Sahabat Alam Malaysia (SAM) ingin mengumumkan pelancaran penerbitan Pencerobohan Tanah Adat Orang Asli di Semenanjung Malaysia: Punca dan Penyelesaian, hasil projek kerjasama kami dengan Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM).
Pada dasarnya, penerbitan ini menekankan bahawa pencerobohan tanah adat Orang Asli adalah berpunca dari permasalahan sistemik kepemerintahan dan perundangan, dan bukannya kejadian-kejadian terasing akibat dari perlanggaran perundangan tergubal atau arahan eksekutif. Ia mengandungi 12 buah laporan terperinci yang melibatkan 13 buah wilayah tanah adat Orang Asli di Kelantan, Pahang dan Perak. Penerbitan ini turut memberikan analisis tentang keberkesanan kerangka perundangan dan kepemerintahan di Semenanjung Malaysia dalam memberikan perlindungan yang kukuh terhadap tanah adat Orang Asli.
Sebuah hasil dapatan penting laporan ini adalah tentang ketiadaan proses perundingan yang bermakna dan pemberian izin yang dilakukan untuk pemilik-pemilik tanah adat Orang Asli, sebelum sebarang pemberian lesen pembalakan dan perladangan dikeluarkan dan malah kadangkala, sebelum operasi dimulakan. Masyarakat terjejas telah melaporkan bahawa mereka pertama kali maklum tentang pemberian lesen-lesen ini hanya ketika aktiviti persediaan berkaitan dengan operasi penebangan sedang dilakukan atau ketika operasi penebangan akan dimulakan atau malah, selepas penebangan dimulakan. Walaupun ‘perundingan’ mungkin ada dilakukan oleh beberapa buah syarikat, dengan atau tanpa kehadiran pihak berkuasa seperti Jabatan Perhutanan, semua ini dilakukan hanya setelah lesen-lesen tersebut diperolehi. Tambahan lagi, walaupun ‘perundingan’ seperti ini kelihatannya seperti sebuah proses memohon izin, mereka sebenarnya berfungsi lebih sebagai proses pemberitahuan sahaja. Seterusnya, masyarakat terjejas akan menghadapi pelbagai cabaran untuk membantah lesen-lesen operasi ini, disebabkan status ‘sah’ mereka di sisi undang-undang tergubal.
Makanya itu, kefahaman yang baru amat diperlukan tentang ‘pembalakan haram’ dan ‘pembalakan yang memudaratkan’. Jelasnya, pembalakan yang mematuhi segala undang-undang tergubal di Malaysia hari ini tetapi masih tetap menceroboh wilayah tanah adat Orang Asal adalah pembalakan yang memudaratkan. Seterusnya, jika pembalakan yang sah itu masih tidak menghormati hak tanah adat Orang Asal, ianya masih lagi gagal mencapai kesempurnaan perundangan dan tidak boleh diterima sebagai pembalakan mampan.
Penerbitan ini juga turut memberikan perhatian terhadap masalah proses pewartaan hutan simpanan kekal (HSK) yang dikatakan penting untuk memastikan pembalakan yang mampan namun, pada masa yang sama, turut menggugat pengamalan penuh hak-hak tanah adat Orang Asli. Masyarakat terjejas turut mengesahkan bahawa proses pewartaan HSK ini telah dilakukan tanpa sebarang proses pemberian izin berasaskan pemberian maklumat awal, bebas dan telus (IMABT).
Selain itu, masyarakat terjejas turut melaporkan tentang bagaimana operasi pembalakan dan perladangan masih lagi memberikan kesan-kesan alam sekitar dan sosio-ekonomi yang buruk. Ini termasuklah pencemaran sumber-sumber air dan kemusnahan sumber-sumber hutan dari mana makanan, ubat-ubatan, punca pendapatan dan bahan-bahan untuk upacara kerohanian diperolehi masyarakat. Di dalam beberapa buah kes, ladang-ladang dan kubur-kubur telah turut termusnah.
Penerbitan ini menyimpulkan bahawa antara punca sistemik pencabulan hak tanah adat ini adalah ketiadaan jaminan pegangan tanah buat masyarakat Orang Asli berserta tafsiran satu hala negeri-negeri tentang keluasan dan sempadan tanah-tanah adat, tanpa pemberian peta-peta rasmi dan penandaan sempadan di atas tanah. Masyarakat tidak tahu sebenarnya bagaimana negeri-negeri memutuskan sempadan-sempadan wilayah mereka tanpa perundingan dan persetujuan mereka.
Penerbitan ini mengesyorkan bahawa reformasi undang-undang tergubal amat perlu dilakukan terhadap Akta Orang Asli 1954, Kanun Tanah Negara 1965, Akta Perhutanan Negara 1984, Akta Taman Negara 1980, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, undang-undang negeri tentang pemuliharaan alam dan enakmen mineral negeri-negeri. Setelah keputusan kehakiman mengiktiraf hak tanah adat Orang Asal sebagai hak terhadap harta yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan, adalah tidak wajar ianya terus ditafsirkan sebagai hak kepenggunaan atau hak penyewa atas ihsan sahaja. Selain itu, proses pemetaan dan penandaan sempadan bersama masyarakat untuk tujuan pemberian geran komunal juga wajib diperkenalkan.
Kenyataan Media, 9 Januari 2017
Penerbitan ini (di dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris) boleh dicapai di:
http://www.foe-malaysia.org/encroachment_on_orang_asli_customary_land_in_malaysia_causes_solutions