Hanya beberapa jam yang lalu, SAM mendapat tahu bahawa kerajaan negeri Selangor akan menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), salah satu hutan gambut yang terakhir di selatan Selangor, semata-mata untuk memberi laluan kepada pembangunan komersial.
Kami sangat marah dengan perkara ini. Keputusan kerajaan negeri Selangor ini adalah sangat tidak bertanggungjawab, terutamanya pada saat-saat kita menghadapi krisis iklim,
Pertama sekali, keputusan ini bertentangan dengan pelbagai komitmen antarabangsa yang telah dibuat oleh kerajaan persekutuan mengenai perubahan iklim, kepelbagaian biologi dan hak-hak orang asal. HSKLU, sebagai hutan gambut, adalah ekosistem yang kaya dengan karbon dan biodiversiti. Sebarang projek pembangunan di atas tanah gambut semestinya akan menyebabkan pelepasan karbon dioksida dalam jumlah yang tinggi dan kehilangan kepelbagaian biologi, termasuk spesies tumbuhan dan haiwan yang sangat terancam. Di sebelah barat HSKLU, terdapat beberapa komuniti orang asli yang bergantung kepada kesejahteraan ekosistem hutan.
Kedua, keputusan ini juga bertentangan dengan Rancangan Fizikal Negara dan dasar pembangunan negara. HSKLU memenuhi syarat sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 di bawah Rancangan Fizikal Negara ke-3, di mana ia seharusnya dilindungi dan tiada penukaran atau sebarang projek pembangunan dibenarkan di atas HSKLU. Tambahan juga, Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 bertujuan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 32 peratus daripada Selangor sebagai litupan hutan. Rancangan Tempatan Kuala Langat 2030 pula telah mengkategorikan HSKLU sebagai zon tanpa pembangunan.
Ketiga, keputusan itu juga bertentangan dengan ketetapan yang luar biasa yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri Selangor pada bulan November 2020, di mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah sebulat suara meluluskan usul yang mendesak kerajaan negeri untuk memelihara semua hutan yang masih diwartakan di negeri Selangor.
Keempat, orang ramai telah menyatakan bantahan mereka terhadap cadangan tersebut. Jabatan Perhutanan menerima lebih daripada 45,000 bantahan. Petisyen dalam talian telah mengumpulkan sekitar 130,000 tandatangan. Kempen #hutanpergimana di media sosial pada Oktober 2020 menjejak bahawa hampir 1,500 orang telah menghantar e-mel bantahan kepada beberapa atau semua wakil rakyat di Selangor.
Seorang EXCO negeri Selangor telah dilaporkan menyatakan bahawa kerajaan negeri telah mempertimbangkan bantahan-bantahan yang diterima daripada orang ramai dan oleh itu hanya 54 peratus daripada 931 hektar, iaitu 534 hektar akan dinyahwartakan daripada HSKLU. Akan tetapi, tuntutan daripada orang ramai adalah agar keseluruhan penyahwartaan HSKLU dibatalkan sama sekali dan bukan pengurangan saiz kawasan penyahwartaan tersebut.
Keputusan dan pendirian negeri Selangor yang mengabaikan kepentingan awam harus dikecam, dan ia bertentangan dengan prinsip tadbir urus alam sekitar dan sosial yang baik.
Kenyataan Akhbar, 30 Ogos 2021