) dari Pentadbiran Makanan dan Ubatan AS (USFDA).
Ianya agak ketara bahawa kempen memperlekehkan Ivermecin oleh pihak media dibuat ketika tindakan untuk memberi ruang kepada molnupiravir berada di pasaran. Ternyata wujud konflik kepentingan untuk Merck memandangkan peluang Ivermecin yang murah dan tanpa paten, akan menyaingi Molnupiravir sekiranya Ivermectin dilihat sebagai ubat yang berkesan untuk mengubati Covid-19 di peringkat awal penyakit itu.
Pada Jun 2021, Presiden Front Line Covid-19 Critical Care Alliance (FLCCC), Dr. Pierre Kory sebagai maklum balas kepada pengumuman kerajaan AS bahawa “ia sedang memasuki perjanjian berkontrak dengan Merck di mana ia akan menggunakan USD1.2 bilion wang pembayar cukai dalam usaha memperkayakan Merck bagi satu ubat yang sudah menjadi sumber kepada pelbagai aduan pemberi maklumat, dan sudah diketahui gagal dalam merawat pesakit di hospital, padahal kita sudah mempunyai ubat yang rendah kosnya, selamat, mudah diperolehi yang terbukti berkesan dalam beberapa fasa perkembangan penyakit itu – bukan sahaja bagi pesakit luar malah pesakit yang dirawat di hospital juga.”
Beliau menarik perhatian kepada kenyataan Merck yang menyebut tidak ada bukti untuk menyokong keberkesanan Ivermectin selain “turur mempersoalkan keselamatannya sebagai salah satu ubat paling selamat dalam sejarah. Kenyataan itu tidak benar … Mereka sepatutnya dikenakan denda yang besar … Jika (kerajaan AS) melakukannya, ia hanya akan membuang masa dan wang, dan ia terus mengabaikan kedapatan Ivermectin yang tersebar meluas … kita sudah mempunyai cara lain yang kita tahu boleh menghentikannya dan ubat yang dimaksudkan adalah Ivermectin”, ujar beliau.
40 kali lebih tinggi
Merck menjual pil Covid-19 yang masih di peringkat ujian kepada kerajaan AS pada harga 40 kali lebih tinggi daripada kos membuatnya. Mengikut satu laporan dari pakar harga ubat Harvard TH Chan School of Public Health dan King’s College Hospital London, rawatan selama lima hari pil tersebut berharga USD17.74. Namun bagi jumlah yang sama, Merck mengenakan bayaran sebanyak USD712 melalui pendedahan yang dibuat oleh risalah The Intercept.
Untuk meletakkannya dalam perspektif, analisis masa nyata Covid-19, 64 kajian ke atas Ivermectin seperti pada 11 Oktober 2021 menunjukkan penggunaan Ivermectin dalam Covid-19 memaparkan 66% dan 86% peningkatan membabitkan rawatan awal dan prophylaxis. Peningkatan yang ketara juga diperhatikan secara statistik dilihat bagi mortaliti, ventilasi, kemasukan ke ICU, kemasukan ke hospital, kes kesembuhan dan bebas dari kuman tersebut.
Pengalaman di Uttar Pradesh
Ivermectin tidak memerlukan EUA kerana ia lulus ujian percubaan pada 1986. Ia hanya perlukan saranan untuk mengubati Covid-19. Namun besar kemungkinan itu tidak akan berlaku di sebalik peranan yang dimainkannya dalam membanteras epidemik tersebut di Uttar Pradesh (UP). Pada 10 September, kerajaan negeri Uttar Pradesh mengisytiharkan kesemua 33 daerah di negeri itu kini bebas daripada Covid-19 sementara kadar kesembuhan telah meningkat kepada 98.7%. Negeri itu mempunyai penduduk seramai 241 juta orang – kepadatan tertinggi di India, iaitu hampir lapan kali ganda kepadatan penduduk Malaysia.
Sehingga 20 September 2021, ujian selama dua minggu ke atas lebih dua setengah juta sampel (2,524, 162) menunjukkan 201 kes diuji positif atau 0.007% dengan 24 kematian bagi tempoh yang sama. Uttar Pradesh menjadi negeri pertama di India yang memperkenalkan profilaktik dan kegunaan terapeutik Ivermectin berskala besar sungguhpun hanya mempunyai kadar vaksinasi yang rendah 5.8% divaksin sepenuhnya, berbanding Malaysia yang mempunyai 93.8% divaksin sepenuhnya. Pencapaian Uttar Pradesh dalam membendung perebakan Covid-19 dengan Ivermectin menghapuskan kontroversi mengenai ubat tersebut.
Selain melakukan kerja mengesan dan memantau kontak secara agresif, kerajaan negeri Uttar Pradesh mengedarkan kit perubatan di rumah dengan setiap kit mengandungi multivitamin, tablet zink, paracetamol, termometer, oximeter nadi, doxycycline dan Ivermectin. Mereka menelefon dua kali sehari mangsa Covid-19 untuk bertanya tentang suhu badan mereka dan bacaan tahap oksigen selain peringatan supaya mengambil doxycycline dan Ivermectin.
