Sahabat Alam Malaysia (SAM) memandang serius dan menggesa pihak kerajaan Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang serta Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Tengah untuk turun padang dan menyiasat satu kegiatan penerokaan hutan bakau yang berlaku di Juru, Bukit Tengah. Lokasi tersebut adalah melalui jalan ban bermula dari Jeti Nelayan Sungai Belanak menghala ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Juru.
Dalam satu tinjauan ke jalan ban di Juru, Bukit Tengah baru-baru ini kami dikejutkan dengan penemuan sebuah jentera sedang melakukan aktiviti membersih hutan bakau serta meratakan tanah lumpur sambil diperhatikan oleh beberapa individu di situ. Kami turut menemui beberapa orang yang melalui jalan ban ini dan mereka menyatakan bahawa mereka tidak mengetahui tentang projek yang akan dilaksanakan. Ada yang menyatakan berkemungkinan projek ini adalah untuk membangunkan kolam ternakan akuakultur.
Kami merasa hairan bagaimana hutan bakau di kawasan ini boleh diteroka dengan sesuka hati sedangkan keluasan hutan bakau ini tidaklah seluas mana malah yang masih berbaki di kawasan ini hanya tinggal sedikit sahaja.
Maklumat dan kajian yang kami peroleh mendapati lebih daripada separuh hutan paya laut di Negeri Pulau Pinang telah ditukar guna tanahnya sebelum tahun 1990. Mengikut kajian pada tahun 1950an negeri Pulau Pinang mempunyai kira-kira 3,500 hektar kawasan Hutan Paya Laut. Guna tanah utama yang mengurangkan keluasan kawasan hutan paya laut negeri ini adalah untuk pertanian, perindustrian dan perumahan.
Tukar guna tanah untuk pertanian (contohnya kelapa sawit) berlaku kebanyakannya dalam tahun 1960 dan 1970. Dalam tahun 1970, 1980 serta 1990 kebanyakannya adalah untuk perindustrian dan perumahan. Cabaran utama semasa bagi kawasan hutan paya laut sekarang adalah tukar guna tanah untuk projek akuakultur.
Kini keluasan hutan paya bakau yang masih ada di kawasan Pulau Pinang termasuk Seberang Perai tidak lebih dari 400 ha.
Persoalannya ialah siapa yang memusnahkan hutan bakau tersebut dan apakah projek yang akan dijalankan di kawasan ini? Adakah ia untuk pembangunan projek akuakultur? Walau apapun kami di SAM kesal dengan isu penerokaan hutan bakau ini kerana semua pihak tahu tentang kepentingan dan manfaat hutan paya bakau kepada pesisir pantai selepas kejadian ombak besar tsunami pada Disember 2004 yang lalu.
Sehubungan itu kami ingin mengetahui status hutan bakau yang diteroka di sini dan tujuan sebenar kegiatan ini sama ada ia telah mendapat kelulusan dari pihak kerajaan atau sebaliknya. Kami juga mendapati tiada sebarang papan tanda atau notis pemberitahuan tentang bentuk projek yang akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Kami berharap pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan agensi-agensi yang terbabit memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera menghentikannya jika aktiviti berkenaan tidak mengikut undang-undang serta peraturan yang ada dan boleh mengancam alam sekitar negeri ini.
Hasil siasatan tentang aktiviti ini perlu diumumkan segera agar orang ramai tidak tertanya-tanya tentang apa yang sedang berlaku sepertimana persoalan yang diajukan kepada kami ketika tinjauan dibuat di kawasan terbabit. Sekiranya didapati operasi yang dijalankan adalah dilakukan secara haram, tindakan tegas perlu diambil ke atas pesalah dan kawasan ini dibaikpulih dengan kos ditanggung oleh pihak terbabit.
Kenyataan Media, 11 Oktober 2018