Perdagangan Hidupan Liar Malaysia Menghalang Usaha Pemuliharaan

Malaysia dikenal pasti oleh TRAFFIC (rangkaian pemantauan perdagangan hidupan liar) sebagai negara transit popular yang digunakan oleh rangkaian penjenayah untuk perdagangan haram hidupan liar yang amat lumayan.

Tema Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini yang disambut pada 5 Jun ialah Menentang Perdagangan Haram Hidupan Liar. Maka adalah sesuai bagi Sahabat Alam Malaysia (SAM)  mengulangi gesaan kepada pihak berkuasa supaya menghapuskan perdagangan haram hidupan liar yang memburukkan nama Malaysia:

  • Malaysia merupakan pengeksport utama kayu tropika pada 2013 (3.5 juta meter padu).
  • Sumber utama penghantaran haram agarwood/gaharu (7 tan metrik antara 2005 dan 2014 telah dirampas).
  • Salah satu pengeksport haram utama kulit reptilia.
  • Pada 2010 dan 2013, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memusnahkan sejumlah lebih daripada 2,241 perangkap pemburu haram dan 1,728 kem haram.

Jika perdagangan haram hidupan liar tidak dikawal maka 26 haiwan Malaysia yang terancam (termasuk Harimau Malaya, Memerang dan 11 spesies kelawar) akan pupus. Badak sumbu jawa, Banteng dan Indian grey mongoose sudah pun pupus.

Haiwan lain yang berada dalam kategori ‘vulnerable’, ‘hampir terancam’ dan ‘kurang membimbangkan’ juga tidak selamat memandangkan pemburuan, perdagangan haram hidupan liar, pemilikan spesies terancam, dan pengambilan bahagian haiwan sebagai makanan eksotik memupuskan lagi bilangannya.

Walaupun pasaran gading domestik Malaysia tidak dinilai secara rasmi, ia merupakan destinasi kedua paling utama bagi penghantaran gading haram berdasarkan rampasan yang dilaporkan kepada Rampasan Hidupan Liar Dunia (World Wildlife Seizures – World WISE). Menurut pihak berkuasa Malaysia, kira-kira 60 peratus daripada berat gading yang dirampas adalah untuk dihantar ke China. Kebanyakan gading haram dihantar melalui kapal dan Malaysia dikenal pasti sebagai salah satu negara transit utama dengan Pelabuhan Klang menjadi pelabuhan pilihan bagi penghantaran menggunakan kontena.

Sekali lagi, Malaysia dikenal pasti sebagai salah satu daripada enam negara bagi mendapatkan sumber kulit reptilia sah dan juga bagi perdagangan haram kulit reptilia menurut World WISE. Adalah dianggarkan setiap 1,000 kulit yang diperdagangkan secara sah, satu daripadanya merupakan perdagangan haram kulit dan kebanyakannya adalah ular sawa liar. Keadaan sebenar pasaran haram tidak diketahui.

Data perdagangan Konvensyen Antarabangsa Perdagangan Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES) menunjukkan bahawa Indonesia dan Malaysia bersama mengeksport purata 22 tan metrik daging ular sawa, bersamaan daging 2,000 hingga 4,000 ular, setiap tahun antara tempoh 2009 dan 2013. Pundi hempedu ular sawa diambil untuk perubatan tradisional.

Dalam tempoh dua dekad (1980-2000) Singapura merupakan pengimport lebih daripada 50,000 kulit tenggiling (pangolin), kebanyakannya dari Malaysia. Kulit tenggiling dipromosikan sebagai kulit eksotik, sisiknya untuk perubatan tradisional dan dagingnya sebagai makanan, demikian menurut pendedahan oleh data perdagangan CITES.

Pemburuan haram merupakan satu ancaman utama bagi badak sumbu Sumatra yang terancam dengan kritikal di Sabah. Anggapan serta kepercayaan yang salah di Asia bahawa tanduknya mempunyai nilai perubatan untuk menyembuhkan pening hinggalah kepada kanser menggalakkan pemburu haram memburunya. Tambahan lagi, harga tanduk badak sumbu boleh mencapai berpuluh ribu ringgit bagi setiap kilogram.

Dengan pengeluaran lesen memburu, kehilangan lebih banyak haiwan mungkin menjadi lebih serius. Oleh itu SAM menggesa pengharaman pengeluaran permit pemburuan bagi semua hidupan liar dan bukan hanya untuk rusa sambar.

Kerajaan negeri kelihatan lebih prihatin terhadap mengkomersialkan spesies yang dilindungi dan untuk meningkatkan amalan penggunaan sumber asli berbanding mematuhi mandat pemuliharaan ekosistem yang sah di sisi undang-undang. Berhubung perkara ini, komuniti tempatan boleh dijadikan pihak yang berkepentingan, dididik mengenai pemuliharaan dan terlibat dalam projek pemuliharaan.

Pedagang hidupan liar di Asia telah beralih kepada media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk mengelak daripada dikesan ketika menjalankan transaksi antarabangsa. Mengawal perdagangan haram hidupan liar sebahagian besarnya menjadi sia-sia disebabkan usaha penguatkuasaan semasa tidak berkesan atau tidak cukup untuk mencegahnya. Kekurangan usaha penguatkuasaan adalah disebabkan kurangnya kemahuan politik dalam kalangan mereka yang bertanggungjawab di peringkat negara dan antarabangsa dalam melindungi spesies hidupan liar.

SAM percaya perdagangan haram boleh dikurangkan jika Malaysia melaksanakan pemantauan perdagangan haram oleh unit jenayah siber dan program pemantauan khas dengan kerjasama komuniti antarabangsa. Langkah pencegahan yang tegas seperti denda yang lebih berat atau/dan hukuman penjara yang lebih lama mestilah dikenakan dan dikuatkuasakan dengan lebih tegas.

Usaha penguatkuasaan juga perlu selaras dengan tahap perkembangan penglibatan yang semakin canggih, pembiayaan lengkap dan peningkatan organisasi jenayah bersenjata dalam perdagangan hidupan liar haram.

Perancangan yang bijak, dasar yang jelas dan nasihat saintifik amat jelas diperlukan daripada pakar untuk memastikan manusia dan hidupan liar boleh terus hidup tanpa konflik.

 

Sidang Akhbar, 3 Jun 2016