Pencemaran Bau: Pencemaran Alam Sekitar yang Mesti Dicegah Kerajaan Perlu Berkhidmat untuk Rakyat bukannya Korporat

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa untuk mempertimbangkan dengan serius pencemaran bau sebagai isu alam sekitar yang penting kerana ianya menjejaskan kualiti hidup masyarakat dan hak untuk persekitaran yang bersih. Usaha untuk mencegah bau yang tidak menyenangkan adalah perlu untuk mengekalkan kualiti alam sekitar yang bersih dan juga kualiti hidup.

CAP amat kecewa dengan cara tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan agensi kerajaan lain dalam menangani aduan pencemaran bau yang telah memberi impak besar kepada komuniti di Kampung Tok Subuh, Juru dekat Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah.

Kesihatan penduduk dan peniaga di sini terancam, aktiviti luaran mereka telah dihadkan dan mereka tinggal dalam persekitaran yang tidak menyenangkan sejak sebuah kilang mengecat skru mula beroperasi di sini.  Bau thinner yang digunakan dalam operasi kilang tersebut adalah tidak tertahan bagi mereka.

Pada umumnya, reaksi kepada bau adalah subjektif tetapi masih mengganggu,menjejaskan kehidupan, kesihatan dan kesejahteraan individu secara amnya, lanjutan daripada keamatan, ciri, kekerapan, dan jangkamasa pendedahan kepada bau tersebut.  Keluarga yang tinggal berjiran dengan kilang tersebut kerap sakit, mengalami kegatalan kulit dan sakit tekak. Mereka biasanya duduk di dalam rumah dan jarang membuka tingkap dan pintu rumah.  Burung peliharaan dan pokok-pokok di sini juga telah mati.

Apakah reaksi pihak berkuasa terhadap aduan ini? Jabatan Alam Sekitar telah mengarahkan kilang tersebut untuk memasang alat kawalan kekal untuk mengawal bau thinner pada proses Spinning dan Dipping. Selepas pemasangan pada Mac 2016, pemantauan susulan dan keputusan ujian pencemaran udara yang dilakukan oleh pihak syarikat, pihak berkuasa puas dengan hasilnya.

Namun demikian, komuniti di sini mengadu bahawa mereka masih menghadapi pencemaran bau ini, yakni ia masih menyebabkan kacau-ganggu. MPSP kemudiannya menulis kepada pengadu pada 24 Mac 2016 untuk melantik Orang yang Kompeten untuk memberikan pandangan kedua dan mengemukakan hasil kajian dalam tempoh 14 hari.  Sekiranya gagal membuat demikian, MPSP akan beranggapan bahawa perkara ini telah selesai dan tiada tindakan lanjut perlu diambil oleh Majlis. Kami tidak sangka kerajaan yang “prihatin” dan “bertanggungjawab” akan bertindak sebegini !

Tidak diragui bahawa pencemaran bau adalah masalah pencemaran udara yang paling kompleks dan rumit. Kita memerlukan perundangan spesifik untuk menangani pencemaran bau dan peralatan mengukur kepekatan bau. Semasa perancangan dan pemberian lesen kepada sesuatu premis,  pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan perlu mempertimbangkan kesan alam sekitar termasuk kesan daripada bau dari premis kepada komuniti.  Aduan rakyat mesti diselesaikan dan bukannya tidak dipedulikan demi kepentingan korporat.

 

Kenyataan Media, 19 April 2016