Pemungutan Yuran: Ibu-bapa, pengusaha tadika dan pusat jagaan kanak-kanak juga perlu tahu selain pengusaha bas sekolah

 

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk mengkajisemula secara serius semua langkah-langkah yang telah mereka ambil selama perintah kawalan pergerakan (PKP) dan mengenalpasti adakah sektor yang belum ditangani. Salah satu sektor yang belum diselesaikan adalah masalah mengenai pengusaha tadika dan pusat jagaan kanak-kanak.

Pengusaha tadika dan pusat jagaan kanak-kanak meminta ibu bapa membayar yuran mereka, kadang-kadang termasuk kos makan, untuk anak-anak mereka walaupun berada di bawah PKP sejak 18 Mac. Keadaan yang sama berlaku untuk pengusaha bas sekolah yang meminta pelajar membayar tambang bulanan. Ibu bapa berada dalam dilema kerana tidak ada garis panduan yang jelas mengenai perkhidmatan yang tidak dapat diberikan.

Menteri Kanan (kluster keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini menyatakan bahawa “pengusaha (bas sekolah) tidak patut menuntut bayaran untuk perkhidmatan yang tidak diberikan”. Beliau juga harus menangani hal lain yang sangat penting mengenai tadika dan pusat jagaan kanak-kanak yang pada pendapat CAP adalah bahawa ibu bapa tidak seharusnya membayar (dalam keadaan serupa) untuk perkhidmatan yang tidak diberikan. Menteri Pengangkutan mesti mengeluarkan kenyataan awam dan bukannya arahan kepada pengusaha bas sekolah tidak lama lagi.

CAP telah membangkitkan masalah ini pada awal April setelah menerima aduan daripada ibu bapa, tetapi masalah itu tidak ditangani. Kita harus prihatin kerana, selain ibu bapa yang terlibat, terdapat 6,111 prasekolah di negara ini pada 2018; dan 16,861 bas sekolah berdaftar di Semenanjung Malaysia yang dikendalikan oleh 10,496 pengusaha di Semenanjung sahaja yang sangat perlu mengetahui kedudukan mereka dalam isu ini.

Kami ingin mengulangi pendirian kami bahawa pengusaha tadika, pusat jagaan kanak-kanak dan  bas sekolah tidak harus mengenakan sebarang yuran semasa PKP, terutamanya kerana mereka tidak memberikan perkhidmatan sepanjang tempoh ini. Kini tanggungjawab terletak pada Kerajaan untuk menbuat pengumuman mengenai pemungutan yuran tersebut. Pada masa yang sama kerajaan harus memberi bantuan kepada pengusaha bas sekolah, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak yang kewangan mereka terjejas kerana PKP.

 

Kenyataan Akhbar, 11 Mei 2020