Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat prihatin bahawa pejalan kaki sama ada dipinggirkan dalam rancangan pengangkutan kerajaan atau mereka terlepas pandang selepas mengutamakan penggunaan kenderaan bermotor.
Keadaannya semakin merosot dalam tempoh tiga dekad lepas sejak pemilikan kereta digalakkan dengan kemunculan kereta negara pertama pada 1985. Di seluruh negara, pada 1975, 47% rakyat Malaysia menggunakan pengangkutan awam dan 63,842 kereta penumpang didaftarkan. Bagaimanapun, menjelang 2005 hanya enam peratus rakyat Malaysia menggunakan pengangkutan awam manakala 416,692 kereta penumpang didaftarkan. Bilangan kereta berdaftar telah meningkat kepada 6.5 kali ganda dalam tempoh dua dekad manakala bilangan pengguna bas jatuh hampir lapan kali ganda.
Di Pulau Pinang sendiri jalan dilebarkan untuk memenuhi peningkatan dan lebih daripada 12 jambatan pejalan kaki dibina. Ia menjadi gajah putih, setiap daripada satunya menelan belanja lebih daripada berjuta ringgit untuk membinanya.
Pejalan kaki terpaksa menanggung kesukaran untuk menggunakan jambatan pejalan kaki ini. Oleh itu mereka memilih untuk melintas jalan daripada menggunakan jambatan itu. Pada purata tahunan, 562 pejalan kaki terutama sekali orang tua dan kanak-kanak mati akibat cuba melintas jalan raya di kawasan bandar. Tangga beberapa jambatan ini berukuran 15.24 cm (6 inci) tinggi tetapi yang lain berukuran beberapa inci lebih tinggi, menjadikan tangga ini sukar untuk didaki atau menuruninya terutamanya bagi wanita hamil atau seseorang yang menghidap sakit lutut. Sebagai ganti terpaksa untuk melintas kira-kira 7 meter (23 kaki) pada paras tanah, seseorang itu perlu menggunakan tangga melibatkan melibatkan kecerunan dengan antara 30 hingga 50 tangga pada setiap bahagian jambatan itu.
Dalam membina jambatan pejalan kaki, kerajaan lupa mengenai mereka yang kekurangan dari segi fizikal. CAP mencadangkan supaya dipasang lampu isyarat dengan lintasan pejalan kaki sama seperti di KOMTAR yang dipasang pada semua lintasan pejalan kaki.
Adalah lebih mudah bagi orang tua dan orang kurang upaya (OKU) untuk melintas jalan dengan lampu isyarat dan lintasan pejalan kaki terutama sekali dengan bantuan sistem seperti Green Man Plus yang dilaksanakan di Singapura.
Dengan sistem ini, sesiapa sahaja yang berusia 60 tahun dan ke atas atau OKU boleh memohon kad pintar yang digunakan untuk menyentuh pembaca kad pada tiang lampu isyarat. Sebaik sahaja kad itu disahkan, sistem itu akan melanjutkan tempoh lampu isyarat antara 3 hingga 13 saat untuk membolehkan mereka melintas jalan itu. CCTV boleh dipasang di persimpangan lalu lintas untuk tidak menggalakkan kenderaan daripada melanggar lampu merah yang boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Sementara itu Pulau Pinang memerlukan kaki lima untuk pejalan kaki yang dibina menggunakan tar, konkrit atau diperbuat daripada campuran bahan yang kukuh dan tanpa sebarang halangan. Seperti mana sekarang, banyak kaki lima berada dalam keadaan buruk dan mendedahkan bahaya kepada pejalan kaki yang mungkin boleh tergelincir dan jatuh akibat permukaan yang tidak rata. Di banyak kawasan terdapat beberapa longkang besar yang kehilangan pagar besi penghadang dan ini boleh menyebabkan orang ramai terutama sekali orang tua dan kanak-kanak jatuh ke dalamnya. Kenderaan yang diletakkan di atas bahu jalan atau tempat meletak kenderaan khusus untuk OKU perlu ditunda.
CAP bersetuju dengan Dr. Lim Mah Hui bahawa mengunci dan menunda kenderaan yang menghalang lalu lintas bukanlah untuk mengutip hasil tetapi untuk menerapkan sikap menghormati dan mematuhi undang-undang. Bagaimanapun, CAP merasakan bahawa kadar untuk membuka kunci kenderaan itu terlalu rendah dan tidak cukup untuk mencegahnya. Bagi sesetengah orang, RM50 satu jumlah yang amat kecil memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi hari ini.
Kesukaran seperti proses untuk mendapatkan kembali kereta yang ditunda adalah pencegahan yang lebih baik. Sudah tentu Majlis Bandaraya Pulau Pinang perlu mempertimbangkan menjadikan pemandu yang engkar membuat bayaran di tempat khusus sebelum kunci tayar kenderaan dibuka semula.
Laluan pejalan kaki juga tidak dihalang oleh papan tanda, perabot jalan atau tanaman yang digantung. Kelebarannya juga perlu berdasarkan permintaan dan kepelbagaian kegunaan. Banyak kaki lima kita melanggar peraturan ini dengan keutamaan diberikan kepada pelebaran jalan yang menyempitkan beberapa kaki lima. Pejalan kaki mendapati sukar untuk berjalan sepanjang laluan ini yang mungkin mempunyai pokok dan longkang besar di tepinya, dengan itu memaksa pejalan kaki berjalan di atas jalan raya. Masalah seperti itu boleh dilihat di kawasan Pulau Tikus dan Jalan Masjid Negeri. Laluan itu juga mungkin mempunyai susur jalan yang lebih tinggi yang tidak mesra orang tua atau OKU.
Lebuh raya seharusnya tidak diutamakan disebabkan ia didapati di negara lain keadaan lalu lintasnya sering kekal seperti biasa atau menjadi lebih buruk. Sebaliknya, seperti mana yang dilakukan di AS, lebuh raya kota itu telah ditukar kepada taman seperti di Seattle, Boston, Dallas dan St. Louis. Ia begitu berjaya sehingga Los Angeles dan Chicago juga sedang menuju ke arah itu.
CAP menuntut pejalan kaki diberikan keutamaan dalam perancangan lalu lintas kerana tidak wajar bagi pejalan kaki untuk memanjat tangga ketika kenderaan menggunakan jalan raya yang rata.
Berhubung pelebaran jalan, memetik kata-kata oleh Walter Kulash, jurutera lalu lintas dari Florida, AS paling sesuai: “Melebarkan jalan raya untuk menyelesaikan kesesakan lalu lintas sama seperti melonggarkan tali pinggang anda untuk mengatasi masalah obesiti.”
Sidang Akhbar, 12 Mei 2016