Pejuang Hak Pengguna

Pejuang Hak Pengguna

Oleh MARTIN KHOR*

M. Mohamed Idris adalah satu anugerah. Dia adalah kekuatan alam. Pemergiannya pada 17 Mei lalu membawa kepada berlalunya satu era. Saya meragui akan begitu bertuah untuk mendapat seorang lagi yang sepertinya.

Beliau mempunyai minda yang luar biasa, dengan tidak pernah puas terhadap maklumat berhubung semua jenis isu, daripada yang kecil hinggalah kepada yang besar. Beliau boleh memproses dan sintesis semua maklumat dan melihat hubungan antaranya. Kemudian menterjemahkannya kepada tujuan untuk tindakan konkrit dan dasar.

Beliau meletakkan intelek, kreativiti dan pengetahuan kepada tindakan praktikal untuk kegunaan berterusan, hari demi hari, dari masa remaja hingga ke hari terakhirnya pada usia 93 tahun. Keluarga dan rakan memberitahunya supaya mengambil mudah, terutama sekali beberapa bulan terakhir. Tetapi tidak bagi beliau. Dia didorong oleh semangat untuk memperbetulkan yang salah dalam komuniti tempatan, negara dan dunia.

Beliau tidak boleh tahan apabila membaca kanak-kanak kelaparan ketika begitu banyak makanan dibazirkan. Beliau amat marah dengan penebangan pokok, sama ada di kota atau bukit dan hutan. Beliau tidak tahan dengan kesihatan rakyat Malaysia yang diancam oleh makanan yang tidak selamat, bahaya pekerjaan, kemalangan jalan raya, udara tercemar, apabila semua ini boleh dicegah.

“Aduan”! menjadi satu slogan terkenal Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), yang ditubuhkan pada 1970 dan memimpinnya hampir setengah abad.

Jika anda ditipu, jika rumah yang anda beli berlubang atau retak di dinding, jika tempat kerja anda membahayakan kesihatan, jika hutan yang menjadi tempat mendaki anda ditebang, jangan biarkan sahaja atau merungut kepada diri sendiri. Buat aduan rasmi, gerakkan rakan-rakan dan jiran, tegaskan hak anda dan lawan balik!

Gesaan S. M. Mohamed Idris supaya bersatu menjadi falsafah yang memandu CAP. Beliau mengubah objektif pergerakan pengguna. Sebagai gantinya tumpuan kepada jenama kamera atau kereta manakah yang akan dibeli (isu utama tradisi pertubuhan pengguna), beliau menukar tumpuan dan melihat kepada sama ada keperluan asas rakyat bagi makanan, kesihatan, pendidikan dan perumahan dipenuhi.

Dengan membawa CAP ke arah ini, S. M. Mohamed Idris membuka jalan bagi rakyat bukan hanya di Malaysia tetapi juga di banyak negara lain, untuk meluaskan skop isu yang boleh diambil oleh pengguna.

CAP beroperasi dalam keadaan yang sukar pada awal tahun penubuhannya, apabila kerajaan amat sensitif terhadap kritikan awam apatah lagi bantahan.

Saya masih ingat apabila pulang dari luar negara selepas belajar pada pertengahan 1970-an apabila saya membaca Utusan Konsumer terbitan CAP dengan gambar muka depan pokok casuarina besar dengan akarnya terdedah oleh hakisan di pantai Persiaran Gurney, Georgetown dengan tajuk utamanya, “The death of Penang’s trees”.

“Awak tidak takutkah akan ditangkap dan CAP ditutup?” Saya tanya S. M. Mohamed Idris. Dia menjawab: “Kita hanya perlu mendedahkan masalah ini.”

Insiden ini mendedahkan bagaimana takutnya rakyat Malaysia pada masa itu, bagaimana media terkawal ketika itu dan bagaimana S. M. Mohamed Idris melihat peranan CAP sebagai satu entiti yang boleh bersuara ketika tiada siapa yang sanggup untuk berbuat demikian.

