Laporan terbaharu mengenai kegiatan menjebak dan menyeludup burung murai kampung (Oriental Magpie-Robin) cuma sebahagian kecil daripada masalah yang ada. Hampir 27,000 murai kampung telah dirampas dalam cuma 44 kes antara 2015-2020 dan Malaysia telah terlibat dalam perdagangan burung ini.
Anehnya, murai kampung tidak dilindungi di bawah undang-undang hidupan liar di Semenanjung Malaysia dan Sarawak tetapi dilindungi di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 Sabah. Oleh itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mahu kerajaan turut memberikan perlindungan yang sah bagi burung murai kampung di Semenanjung dan Sarawak.
CAP menggesa kerajaan agar meneliti semula undang-undang sedia ada membabitkan hidupan liar untuk memberikan perlindungan lebih besar ke atas hidupan liar yang semakin pupus dengan cepat akibat kegiatan seperti pemburuan haram, perdagangan haram, penebangan hutan, pembalakan dan pencemaran. Kegiatan sebegini mengancam dan membahayakan banyak spesies haiwan dan tumbuhan hingga boleh menyebabkan kepupusannya.
Menurut satu laporan, Malaysia telah kehilangan 2.63 juta hektar tanah hutan asal yang lembap antara 2002-2019, bersamaan 34 peratus jumlah kehilangan penutup pokok atau 17 peratus kehilangan hutan asal yang lembap. Angka ini begitu penting sehingga kerajaan tidak boleh mengabaikan dan sebaliknya perlu memastikan hasil hutan tidak diambil keluar dari hutan simpan kekal atau tanah negeri, tanpa lesen dan dokumentasi yang dapat dikesan dengan betul.
Malaysia tersenarai di tangga ke 12 antara negara dengan biodiversiti terkaya di dunia. Namun Malaysia juga mempunyai sejumlah 1,141 spesies terancam termasuk tumbuhan dan haiwan. Misalnya, terdapat kurang daripada 200 ekor harimau Malaya di hutan. Sekitar 1950-an, terdapat kira-kira 3,000 ekor dan menjelang 2014, hanya tinggal antara 250-340 ekor.
Malaysia telah dikenal pasti dalam Laporan Perdagangan Haram 2016 bahawa antara 2003-2014, hampir 20 peratus gading dunia telah dirampas, dan sama ada dirampas di Malaysia atau sudah diangkut melaluinya. Mengikut statistik, terdapat 254 kes rampasan antara 2012-2016 dengan 320 kes pendakwaan dibuat terhadapnya, tetapi hanya 254 kes disabitkan kesalahan.
Pada ketika itu pun, majoriti (74 peratus) kes sabitan kesalahan membabitkan pemuliharaan hidupan liar. Cuma enam peratus kes membabitkan pemburuan haram dan 17 peratus kerana kesalahan menyeludup dan memperdagangkan hidupan liar secara haram. Ini menunjukkan di sebalik usaha pelbagai agensi, penjenayah yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan dan perdagangan haram hidupan liar jarang tertangkap.
Sehubungan perkara ini, kami merayu kepada kerajaan agar meningkatkan denda yang dikenakan pada masa kini bagi kesalahan seperti perdagangan, perburuan, dan pemilikan hidupan liar atau bahagian anggotanya. Pengenaan denda tersebut seharusnya turut memasukkan hukuman penjara mandatori. Kami mencadangkan hukuman penjara mandatori kerana pengedar berkenaan mungkin berkemampuan dari segi kewangan untuk membayar denda.
Kerajaan juga perlu memberikan alasan kenapa Malaysia dikenal pasti oleh penjenayah sebagai pusat transit penting bagi penyeludupan hidupan liar selain anggota tubuh dan produknya. Laporan 2018 oleh Suruhanjaya Keadilan Hidupan Liar mendedahkan bahawa Kuala Lumpur merupakan tempat termudah untuk mengangkut hidupan liar secara haram. Laporan itu juga mendedahkan bahawa ‘cukai’ yang dibayar untuk transit menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau KLIA2 adalah 50 peratus lebih murah berbanding Lapangan terbang Suvarnabhumi Bangkok.
Sehubungan itu kami menggesa kerajaan agar menyelaraskan undang-undang mengenai hidupan liar di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Perbezaan dalam undang-undang tersebut menjadi penghalang bagi penguatkuasaannya sejak sekian lama.
Kenyataan Akhbar, 17 Mac 2021