Sudah berulangkali kita mendengar pihak berkuasa mengharamkan krim muka kerana ia diketahui mengandungi bahan-bahan yang berbahaya, misalnya merkuri. Namun pengharaman itu seolah-olah tidak berkesan memandangkan krim muka yang mengandungi merkuri masih beredar di pasaran.
Dalam satu tinjauan rawak yang dijalankan sekitar Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, kami mendapati krim pemutih, termasuk yang telah diharamkan, masih berleluasa penjualannya. Kami juga mendapati beberapa krim kecantikan tiruan dari jenama popular turut dijual.
Sewaktu diuji, kami mendapati 9 sampel mengandungi merkuri antara 0.7 – 44,148 bahagian persejuta (bps). Dalam ujian terdahulu pada 1983, paras tertinggi merkuri dalam sampel yang diuji cuma 28,000 bps.
Antara sampel yang diuji itu turut termasuk produk yang telah diharamkan oleh Kementerian Kesihatan namun hingga kini masih berada di pasaran.
Produk kosmetik pencerah kulit yang mengandungi merkuri mendedahkan risiko bahaya kepada pemakainya. Merkuri dalam produk pencerah yang mampu meresap melalui kulit bukan sahaja boleh merosakkan kulit malah buah pinggang dan sistem saraf.
Penduduk Asia terlalu ghairah untuk mempunyai kulit yang cerah dan berseri. Penjajah berjaya membuatkan mereka yang berkulit gelap berasa rendah diri. Ia seolah-olah menjadi kayu pengukur bagi kecantikan manusia. Pada zaman dahulu, berkulit putih dan cerah bermakna mereka cukup kaya untuk mengupah buruh bekerja di ladang di bawah panas terik matahari. Hingga kini budaya itu masih kekal, dengan peningkatan dalam jualan produk krim pemutih di pasaran. Justeru itu, krim pemutih dipasarkan dengan hebat kepada kaum wanita sehingga ia seolah-olah menjadi kunci kepada kecantikan. Rupa paras yang lebih putih mungkin lebih memancarkan keremajaan, berwajah keanak-anakan dengan kulit yang jarang terkena selaran matahari.
Mengikut satu tinjauan di beberapa buah negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin, 41 peratus responden dari Malaysia dilaporkan menggunakan krim pencerah kulit. Ketika ditanya kenapa mereka menggunakannya, 61 responden berkata, memiliki kulit yang lebih cerah membuatkan mereka kelihatan lebih muda. Tinjauan di atas dan beberapa tinjauan lain mendapati ramai wanita menggunakan produk tersebut dalam tempoh yang lama, sesetengahnya sehingga 20 tahun.
Krim muka dengan kandungan merkuri yang tinggi mendakwa ia mampu mencegah atau memulihkan jeragat dan jerawat serta memberikan raut wajah yang camtik menawan. Produk sebegini sering disapu ke sebahagian besar kulit, dibiarkan berjam-jam pada kulit dan digunakan berulangkali selama berminggu-minggu, berbulan malah bertahun lamanya.
Penggunaan krim yang mengandungi merkuri dengan kerap boleh menimbulkan masalah ruam, kulit berubah warna dan kulit bertompok. Keracunan merkuri yang kronik boleh berpunca daripada sentuhan kulit dengan sebatian merkuri dalam tempoh yang lama. Sakit perut yang teruk, muntah, mulut berwarna kekelabuan dan cirit-birit berdarah diperhatikan berlaku dalam kes-kes di mana merkuri diserap dengan banyaknya.
Keracunan merkuri juga boleh menyebabkan gigi menjadi longgar dan lapisan kebiruan terlihat pada gusi. Di kalangan wanita, janin mungkin turut terjejas memandangkan merkuri boleh meresap melalui uri.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyebut tentang kerosakan sel mungkin berlaku di tempat merkuri terkumpul dalam kadar yang secukupnya. Merkuri juga adalah bahan yang mudah menimbulkan kesan alahan dengan radangan sering dialami selepas pengguna memakainya.
Kebanyakan merkuri dalam produk pencerah kulit memasuki alam sekitar menerusi air sisa buangan dan bakteria mungkin menukarnya menjadi methyl mercury, iaitu sebatian yang lebih beracun. Methyl mercury terkumpul dalam ikan, dengan itu boleh masuk ke dalam diet manusia. Jumlah merkuri yang digunakan dalam produk pencerah kulit adalah kecil berbanding sumber-sumber lain pencemaran merkuri, tetapi ia masih menyumbang kepada pendedahan merkuri di seluruh dunia.
Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang mengulangi gesaan kepada Kementerian Kesihatan supaya:
> Mengawasi semua kosmetik yang mengandungi bahan-bahan berbahaya yang boleh memudaratkan kesihatan dan dijual secara meluas di pasaran.
> Menarik semula semua kosmetik yang didapati berbahaya melalui usaha pengawasan..
> Menguatkuasakan dengan tegas pengharaman ke atas produk yang berbahaya.
Kenyataan Akhbar, 8 Okt 2019