Adakah kita akan mengesahkan parti dadah dan menjadikannya lebih murah untuk mencegah atau mengurangkan penggunaan secara haram? Jika ia satu idea yang tidak masuk akal maka ketagihan nikotina (biasanya dalam bentuk merokok) perlu ditangani dengan langkah kawalan tembakau yang lebih ketat.
Industri tembakau menyuarakan hakikat bahawa kira-kira 60 peratus rokok yang dihisap oleh kira-kira 5 juta perokok adalah rokok yang diseludup. Dilaporkan bahawa Jabatan Kastam Malaysia berjaya menghentikan cubaan menyeludup 456.03 juta batang rokok antara Januari dan Jun 2020 iaitu hampir dua kali ganda bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk tidak tunduk kepada rayuan industri itu yang memberikan banyak alasan. Salah satu daripadanya ialah kerajaan perlu menerima hakikat bahawa mengurangkan cukai rokok boleh membawa kepada harga rokok yang lebih rendah oleh industri tetapi ia tidak akan menghentikan penyeludupan rokok disebabkan oleh permintaan yang menguntungkan.
Menurunkan harga rokok akan menggalakkan lebih ramai orang merokok dan tidak ada kepastian bahawa ia akan memastikan perokok akan beralih daripada rokok seludup. Objektif utama adalah untuk menghalang orang ramai daripada merokok.
Apa yang lebih penting ialah sebarang langkah untuk menarik kembali langkah kawalan tembakau akan memusnahkan usaha yang diperkenalkan sejak 1970-an, pada waktu apabila nilai ketagihan nikotina lebih difahami. Sebarang pelencongan atau pusingan U dalam usaha kawalan tembakau semasa di Malaysia akan menjadikan kita terhina di mata kelompok WHO FCTC yang terus berkembang, termasuk negara jiran Asean kita, iaitu Myanmar yang baru-baru ini yang memberikan maklum balas positif kepada kawalan tembakau dalam beberapa tahun yang lepas.
Pada 2018, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan bahawa kerajaan menjangkakan untuk berbelanja RM7.4 bilion untuk kos rawatan bagi penyakit utama yang disebabkan oleh merokok seperti kanser paru-paru dan masalah jantung koronari menjelang 2025. Merokok rokok ‘haram’ atau ‘sah’ bukanlah menjadi isu kerana yang utama adalah merokok itu ialah mengenai ketagihan nikotina dan penyakit berkaitan merokok.
Kami mencadangkan agar semua peruncit perlu berlesen dan mereka yang tidak berlesen akan berdepan hukuman penjara mandatori dan/atau denda. Dengan berbuat demikian, kerajaan mampu untuk mengawal bilangan peruncit serta lokasi mereka.
Mereka yang terlibat dalam penyeludupan juga perlu menerima hukuman penjara mandatori dan harta mereka dirampas. Barang seludup yang dirampas hendaklah dimusnahkan dan dihebahkan. Kerajaan juga perlu meningkatkan keupayaan agensi terlibat dan merangkumi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Penyeludupan akan berkurangan secara drastik jika risikonya tinggi dan tidak lagi menguntungkan.
Kami mengulangi pendirian kami bahawa kerajaan perlu meningkatkan cukai ke atas rokok dan menggunakannya untuk menambahbaik usaha mencegah penyeludupan dan promosi kesihatan. Kini tiba masanya bagi kerajaan memperbaiki komitmen mereka dalam Rangka Kerja Konvensyen Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC) daripada tunduk kepada industri dengan kepentingannya.
Kenyataan Akhbar, 4 November 2020