Pengeluaran KWSP jejaskan simpanan ahli

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah beberapa kali memberi amaran kepada kerajaan mengenai kebenaran ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengeluarkan simpanan mereka melalui i-Lestari dan i-Sinar pada 2020, i-Citra pada Julai 2021, dan pengeluaran khas pada Mac 2022. Walau bagaimanapun, ia tidak diendahkan.

Dana KWSP adalah untuk persaraan ahlinya dan bukan untuk mereka mengeluarkannya bagi mengatasi masalah kewangan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pengeluaran seperti ini akan menyebabkan mereka menjadi miskin.

Kebimbangan kami ternyata betul apabila media melaporkan pada awal Ogos 2022 bahawa ahli KWSP yang mengeluarkan RM145 bilion di bawah empat program pengeluaran, dan hampir RM10 bilion daripada kesan program pengurangan kadar caruman berkanun bahagian pekerja. Oleh itu, ia berjumlah kira-kira RM150 bilion.

Hasil daripada pengeluaran itu, seramai 6.62 juta (52%) ahli daripada jumlah 12.78 juta ahli KWSP yang berumur di bawah 55 tahun hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000. Manakala 3.2 juta lagi (25.04%) daripada kumpulan umur itu mempunyai simpanan KWSP kurang daripada RM1,000.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah, ahli KWSP boleh memilih untuk mencarum melebihi kadar caruman berkanun pekerja sebanyak 11% pada bila-bila masa. Cadangan beliau adalah tanpa asas, kerana tidak mengambil kira keadaan sebenar di lapangan.

Dengan kadar inflasi yang melambung tinggi, orang ramai menghadapi kesukaran untuk meneruskan kelangsungan hidup setiap bulan dan negara kita akan mengambil masa beberapa tahun untuk pulih semula. Adakah realistik untuk mengharapkan ahli KWSP B40 dan M40 yang lebih rendah untuk mencarum lebih daripada 11% caruman berkanun dalam beberapa tahun akan datang?

Menurut KWSP, seseorang itu perlu menyimpan sekurang-kurangnya RM240,000 pada masa dia bersara pada usia 55 tahun untuk menampung keperluan asas seperti makanan dan kos harian. Itu tidak mengambil kira penyusutan nilai simpanan akibat inflasi.

Pada Mac 2022, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata bahawa KWSP perlu “melupuskan lebih banyak pelaburan luar negara”. Selain itu, beliau menambah bahawa ia juga perlu menghentikan pelaburan domestik dalam jangka pendek hingga sederhana jika pengeluaran khas RM10,000 dibenarkan. Ia bukan satu berita baik untuk 14 juta ahli KWSP.

Kesan gabungan pekerja mengeluarkan simpanan dan pengurangan kadar caruman berkanun mereka adalah memaksa KWSP menjual asetnya untuk membayar dividen yang munasabah. Ia membayar dividen sebanyak 6.10% untuk simpanan konvensional dan 5.65% untuk Simpanan Syariah bagi 2021, berjumlah RM56.8 bilion. Bagaimana perkara ini boleh berterusan! Seseorang itu akan mengalami akibat yang tidak menyenangkan daripada tindakan buruk mereka pada masa lalu, maka sudah tentu dana ini tidak mencukupi untuk membayar dividen.

Dalam masa yang mencabar ini, kerajaan mestilah tidak membenarkan wang simpanan pekerja terhakis untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan kewangan. Ia mesti menubuhkan dana dan memberi bantuan kewangan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

 

 

Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Surat Kepada Pengarang, 26 Ogos 2022