Pengurusan hutan di Malaysia perlu konsisten: Malaysia selangkah ke hadapan, selangkah ke belakang

Sempena Hari Hutan Antarabangsa, Sahabat Alam Malaysia (SAM) ingin menarik perhatian semua tentang betapa pentingnya kita bersikap konsisten dalam usaha kita melindungi hutan di negara ini, baik di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri.

Kami ingin memulakan dengan memuji empat perkembangan positif penting berkaitan dengan perlindungan hutan di Malaysia sepanjang setahun yang lalu. Pertama, pada September tahun lalu, Selangor telah memutuskan untuk mewartakan semula 534 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang sebelum ini telah dinyahwartakan pada Ogos sebelumnya. Kedua, pada bulan Disember, mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-79 bersetuju untuk mengenakan moratorium selama 15 tahun ke atas pembangunan ladang monokultur baharu di Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia. Pada bulan yang sama, kerajaan persekutuan juga telah mengumumkan rancangannya untuk mendapatkan USD3 juta daripada Dana Iklim Hijau (GCF) bagi menyokong pembangunan pelan adaptasi kebangsaan bagi perubahan iklim. Kemudian, semasa sesi pertama parlimen pada tahun ini  pindaan kepada Akta Perhutanan Negara 1984 akhirnya dibentangkan yang antara lain, mewajibkan perundingan awam dalam mana-mana cadangan pelaksanaan penyahwartaan hutan pada masa hadapan.

Ini semua adalah keputusan yang betul untuk membantu melindungi hutan yang masih ada dan menyokong usaha mitigasi dan adaptasi iklim. Namun begitu, adalah agak malang apabila kebaikan yang mungkin dapat dilaksanakan oleh sesebuah keputusan yang bijak itu dengan mudah boleh dikompromi oleh sebilangan keputusan buruk yang bercanggah, yang sebenarnya amat boleh dielakkan.

Bagi setiap keputusan berpandangan jauh yang telah dibuat pada tahun lepas yang boleh memastikan perlindungan hutan yang lebih baik, kita akan dapat menemukan sebuah lagi keputusan yang bertentangan arah, yang akan menyebabkan kemusnahan dan kemerosotan hutan. Satu langkah ke hadapan, tetapi diikuti pula oleh satu langkah ke belakang sebenarnya tidak membawa kita ke mana-mana. Dengan itu, kita perlu memastikan bahawa pengurusan hutan kita adalah konsisten.

Sehingga hari ini, Selangor masih belum mewartakan semula sebahagian daripada HSKLU, selepas enam bulan berjanji untuk melakukannya. Baru sahaja minggu lalu, Jaringan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PSHKLU), yang turut dianggotai SAM, menuntut supaya pewartaan semula ini dilaksanakan dengan segera.

Kemudian, berkenaan dengan moratorium ke atas perladangan monokultur di dalam HSK, keputusan yang lebih berkesan sebenarnya adalah perlaksanaan sebuah larangan yang berkekalan. Kenapa kita mahu mengelak dari penukaran guna tanah hutan, hanya untuk tempoh 15 tahun? Adakah kesan-kesan perubahan iklim akan berkurang dalam masa 15 tahun lagi? Apakah asas kepada tempoh moratorium selama 15 tahun ini? Memburukkan lagi keadaan, Malaysia juga turut kekal komited untuk meneruskan pinjaman sebanyak RM1.5 bilion untuk pembangunan ladang monokultur, yang sehingga hari ini terus menerus dirujuk sebagai ladang hutan, sebuah istilah yang jelasnya salah.

Di dalam kemelut ini, pada 23 Februari, media melaporkan tentang permasalahan penukaran guna tanah hutan besar-besaran di Pahang, keluasannya kedua terbesar selepas Kelantan. Artikel tersebut juga turut mendedahkan isu kemungkinannya berlaku penyalahgunaan di dalam proses Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), yang mana terdapatnya dakwaan bahawa syarikat-syarikat perladangan mungkin telah membahagikan saiz projek mereka kepada tidak melebihi 500 hektar. Bagi projek ladang monokultur bersaiz antara 100 dan 500 hektar, proses EIA tidak mewajibkan perundingan awam.

Usaha untuk mengelak dari proses EIA ini bukanlah satu perkara baharu. Kerajaan negeri mestilah dipertanggungjawabkan atas kegagalan untuk memastikan manipulasi seperti itu tidak berlaku. Tiada alasan bagi kerajaan negeri untuk tidak menyedarinya langsung. Sementara kita cuba untuk bergerak ke hadapan untuk meminda undang-undang perhutanan untuk menguatkuasakan perundingan awam mandatori, pada masa yang sama, ruang perundingan awam yang sedia ada dengan mudah boleh dielakkan hanya melalui manipulasi.

Walaupun kami percaya bahawa penukaran guna tanah hutan perlu dihentikan sama sekali di negara ini, had yang mewajibkan perundingan awam bagi proses EIA hanya pada takat 500 hektar ke atas adalah sebuah had yang tinggi. Semua penukaran guna tanah hutan dan pembangunan ladang monokultur sebenarnya mestilah diwajibkan untuk menjalani proses EIA dengan proses penyertaan awam mandatori.

Bayangkan jika kita tinggal bersebelahan dengan sebuah ladang monokultur kayu seluas 459 hektar dan kita tidak mempunyai hak untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang projek tersebut? Bagaimana komuniti tempatan boleh menyuarakan bantahan mereka dengan berkesan jika mereka berhadapan dengan cabaran untuk mencapai maklumat? Bagi komuniti orang asal, situasinya mungkin lebih buruk lagi, projek-projek sebegini boleh sahaja mengambil tempat di dalam wilayah tanah adat mereka.

Pada tahun lalu, kita juga terpaksa menyaksikan beberapa kejadian banjir, tanah runtuh, longgokan sisa kayu balak dan banjir lumpur, khususnya pada musim monsun yang lalu. Dari kawasan luar bandar di Kedah dan Pahang, sehinggalah kepada kawasan bandar di Selangor, bencana-bencana alam seperti ini berpunca daripada penebangan hutan yang berleluasa dan kegagalan dalam perancangan fizikal.

Jika kerajaan negeri terus membenarkan penukaran guna tanah hutan walaupun Malaysia mempunyai komitmen antarabangsa berkenaan hutan, biodiversiti dan perubahan iklim; dan terdapatnya unsur-unsur di dalam sektor perladangan yang terus menerus tidak menghormati undang-undang dan hak komuniti, bagaimanakah dana iklim antarabangsa berupaya untuk melindungi kita dari kesan perubahan iklim pada masa hadapan?

Oleh itu, pada hari penting untuk hutan ini, kami menyeru kerajaan persekutuan dan negeri supaya bersikap konsisten dalam usaha mereka untuk melindungi hutan dan menangani kesan-kesan perubahan iklim. Kita tidak mampu lagi untuk berpura-pura bergerak ke hadapan sedangkan pada hakikatnya, kita masih berada pada takuk yang sama, yang tidak menentu keadaannya. Dalam era perubahan iklim, keadaan ini hanya seperti menunggu bencana berlaku.

 

Surat Kepada Pengarang, 22 Mac 2022