Dokumen rahsia yang dibocorkan oleh Edward Snowden mendedahkan “lima mata” (Amerika Syarikat, Britain, Kanada, Australia dan New Zealand) terlibat dalam pengintipan secara besar-besaran dengan memintas data yang dipancarkan melalui alat elektronik seperti perbualan melalui telefon bimbit, emel, dan melayari internet. Perkara ini telah menimbulkan kebimbangan di seluruh dunia memandangkan pemimpin utama mungkin tertakluk kepada tekanan asing.
Dokumen yang bocor itu juga menunjukkan sekutu yang lebih luas termasuk Israel dan Singapura telah membantu “lima mata” ini untuk mengumpulkan sejumlah besar data peribadi. Khususnya, Singapura membantu memintas komunikasi elektronik ke Indonesia dan Malaysia, melalui kabel fiber optik bawah laut SEA-ME-WE 3 (menghubungkan Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah Barat), sebahagiannya dimiliki oleh syarikat milik kerajaan Singapura Singapore Telecommunications (SingTel).
Selain dari pengintipan ketenteraan, Internet juga telah membawa kepada ledakan dalam pengintipan komersial yang mensasarkan pengguna dengan pengiklanan dan penawaran produk, menggunakan teknik data mining yang membolehkan pihak syarikat untuk membaca minda pengguna. Teknik ini melibatkan merekod bukan hanya apa yang pengguna beli tetapi semua apa yang pengguna lihat, berapa lama dan sebagainya. Ini melangkaui pengawasan kamera di dalam rumah oleh Big Brother yang dibayangkan oleh George Orwell novelnya “1984”.
Memandangkan kepada ancaman terhadap persendirian, Malaysia meluluskan undang-undang data persendirian berasaskan kepada model Eropah, tetapi undang-undang ini terpendam sejak 2010. Ia diaktifkan beberapa hari yang lalu (pada 15 November 2013) oleh Menteri yang bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang akhirnya melantik Persuruhjaya Perindungan Data Peribadi.
CAP merasakan bahawa undang-undang baharu ini tidak mencukupi, kerana ia hanya mengaitkan dengan pelayan dan syarikat yang terletak di Malaysia. Undang-undang ini tidak dapat digunakan dalan kes seperti SingTel mengintip Malaysia. Malah jika ia digunakan, undang-undang ini boleh mengenakan denda yang kecil bagi bukti kes pengintipan besar-besaran dan pencurian data.
Seterusnya,mengubah undang-undang merupakan satu proses yang perlahan yang jarang mengikut dengan perubahan yang cepat dalam teknologi elektronik. Kerajaan mestilah mengambil langkah proaktif lain.
Barisan pertahanan pertama bagi negara adalah pengguna dan warganegara yang terdidik dan peka. Masyarakat berpengetahuan bukan hanya terdiri dari pengguna pasif teknologi terbaharu. Jika Malaysia benar-benar mahu menjadi masyarakat berpengetahuan, rakyatnya mestilah berpengetahuan dan peka akan bahaya serta risiko yang datang bersama dengan teknologi baharu telefon bimbit, tablets dan sebagainya.
Pertumbuhan perniagaan berkaitan teknologi membawa keuntungan yang besar, tetapi ia juga membawa kepada risiko sosial yang tidak dijangka. Skandal pengintipan yang berlaku sangat jelas, bagi teknologi baharu membolehkan kerajaan asing mempunyai akses kepada pemikiran rakyat dan memanipulasi tingkahlaku mereka.
Kerajaan mestilah memastikan rakyatnya selamat daripada risiko seperti itu. Ini boleh dilakukan dengan mudah jika sebahagian daripada hasil cukai dari keuntungan syarikat teknologi digunakan untuk mendidik semua warganegara dan pengguna mengenai hak yang betul dalam penggunaan teknologi baharu (telefon bimbit, komputer, Internet) yang menjadi pergantungan kepada kebanyakan daripada kita hari ini.
Langkah kedua ialah mewajibkan semua telefon bimbit, tablets dan komputer itu sendiri mampu melindungi data dengan menyediakan kemudahan bagi encryption dan decryption bagi semua data, menggunakan paras encryption yang tinggi.
Encryption merupakan hanya satu cara komunikasi yang dianggap selamat untuk ketenteraan atau perbankan, di mana paras keselamatan yang tinggi diperlukan. Encrypting emel dan perbualan telefon bimbit atau sebarang maklumat yang dipindahkan secara elektronik menjadi mudah dengan teknologi sedia ada. Sebagai contoh semua transaksi perbankan atas talian menggunakan encryption yang selamat.
Langkah yang ketiga ialah untuk mendidik dan memberikan panduan kepada pengguna untuk memilih teknologi yang sesuai. CAP sudah pun lebih awal menasihati kerajaan supaya menggalakkan penggunaan sumber terbuka, bukan hanya untuk manfaat kewangannya tetapi juga kerana ia mengurangkan peluang embedded atau downloaded malware yang digunakan untuk mengintip bagi tujuan komersial dan strategik. Perisian encryption dan decryption dengan mudah boleh diperolehi pada semua platform sumber terbuka dan boleh disesuaikan kepada standard yang lebih tinggi seperti yang diperlukan.
Golongan pemasar mencari mangsa terhadap golongan muda dengan mengumpulkan tabiat mereka, dan kerajaan juga mestilah dengan segera mula mendidik warga muda dan masa depannya terhadap risiko teknologi seperti bentuk pemasaran yang menyamar melalui rangkaian sosial.
Kanak-kanak mestilah dididik mengenai bahaya mendedahkan semua butiran diri dalam rangkaian sosial seperti Facebook dan sebagainya yang cenderung dilakukan mengikut tekanan rakan sebaya dan disebabkan ibu bapa sendiri tidak menyedari akan bahayanya.
Mereka mestilah difahamkan bahawa butiran itu akan kekal dalam Internet dan bukan hanya boleh digunakan oleh pemasar untuk memanipulasi tingkah laku pengguna tetapi juga menjadi sumber yang akan memalukan di kemudian hari.
Pendedahan pengintipan secara besar-besaran perlu menjadi iktibar bagi semua terhadap bahaya yang dikaitkan dengan teknologi baharu di mana tindakan segera amat diperlukan.
SM Mohamed Idris
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Kenyataan Akhbar, 29 November 2013