Melalui seminar tahunan CAP – biasanya melibatkan 50 pembentang kertas kerja dan kertas kerja yang mencakupi semua tajuk khusus seperti keadaan kesihatan, pendidikan atau pembangunan luar bandar, ekonomi dan pentadbiran undang-undang dan keadilan – CAP mendesak dan menegaskan semua isu perlu ditangani.

“Kita membayar cukai yang membiayai operasi kerajaan,” kata S. M. Mohamed Idris. “Oleh itu kita mempunyai hak untuk memberikan pandangan kita kepada kerajaan bagaimana kementerian dan agensi berperanan dan bagaimana untuk memperbaikinya.”

Alam sekitar menjadi keutamaan yang besar bagi S. M. Mohamed Idris.

CAP menganjurkan forum pertamanya mengenai alam sekitar pada 1971 dan mengadakan simposium mengenai Krisis dalam Alam Sekitar Malaysia pada 1978. Pada 1982, Menteri Alam Sekitar baharu Datuk Amar Stephen Yong mengunjungi CAP dan memberitahu kami bahawa ia adalah antara tindakan pertama disebabkan usaha CAP yang membawa kepada penubuhan kementerian itu.

Alam sekitar menjadi bidang yang begitu penting sehingga S. M. Mohamed Idris mengambil inisiatif untuk menubuhkan satu lagi pertubuhan untuk menanganinya. Dengan itu lahirlah Sahabat Alam Malaysia (SAM), yang juga dipimpin oleh S. M. Mohamed Idris selama 40 tahun.

Pada awal 1980-an, S. M. Mohamed Idris berbincang dengan kami mengenai betapa perlunya untuk mengembangkan usaha CAP ke peringkat antarabangsa memandangkan sumber kepada banyak masalah terletak dalam sistem global.

Jadi persidangan CAP pada 1984 adalah mengenai krisis pembangunan dalam Dunia Ketiga. Pakar, wartawan dan aktivis dari seluruh dunia turut mengambil bahagian. Mereka menggesa CAP menubuhkan satu rangkaian untuk menangani masalah yang dihadapi oleh negara membangun dalam sistem dunia yang tidak seimbang. Oleh itu tertubuhlah Rangkaian Dunia Ketiga (Third World Network).

M. Mohamed Idris amat terkenal di peringkat antarabangsa. Apabila saya mengunjungi pejabat ikon pengguna Amerika yang terkenal Ralph Nader dan berkata saya mendapat penghormatan untuk bertemunya, dia mengejutkan saya dengan berkata: “Kehormatan adalah milikku. Saya mendengar semua mengenai S. M. Mohamed Idris dan CAP. Beliau adalah pejuang hak pengguna dunia.”

Aktivis kesihatan awam terkemuka dari Afrika Selatan, Prof. David Saunders, amat kagum selepas mengunjungi S. M. Mohamed Idris dan CAP: “Anda telah menubuhkan seluruh jentera yang berkesan untuk rakyat mengetahuinya dan berjuang untuk hak mereka.”

M. Mohamed Idris amat jauh ke hadapan dalam banyak isu. Beliau memulakan kempen antigula tiga dekad yang lalu apabila amat sedikit yang mengetahui akan bahaya pengambilan gula yang berlebihan. CAP juga membawa isu perubahan iklim lama sebelum kerajaan mengakuinya sebagai ancaman terbesar kepada kelangsungan dunia.

Isu kekebalan antibiotik yang kini dilihat sebagai masalah kesihatan global terbesar, juga diperjuangkan oleh CAP pada 1980-an.

Dua puluh tahun yang lalu, S. M. Mohamed Idris amat teruja mengenai keperluan untuk melindungi mikro-organisma dalam tanah: dua tahun yang lalu, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO) menerbitkan laporan mengenai bagaimana pentingnya mikro-organisma ini dan bagaimana ia kini terancam.

Banyak undang-undang telah ditukar atau diwujudkan disebabkan oleh memorandum dan perbincangan S. M. Mohamed Idris dengan pelbagai menteri dan pegawai kerajaan. Dan banyak projek yang dirancang yang dilihatnya sebagai membazir atau merosakkan kepentingan rakyat atau alam sekitar telah dibatalkan atau diubah suai.

