PENDUDUK PINTASAN KELICAP BIMBANG TANAMAN DIMUSNAHKAN

Kami penduduk-penduduk di Pintasan Kelicap, Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas membantah keputusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan kami supaya mengalihkan tanaman dan struktur tanpa kebenaran di atas bahu jalan di kawasan ini.

Notis bertarikh 18 Oktober 2021dari Jabatan Lanskap itu meminta kami berbuat demikian dalam tempoh 14 hari dan jika sebaliknya tindakan mengeluarkan tanaman dan struktur akan diambil.

Kami merasa kesal dan berada dalam kebimbangan bukan saja kerana lebih kurang 10 jenis tanaman yang kami usahakan sejak lebih 20 tahun yang lalu akan musnah tetapi juga tindakan undang-undang dan hukuman yang bakal dikenakan turut menghantui kami sejak notis berkenaan dikeluarkan.

Antara jenis tanaman yang kami tanam di kawasan lapang di hadapan rumah kami ialah kelapa, jambu, mempelam, tanaman herba dan beberapa jenis tanaman keperluan harian lain seperti serai dan pokok pandan.

Tanaman tersebut bukan untuk jualan tetapi untuk menampung keperluan hidup kami. Pada masa yang sama aktiviti penanaman pokok yang kami lakukan di sini juga bertujuan untuk mencegah kesan pencemaran habuk, asap hitam dan bunyi bising kenderaan yang siang dan malam melalui jalan utama berhampiran.

Sebagai rakyat Pulau Pinang kami menyambut baik slogan Pulau Pinang Hijau dan Bersih di samping berhasrat untuk menjayakan projek pertanian bandar yang dilancarkan oleh pihak kerajaan.

Oleh yang demikian kami sebahagian dari 84 keluarga yang terlibat dengan masalah ini menyeru dan merayu agar MBPP menarik balik dan membatalkan segera arahan yang dikeluarkan serta mengekalkan tanaman kami bagi meneruskan aktiviti pertanian yang menjadi sumber makanan untuk kami dan kemajuan sektor pertanian negara.

 

HARNANI BINTI HASAN

Pengerusi

Jawatankuasa Bertindak Penduduk Pintasan Kelicap

Jalan Dato Ismail Hashim

Bayan Lepas, Pulau Pinang.

 

Kenyataan Media, 8 November 2021