Pelbagai Pertubuhan  Gesa Malaysia Menyokong Dengan Tegas Penangguhan Sementara Penguatkuasaan Harta Intelektual WTO

Dua puluh lapan pertubuhan termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan tiga aktivis komuniti menggesa Malaysia supaya turut menyertai negara membangun lain dalam usaha global untuk menghapuskan monopoli produk perubatan penting dalam memerangi COVID-19.

Satu surat dihantar kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Hj. Mohd Yassin ketika ahli Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) meneruskan perbincangan mereka berhubung cadangan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan, permohonan dan penguatkuasaan beberapa bahagian perjanjian harta intelektual WTO untuk jangka masa yang akan ditentukan.

Penandatangan menekankan bahawa langkah ini akan membuka pintu kepada lebih banyak penyelidikan dan pembangunan serta pengeluaran produk perubatan COVID-19 yang diperlukan – kit diagnostik, ubatan untuk rawatan, vaksin dan juga peralatan perlindungan diri.

 Memandangkan vaksin pertama diluluskan dan dikeluarkan untuk rawatan, ia mengejutkan dunia membangun dan pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), apabila melihat “nasionalisme vaksin” dan pengumpulan yang melanda negara kaya. Sementara itu dapat difahami  bahawa setiap kerajaan mahu melindungi rakyat mereka sendiri, pandemik seperti COVID-19 menuntut seluruh dunia bekerjasama kerana menyelamatkan segelintir daripada seluruh dunia yang menderita tidak akan menyelamatkan sesiapa saja dalam jangka panjang. Virus khususnya apabila ia bermutasi untuk menjadi lebih mudah dijangkiti tidak akan mengira sempadan.

Sebab utama kekurangan produk perubatan COVID-19 yang penting ialah kemampuan pengeluaran yang tidak mencukupi dan harta intelektual adalah faktor utama disebabkan oleh monopoli yang diwujudkan yang akhirnya mengehadkan bilangan pengeluar.

 Malangnya negara kaya dan industri farmaseutikal multinasional menentang dengan keras cadangan pertama yang dibentangkan oleh India dan Afrika Selatan pada 2 Oktober 2020 supaya penangguhan sementara bahagian yang berkaitan Perjanjian Perdagangan berkaitan Aspek Hak Harta Intelektual (TRIPS).

Apa yang dipanggil “Cadangan Pengecualian” di WTO yang kini ditaja bersama oleh Afrika Selatan, India, Kenya, Eswatini (dahulunya Swaziland), Mozambique, Zimbabwe, Pakistan, Bolivia, Venezuela dan Mesir. Hampir 100 negara membangun dan negara miskin menyokong langkah ini. Terdapat juga sokongan seluruh dunia daripada banyak pertubuhan antarabangsa dan individu terkenal, dan tekanan awam yang semakin berkembang di Amerika Syarikat, Eropah, Kanada dan Jepun di mana kerajaan ini menyekat cadangan pengecualian di WTO.

 Ketua Pengarah WHO Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pada 18 Januari bahawa “kita kini sedang berdepan bahaya sebenar walaupun vaksin membawa harapan kepada sesetengahnya, ia menjadi satu lagi cabaran ketidaksamaan antara dunia miskin dan kaya”. Beliau memberikan maklumat mengejutkan mengenai pengedaran vaksin: “Lebih daripada 39 juta dos vaksin kini diberikan di sekurang-kurangnya 49 negara berpendapatan tinggi. Hanya 25 dos diberikan di sebuah negara berpendapatan rendah. Bukan 25 juta; bukan 25 ribu; hanya 25.”

“Saya perlu berterus terang: dunia kini diambang bencana kegagalan moral dan harga bagi kegagalan ini perlu dibayar dengan nyawa dan kehidupan di negara miskin dunia,” kata Tedros.