Contohnya, kejayaan kempen CAP bersama NGO lain untuk menyelamatkan Bukit Bendera daripada projek pembangunan besar-besaran pada awal 1990-an.

M. Mohamed Idris juga amat mengambil berat terhadap golongan miskin dan tertindas. Beliau memastikan CAP dan SAM mengutamakan sokongan terhadap hak dan kebajikan nelayan, petani dan pekebun kecil, pekerja ladang dan kilang, setinggan, penyewa rumah dan tanah, penduduk asli Sarawak, Orang Asli dan pekerja asing. Semua ini bermula berdekad sebelum istilah “Bawah 40%” atau B40 menjadi terkenal.

M. Mohamed Idris juga menentang rundingan perjanjian perdagangan bebas Malaysia-AS (yang dibatalkan pada awal 2000-an), dan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik dan dalam bentuk baharu iaitu Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik Progresif dan Komprehensif (CPTPP). Beliau berpandangan ini akan menyebabkan Malaysia akan menyerahkan banyak dasar semasa yang penting dan berkompromi dengan kedaulatan negara. Beliau secara peribadi bertemu dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa ketika itu untuk mengemukakan hujahnya dan menghantar beberapa siri surat dan memo kepada pelbagai kementerian lain.

Perjuangan besarnya yang terakhir ialah membantah pelan induk pengangkutan bernilai RM45 bilion, yang beliau percaya akan merosakkan alam sekitar Pulau Pinang dan cara hidup. Dalam beberapa bulan, beliau secara peribadi memimpin dua bantahan termasuk satu berhampiran tapak projek tebus guna tiga pulau yang dirancang di Selatan Pulau Pinang.

M. Mohamed Idris adalah seorang yang sederhana, sering memakai kurta putih (baju tanpa kolar panjang gaya India) dan kain sarung. Beliau tidak mengejar anugerah. Hanya dua anugerah yang diterimanya iaitu Anugerah Tun Razak, dan Anugerah Ibnu Khaldun Universiti Islam Antarabangsa pada November lepas (walaupun beliau menegaskan bahawa anugerah itu diberikan kepada CAP dan bukan kepadanya).

Beliau bukan seorang yang berpuas hati dengan kejayaannya. Sebaliknya, walaupun begitu banyak pencapaian, S. M. Mohamed Idris sering kecewa memandangkan begitu banyak ketidakadilan di dunia ini, dan alam ini berhadapan dengan krisis yang paling buruk. Jadi beliau mendorong dirinya dan orang lain untuk terus bekerja yang dimulakan lama dahulu.

Ketika saya bertemu di rumahnya di Rose Avenue, George Town, dua Ahad lalu, beliau penuh bertenaga, mengingatkan saya agar CAP terus berusaha untuk mengatasi banyak isu yang masih belum diselesaikan. Malah selepas kematiannya, anaknya Fatima memberitahu, ayahnya ketika di hospital cuba untuk menyampaikan kepada saya supaya membuat penyelidikan kenapa pengurangan pembaziran makanan juga boleh merendahkan harga makanan.

Saya bermula dengan menyatakan bahawa S. M. Mohamed Idris adalah satu anugerah. Anugerah itu adalah seseorang yang tidak mengikuti jalan biasa dunia tetapi membentuk jalannya sendiri, mewujudkan jalan yang akan diikuti oleh orang lain. Beliau mempunyai anugerah yang dapat melihat perkara yang saling berkaitan dan kepentingan utama adalah melindungi alam sekitar.

M. Mohamed Idris adalah seorang anak Malaysia terbaik yang pernah dilahirkan dan pejuang sebenar kepentingan rakyat dan alam sekitar. Yakinlah bahawa banyak negara dan dunia akan meneruskan tugas yang anda berbakti untuknya sepanjang hayat.

*MARTIN KHOR, Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Penasihat Third World Network, dua pertubuhan yang diasaskan dan dipimpin oleh S. M. Mohamed Idris.