Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengalu-alukan tindakan Kerajaan Negeri Sarawak membatalkan penghapusan hak milik Hak Tanah Adat (Native Customary Rights – NCR) yang melibatkan 26 hingga 30 kampung yang akan terjejas oleh projek Empangan Baram, yang terletak antara Long Na’ah dan Long Kesseh. SAM memuji komuniti Baram yang bersungguh-sungguh memastikan kebimbangan mereka terhadap cadangan empangan tersebut adalah disuarakan kepada Kerajaan Negeri dan akhirnya membuahkan hasil positif.
Pembatalan penghapusan hak milik NCR bermakna tiada keperluan bagi sebarang penempatan semula secara paksaan bagi komuniti yang terlibat di kawasan Baram dan mereka tidak akan kehilangan wilayah tanah adat mereka. Sama penting, kemusnahan beribu-ribu hektar ekosistem yang amat berharga dan kebun-kebun juga dapat dielakkan.
SAM berharap pembatalan ini adalah satu usaha yang ikhlas daripada pihak kerajaan dan bukan semata-mata gimik pilihan raya bagi tujuan mendapatkan lebih banyak undi bagi kerajaan yang memerintah.
Oleh sebab itu kami percaya kini adalah masanya bagi Kerajaan Negeri Sarawak mengambil langkah yang seterusnya membatalkan secara rasmi pembinaan Empangan Baram.
Menurut Suruhanjaya Tenaga, pada 2012, kemuatan terpasang penjanaan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) ialah 1,352MW, manakala permintaan maksimum adalah 1,229MW, menghasilkan margin rizab tenaga 10 peratus. Bagaimanapun, Empangan Bakun dikategorikan sebagai pengeluar tenaga bebas, juga menjana tambahan 1,200MW pada 2012.
Pada 22 Julai 2014, Sarawak Hidro Sdn. Bhd. dilaporkan mendedah kepada media bahawa Empangan Hidroelektrik Bakun 2,400MW hanya beroperasi sedikit lebih daripada 50 peratus daripada keupayaan penjanaan optimum 1,771MW memandangkan itu adalah keperluan semasa SEB. Hanya empat hingga enam daripada lapan turbin Bakun beroperasi selaras dengan keperluan tenaga SEB. Turbin kelapan hanya mula beroperasi pada Jun 2014.
Pada 2015, berita daripada media mendedahkan bahawa empat belas perjanjian pembelian tenaga (PPA) telah ditandatangani melibatkan bekalan lebih 3,000MW elektrik. Kebanyakan PPA melibatkan loji peleburan mangan dan aluminium, industri yang berintensifkan tenaga. Selanjutnya, tenaga tambahan bagi PPA berkaitan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang baharu akan dibekalkan oleh Empangan Murum, yang dijangka menjana antara 250MW dan 500MW pada akhir 2015, demikian menurut media.
Dengan lebihan tenaga yang ada sepertimana yang ditunjukkan di atas, tidak ada gunanya bagi Sarawak untuk terus membangunkan lebih banyak projek hidroelektrik. Oleh sebab itu, SAM menggesa Kerajaan Negeri Sarawak supaya membatalkan projek pembinaan Empangan Baram serta 10 lagi projek hidroelektrik yang dicadangkan di negeri ini dan memberikan tumpuan ke atas projek yang benar-benar memberikan manfaat kepada komuniti luar bandar.
Kenyataan Akhbar, 24 Mac 2016