Minggu lepas, dunia melihat Kesatuan Eropah berusaha untuk penyampaian vaksin pada masanya yang ditempah dari AstraZeneca di bawah “perjanjian pembelian awal” dan menimbulkan persoalan penghantaran ke United Kingdom dari kilang pengeluaran di Eropah. Kelewatan dan pengiriman dos yang diharapkan membawa kepada EU mengenakan larangan eksport sehingga akhir Mac yang memerlukan kebenaran EU terlebih dahulu sebelum vaksin yang dalam perjalanan ke negara lain boleh meninggalkan wilayahnya. Terdapat kebimbangan meluas bahawa syarikat dengan vaksin yang diluluskan mungkin terlalu komited dalam menandatangani banyak perjanjian pembelian awal dengan negara yang mampu untuk membayarnya dan kelewatan penyampaian boleh menjejaskan program vaksinasi.

 Sementara itu, Amerika Syarikat sedang mengejar tindak balas COVID-19 kebangsaan, dan mengakui skala kecemasan  di mana Presiden Joe Biden menggunakan Defense Production Act of 1950 yang digunakan dalam waktu perang untuk memastikan bekalan barangan penting mencukupi. Akta ini membenarkan Presiden Amerika Syarikat memastikan perniagaan  untuk menerima dan mengutamakan kontrak bagi bahan yang dianggap penting untuk pertahanan negara tanpa menghiraukan kerugian yang dialami perniagaan itu. Sebagai tambahan kepada untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin, Amerika Syarikat akan menangani kekurangan itu termasuk pelitup muka N95, gaun pengasingan, sarung tangan nitril, barangan ujian swab bagi saringan Polymerase Chain Reaction (PCR), ujian reagen, mesin analisis makmal untuk ujian PCR, busa swab daya serapan tinggi, bahan untuk mempercepatkan lagi pengeluaran, penyampaian dan pemberian vaksin COVID-19. Sementara persediaan untuk mengambil semua tindakan yang diperlukan di dalam negara, Amerika Syarikat menyekat Cadangan Pengecualian yang diperlukan untuk usaha global.

Kerajaan Malaysia telah mengumumkan bahawa terdapat pelbagai pembekal vaksin tetapi pergantungan sepenuhnya kepada import daripada sumber yang terhad meletakkan kita dalam kedudukan yang amat mudah terjejas dan penyelesaian global mestilah menjadi satu-satunya jalan menuju kejayaan.

Perebutan vaksin yang berterusan dan potensi konflik pada masa depan mengenai ubatan yang boleh merawat COVID-19 dan malah PPE menunjukkan keperluan segera bagi Pengecualian TRIPS untuk mengatasi masalah kekurangan dan untuk menaikkan pengeluaran di seluruh bagi menyediakan produk perubatan secara adil kepada negara kecil dan besar.

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang

 

Dua puluh lapan (28) pertubuhan adalah seperti berikut:

1. Agora Society Malaysia

2. Citizens’ Health Initiative

3. Consumers’ Association of Penang (CAP)

4. Crisis Home

5. Health Equity Initiatives

6. IDRIS Association

7. Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI)

8. Jaringan Rakyat Tertindas/PSM

9. Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)

10. Malaysia AIDS Council

11. Malaysia Consumers Movement

12. Malaysian Consultative Council of Islamic Organizations

13. Malaysian Women’s Action for Tobacco Control and Health (MyWATCH)

14. Monitoring Sustainability of Globalisation (MSN)

15. Padi Rescue

16. Penang Forum

17. Persatuan Insaf Murni Malaysia

18. Persatuan Persaudaraan Muslim Malaysia

19. Positive Malaysian Treatment Access & Advocacy Group

20. Prostate Cancer Society Malaysia (PCSM)

21. Sahabat Alam Malaysia (SAM)

22. Sekretariat Gagasan Darul Aman

23. Sekretariat Transformasi Qaryah Malaysia

24. Tanjung Bunga Residents Association, Penang

25. Teras Pengupayaan Melayu

26. Third World Network (TWN)

27. Together Against Cancer

28. UNGGAS Malaysia

Penyokong Individu dan aktivis:

1. Isaac Tan

2. Jeremy Kwan

3. Manis Chen

 

Kenyataan Akhbar, 4 Februari 2021

Sila tekan di sini) Untuk muat turun surat kapada YAB PM Malayisa.

210204 CSO urgent call for Malaysia to support the adoption of the TRIPS Waiver Proposal at WTO