Namun begitu kejayaan kerajaan Uttar Pradesh dan keputusannya yang memberangsangkan ini tidak dilaporkan oleh pihak media global (tidak juga di Malaysia). WHO memuji akan kisah kejayaan Uttar Pradesh tetapi tidak pula menyebut apa yang terdapat dalam kit perubatan rumah yang berharga USD2.65 per kit. Tidak diragui lagi, pengajaran yang amat berharga di mana dunia dan Malaysia boleh belajar dari pengalaman Uttar Pradesh dalam menangani epidemik Covid-19.
Secara kebetulan pada 8 Oktober Reuters memetik satu sumber dengan Drug Controller General of India melaporkan bahawa ubat antiviral Molnupiravir yang masih diuji keluaran Merck tidak menunjukkan keberkesanan yang ketara terhadap Covid sederhana dan keberkesanan yang efektif ke arah kes tertentu, menurut sumber tersebut. Ini akan melemahkan gembar-gembur media mengenai ubat terbabit jika didapati ianya benar.
Tess Lawrie di UK (yang mana meta-analisis semakan rakan sebayanya berhubung penggunaan Ivermectin bagi Covid-19 menduduki tempat ke lapan dari kira-kira 18 juta penerbitan – salah satu yang paling banyak dipetik sebagai rujukan perubatan sepanjang masa), dalam bukti bertulisnya kepada Ahli Parlimen, kabinet UK dan WHO menyebut: “Bukti yang ada, sebagai menyokong penggunaan Ivermectin bagi rawatan Covid-19 jauh lebih kukuh berbanding bukti bagi ubatan lain yang diberikan oleh EUA untuk merawat Covid-19. Tambahan pula, Ivermectin boleh digunakan untuk mengubati jangkitan Covid-19 tanpa gejala, ringan, sederhana dan teruk – tidak ada rawatan lain yang mampu melakukannya. Lebih-lebih lagi, Ivermectin adalah sangat selamat – pada ketika ini digunakan oleh jutaan penduduk di seluruh dunia bagi merawat Covid-19 dan jangkitan lain.”
Di sebalik satu lagi ubat EUA, tanpa rekod keselamatan jangkapanjang yang terbukti seperti vaksin mRNA, Kementerian Kesihatan boleh memasukkan Ivermectin ke dalam barisan protokol rawatan Covid-19nya, yang akan membolehkan doktor memilih sama ada menggunakannya ke atas mereka yang telah divaksin atau sebaliknya, dan mereka dengan beberapa masalah kesihatan tertentu atau sedang mengalami masalah daripada gejala yang teruk’ – memetik kata-kata Menteri Kesihatan.
Vaksin semata-mata bukan jalan penyelesaiannya
Malaysia mempunyai kadar tertinggi kes Covid-19 di Asia iaitu sejumlah 2,481,267 kes jangkitan (4 November). Jumlah keseluruhan kes kematian ialah 29,091. Ini di sebalik usaha menyegerakan pemberian suntikan vaksin yang melebihi kadar puncak negara lain termasuk AS dan UK. Berdasarkan kadar perkapita, negara kita terus merekodkan kadar jangkitan dan kematian yang tinggi. Jelaslah vaksin semata-mata tidak dapat mengekang penyakit ini.
Kementerian Kesihatan sepatutnya membenarkan protokol rawatan awal dengan Ivremectin memandangkan ubat ini lebih selamat, lebih berkesan dan lebih murah berbanding vaksin atau ubat baharu. Sebaliknya Kementerian mengabaikan sama sekali dan mengelak perbincangan mengenai isu ini dan enggan menerima segala usaha untuk membincangkan apa yang sebenarnya ditunjukkan oleh sains. Kita perlu memikirkan semula dengan teliti dasar kesihatan awam negara, dan bukannya mematuhi secara membuta-tuli arahan WHO. Negara sudah kehilangan terlalu banyak nyawa, terlalu banyak masa dihabiskan dan terlalu banyak wang dibazirkan.
Jika Kementerian Kesihatan memperbetulkan matlamatnya dan memberikan Ivermectin kepada penduduk, pil Ivermectin dengan dos 12 mg yang pada ketika ini diberikan untuk mengubati kudis sepatutnya berharga sekitar USD0.029 bagi 100 biji 12 mg pada harga 2018). Ivermectin diberikan untuk merawat Covid-19 selama lima hari (sebiji 12 mg sehari). Oleh itu, bagi 150,000 sukatan Molnupiravir yang dibeli, pembayar cukai Malaysia hanya perlu membayar kira-kira RM21,750 untuk Ivermectin.
Kenyataan Akhbar, 6 November 2021