alt

Pembelian Peralatan Perubatan Meragukan

alt

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merujuk kepada laporan akhbar berhubung tindakan Kementerian Kesihatan membeli peralatan perubatan yang meragukan. Kami agak terkejut apabila mengetahui pihak Kementerian menimbang, apatah lagi membeli, peralatan perubatan yang diragui kualiti dan asalnya untuk digunakan kepada pesakit. Oleh kerana perkara ini sudah dimaklumi, kami ingin mengetengahkan beberapa perkara penting berhubung isu ini.

Pertama, Kementerian Kesihatan membuat pertaruhan apabila ia membeli empat jenis peralatan perubatan yang dilabelkan sebagai “critical-care” dan meletakkannya di hospital kerajaan. Salah satu daripadanya, defibrillator monitor, menghantar tenaga elektrik ke jantung pesakit. Satu alat lagi, mesin anestetik, mengawasi aliran berterusan ubat anestesia (ubat bius) kepada pesakit. Jika salah satu daripada peralatan berkenaan mengalami kerosakan ketika digunakan, ia berkemungkinan menyebabkan kematian pesakit.

Tidak menghairankan jika keyakinan orang ramai terhadap Kementerian Kesihatan semakin menipis. Mereka akan terus mempersoalkan apa sahaja perkara berhubung Kementerian terbabit. Ini boleh memberi kesan kepada kedua-dua pihak memandangkan  orang ramai mungkin enggan mendengar kata-kata Kementerian Kesihatan  sungguhpun membabitkan perkara yang serius.

Bagaimanakah syarikat ini boleh diberi kelulusan untuk “mengeluar” dan menjual peralatan perubatan? Menurut laporan akhbar,  syarikat terbabit masih belum memenuhi syarat-syarat asas yang diperuntukkan di bawah Akta Peralatan Perubatan. Namun Kementerian Kesihatan telah memberikan status “pemasangan tempatan” kepadanya dan menyebut bahawa ia “perlu diberi keutamaan” ketika membeli 4 jenis mesin tersebut. Nampaknya istilah “menutup sebelah mata” tidak memadai dalam kes ini. Kami berharap mereka yang bertanggungjawab dalam perkara ini akan lebih berwaspada terhadap perkara-perkara yang membabitkan nyawa manusia.

Ada kemungkinan juga ia bukanlah satu-satunya syarikat  yang tidak memenuhi peruntukan asas yang ditetapkan dalam Akta Peralatan Perubatan tetapi dibenarkan menjual peralatan perubatan kepada hospital dan klinik. Jika sekali pernah berlaku, tidak mustahil perkara sama akan berulang; malah mungkin kini sudahpun berlaku. Persoalannya, berapa banyak peralatan perubatan tidak selamat yang ada?

Selain itu kami juga ingin mempersoalkan dari mana datangnya peralatan perubatan tersebut? Laporan akhbar menyebut di sebalik hakikat bahawa syarikat berkenaan telah diberikan status “pemasangan tempatan”, premis pemasangannya hanya dua baris rumah kedai yang tidak pula kelihatan kerja-kerja pemasangan dilakukan di situ. Siapakah yang membekalkan peralatan perubatan yang meragukan ini? Adakah ia buatan tempatan atau diimport dari luar?

Tanggapan bahawa hospital swasta juga mungkin tanpa sedar telah membeli peralatan perubatan dari syarikat-syarikat yang diragui kesahihannya turut bermain di fikiran. Memandangkan peralatan perubatan yang dibeli oleh Kementerian Kesihatan jelas dikeluarkan oleh syarikat lain dan bukannya syarikat yang separuh daripadanya milik mantan ketua pengarah kesihatan, ada kemungkinan lain-lain peralatan perubatan yang rosak telah digunakan di hospital-hospital lain.

Sehubungan itu, CAP menggesa supaya badan bebas diberi kuasa menyiasat mengenai kualiti peralatan perubatan yang digunakan di Malaysia,  dan sama ada peralatan berkenaan dipantau dari semasa ke semasa. Kami berharap pihak Kementerian Kesihatan tidak memperjudikan nyawa pesakit dan memastikan mulai sekarang, semua hal ehwal perubatan perlu mengikut peraturan yang sedia ada.

 

Surat kepada Pengarang, 11 November 2014