Pemberian Ubatan Percuma Hanya Pada Nama 

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan tindakan Kementerian Kesihatan meneliti Skim Akses Pesakit bagi memastikan ia selaras dengan piawaian audit dan pemerolehan  yang sempurna.

Mengikut skim itu, ubatan diberikan secara percuma apabila ubatan dibeli dalam jumlah  tertentu. Pada dasarnya, ini ‘bukanlah percuma’ dan tidak boleh dianggap sebagai program akses kerana untuk mendapatkannya anda perlu membeli ubatan tertentu dalam jumlah tertentu. Produk hanya boleh dianggap percuma apabila ia bebas diperolehi tanpa perlu membeli ubatan lain dan diberikan demi kesihatan pesakit.

Malah amalan mendapatkan ubatan dengan banyak apabila membuat pembelian boleh dilihat sebagai rasuah untuk mendorong pembelian ubatan tertentu. Hakikat bahawa ubatan yang ‘kononnya’ percuma ini diberikan secara terus kepada doktor adalah satu lagi ‘bendera merah’. Adakah ia akan diberikan kepada pesakit yang miskin atau pesakit yang berpengaruh?

CAP akui rawatan bagi sesetengah penyakit yang jarang berlaku atau yang mengancam nyawa adalah mahal dan sehubungan itu telah lama menggesa ke arah kawalan ke atas harga ubatan untuk memudahkan pesakit mendapatkannya. Terdapat juga kelonggaran dalam kerangka kerja perundangan kita seperti lesen kegunaan kerajaan dan lesen kompulsari yang membenarkan pembelian versi ubat yang lebih murah bagi ubat yang sama. Dengan itu sesiapa sahaja mudah mendapatkannya.

Kerajaan, menerusi Kementerian Kesihatan, merupakan penjaga kesihatan awam dan perlu mengambil apa sahaja tindakan perundangan bagi memastikan ubat-ubatan mudah diperolehi oleh rakyat. Industri farmaseutikal multinasional hanya mementingkan keuntungan dan program skim bantuan pesakit sebegini tidak lebih daripada skim pemasaran sosial yang membantu penjualan beberapa produk tertentu.

Kita juga perlu  berwaspada terhadap ‘kumpulan pemikir’ yang bertindak bagi pihak industri farmaseutikal multinasional atas nama untuk kepentingan awam. Tidak ada perkara yang lebih buruk bagi pesakit.

CAP sekali lagi merayu kepada Kementerian Kesihatan agar mengadakan kawalan harga ke atas ubat-ubatan farmaseutikal dengan segera. Ketiadaan kawalan harga ubatan telah membawa kepada keadaan semasa di mana ‘akses’ untuk ubatan terikat dengan pembelian ubatan dalam jumlah tertentu.

 

Surat kepada Pengarang, 17 Ogos 2018