PENDEDAHAN KIMIA TOKSIK SEPANJANG KITARAN HAYAT PLASTIK

Tindakan Segera Global Diperlukan: Laporan UNEP

 Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang baharu dikeluarkan pada minggu lepas mengesyorkan supaya mengurangkan pengeluaran plastik dan menangani bahan kimia dalam plastik di peringkat global untuk melindungi kesihatan manusia dan alam sekitar. Bahan kimia yang dikeluarkan sepanjang kitaran hayat plastik menimbulkan ancaman kesihatan dan alam sekitar yang serius, menurut “Laporan Teknikal: Bahan Kimia dalam Plastik”.

Di seluruh dunia, kira-kira 22 juta tan plastik dan bahan kimia daripada plastik ini dilepaskan ke dalam alam sekitar pada setiap tahun, menurut laporan itu yang memetik laporan OECD 2022. Kebanyakan bahan kimia yang digunakan atau ditemui dalam plastik boleh berpindah atau melarut resap keluar dari semasa ke semasa. Bahan kimia yang dilepaskan daripada plastik semasa pengeluaran, penggunaan, dan pelupusan sisa boleh mencemari udara, air, tanah, dan rantaian makanan, dengan akibatnya berisiko kepada kesihatan manusia.

Laporan itu mengenal pasti 10 kumpulan bahan kimia yang menjadi kebimbangan utama kerana ketoksikannya yang amat tinggi, serta potensinya untuk berpindah atau dilepaskan daripada plastik. Bahan kimia itu termasuk bahan kalis api khusus, penstabil UV tertentu, PFAS, ftalat, bisphenol, biosida, hidrokarbon aromatik polisiklik dan pelbagai lagi bahan yang ditambah dengan secara tidak sengaja.

“Bahan kimia [daripada plastik] didapati dikaitkan dengan pelbagai kesan toksik akut, kronik atau toksik pelbagai generasi, termasuk ketoksikan organ yang disasarkan secara khusus, pelbagai jenis kanser, mutasi genetik, ketoksikan pembiakan, ketoksikan perkembangan, gangguan endokrin dan ekotoksisitas.

“Tanpa pelaksanaan langkah-langkah yang diselaraskan secara global, peningkatan pengeluaran plastik dan bahan kimia yang berkaitan akan mengakibatkan peningkatan tahap pencemaran dan kos alam sekitar, sosial dan ekonomi yang berkaitan,” menurut laporan itu lagi.

Dibangunkan oleh UNEP dengan kerjasama Sekretariat Konvensyen Basel, Rotterdam dan Stockholm, laporan itu mendedahkan secara terperinci ancaman kesihatan yang tidak kelihatan yang ditimbulkan oleh lebih 13,000 bahan kimia yang dikaitkan dengan plastik dan keperluan bagi kawalan bahan kimia global dan pendekatan yang menggalakkan pengurangan pengeluaran plastik.

Ia memberi amaran bahawa:

1.  Plastik membawa bahan kimia toksik. Kerana plastik bergerak di seluruh dunia, bahan kimia toksik daripada plastik ditemui di setiap sudut planet ini, menunjukkan keperluan bagi kawalan bahan kimia dan plastik di peringkat global. Arus lautan mengangkut plastik yang mengandungi anggaran 1,900 hingga 7,400 tan bahan kimia tambahan berbahaya (dan bahan kimia tambahan inilah yang menyerap masuk ke dalam plastik) ke Artik setiap tahun, dengan Orang Asli di Artik mengalami pendedahan bahan kimia yang tinggi terutamanya melalui pengambilan makanan tradisional yang tercemar.

2.  Sisa plastik menghasilkan pencemaran bahan kimia. Kebanyakan sisa plastik dan bahan kimia yang berkaitan dengannya dibuang ke tapak pelupusan sampah atau tempat pembuangan sampah atau bocor terus ke dalam alam sekitar, sebahagian besarnya di negara membangun. Bahan kimia daripada sisa plastik dilepaskan dari tapak pelupusan sampah dan tempat pembuangan sampah, mencemarkan air bawah tanah, tanah dan rantaian makanan di kawasan persekitaran. Beberapa bahan kimia toksik yang biasa terdapat dalam plastik telah dikesan pada kepekatan tinggi di tapak pelupusan sampah tertutup walaupun 50 tahun selepas penutupan.

3.  Kitar semula plastik mengitar semula bahan kimia toksik & mewujudkan bahaya kimia baharu. Bahan kimia yang digunakan dalam produk plastik boleh mencemarkan plastik kitar semula. Banyak kajian telah menemui bahan kimia toksik, termasuk beberapa bahan terlarang di peringkat global atau nasional, dalam alat mainan plastik kitar semula dan produk lain. Kitar semula bahan kimia dan teknologi kitar semula lain boleh menghasilkan jumlah sisa berbahaya yang tinggi yang membawa kepada komplikasi pelupusan tambahan.

Ketelusan mengenai bahan kimia dalam plastik adalah amat penting. Ia mestilah terdapat maklumat yang tersedia secara umum mengenai bagaimana bahan kimia yang berkaitan dengan plastik disintesis, bagaimana ia disepadukan ke dalam plastik, dan pada tahap apa bahan kimia itu berakhir dalam bahan plastik, menurut laporan itu lagi.

Ia mencadangkan pendekatan dasar bagi menangani bahan kimia yang membimbangkan ini, melalui penghapusan fasa pengawalseliaan (terutamanya bahan kimia yang paling bermasalah, termasuk POP yang disenaraikan untuk penghapusan dan kawalan global) dan pengurangan dalam penggunaan bahan kimia yang dikenal pasti oleh rangka kerja dasar global SAICM untuk menggalakkan keselamatan bahan kimia.

Ia turut mengesyorkan agar negara membangun menggubalkan peraturan negara selaras dengan peraturan global dan keperluan lain bagi bahan kimia dalam plastik dan sisa plastik.

Laporan itu mempunyai kepentingan segera bagi rundingan Perjanjian Plastik Global yang akan datang di Paris pada akhir bulan ini. Seperti yang diakui dalam laporan itu, mengehadkan pengeluaran plastik akan menjadi penyelesaian yang lebih berkesan kepada krisis plastik.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Malaysia supaya mematuhi saranan yang antara lain adalah untuk mengurangkan pengeluaran dan penggunaan plastik, bermula dengan plastik yang tidak penting. Kita perlu mencegah penyelesaian palsu kepada krisis plastik dan sebaliknya mempromosikan reka bentuk dan pembuatan bahan bebas toksik.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Kenyataan Akhbar, 16 Mei 2023

 

Rujukan: https://www.unep.org/resources/report/chemicals-plastics-technical-report