Pemandu Kenderaan Tidak Peka Mengejutkan Gajah

Sahabat Alam Malaysia (SAM) bimbang dengan insiden di Lebuhraya Timur-Barat baru-baru ini di mana gajah liar memijak bonet kereta selepas ia terperanjat oleh bunyi hon daripada pemandu kenderaan.

Di dalam keadaan ini, apabila berhadapan dengan gajah, Jabatan Hidupan Liar (PERHILITAN) telah menasihati pemandu kenderaan agar tidak menggunakan lampu tinggi dan mengelakkan daripada membunyikan hon. Bagaimanapun, seorang pemandu yang degil dan tidak sabar telah membunyikan hon, mengakibatkan kesan kerosakan kepada bonet kereta dipijak gajah tersebut. Lima penumpang kenderaan itu bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pegawai hidupan liar melaporkan bahawa pertembungan dengan gajah di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat yang bermula dari Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan itu merupakan perkara biasa.

Gajah liar dari Taman Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temenggor sering berkeliaran di sekitar lebuh raya pada awal pagi dan lewat malam untuk mencari makan ketika jarak penglihatan amat rendah.

Pengguna Lebuhraya Timur-Barat dinasihati agar tidak panik apabila berhadapan dengan gajah liar yang berkeliaran atau melintasi lebuh raya tetapi membiarkan mereka untuk melintasinya tanpa sebarang halangan.

Menurut pakar haiwan, bagi kebanyakan haiwan apabila berhadapan dengannya, jalan terbaik adalah dengan berdiam diri, jangan membuat pergerakan dengan tiba-tiba dan berundur diri secara perlahan. Apabila haiwan itu mendapati dirinya dalam keadaan di mana ia merasa terancam atau di mana salah satu daripada ahli keluarga mereka terancam, sama ada ancaman itu benar atau hanya imaginasi, ia mungkin mencetuskan tindak balas mengejut.

Haiwan itu mungkin mahu melarikan diri tetapi jika ia merasa tidak dapat melepaskan diri, ia mungkin memilih untuk mempertahankan diri sendiri. Jika terdapat kehadiran anak haiwan tersebut, ia menjadikan keadaan lebih buruk. Keluar daripada kereta juga berisiko dan perlu dielakkan sepenuhnya. Menggunakan kamera dengan cahaya lampu juga perlu dielakkan.

Berhadapan dengan gajah mungkin menggirangkan tetapi ramai yang tidak menyedari risiko berhadapan dengan haiwan ini. Laluan Gerik-Jeli telah menjadi tapak pembunuhan bagi hidupan liar dari hutan berdekatan. Papan tanda telah dipasang untuk memberi amaran mengenai haiwan liar yang melintas jalan raya tetapi ini tidak mencukupi memandangkan ada pemandu yang tidak bertanggunjawab dan cuai.

Pembangunan pesat telah menyebabkan banyak hidupan liar tempatan dan gajah kehilangan habitat mereka. Mereka kini dipaksa untuk mencari makanan seperti rumput, pokok kelapa dan buluh. Dengan jalan raya yang melintasi habitat hidupan liar, banyak spesies hidupan liar lain juga menjadi mangsa jalan raya bersama dengan gajah.

Berdasarkan kepada perangkaan oleh Perhilitan pada 2018, sejumlah 2,444 haiwan liar menjadi mangsa di jalan raya daripada 2012 sehingga 2017, dengan biawak mengalami kematian tertinggi iaitu 764, diikuti oleh musang (446), monyet (439), babi hutan (265), ular (147) dan kucing liar (88). Spesies hidupan liar terancam lain yang terbunuh di jalan raya adalah tapir, beruang matahari (enam), gajah (empat), kambing gunung (dua), harimau bintang (dua) dan harimau (satu).

Semua hidupan liar berhak untuk berkeliaran dengan bebas dan selamat. Atas nama pembangunan, hidupan liar menjadi korban. Keadaan ini menjadi semakin serius apabila begitu banyak kenderaan bergerak di jalan raya ketika musim cuti sekolah dan perayaan.

Pemandu perlu lebih bertanggungjawab apabila memandu pada waktu malam. Pembunuhan hidupan liar oleh mereka mungkin secara sengaja atau tidak sengaja. Pendidikan terhadap apa yang perlu dilakukan apabila berada di kawasan hidupan liar perlu dimasukkan kepada kurikulum pendidikan memandu.

Kementerian Pengangkutan, pihak berkuasa Lebuhraya, jurutera jalan, para perancang perlu mengambilkira kesan jalan raya terhadap hidupan liar sebelum membina lebuh raya dan jalan raya. Perancangan secara berperingkat perlu melibatkan Jabatan Hidupan Liar, ahli biologi hidupan liar, ahli pemuliharaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mitigasi impak jalan raya terhadap hidupan liar.

Surat Kepada Pengarang,26 Ogos 2020