Perkenal Semula Cukai Pewarisan dan Sesuaikan Cukai Tertentu yang Sedia Ada Untuk Membantu Merapatkan Jurang Antara yang Kaya dan Miskin

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terkejut dengan pengumuman awal oleh Menteri Kewangan malah sebelum dialog belanjawan yang dijadualkan pada 27 Jun 2019, bahawa cukai pewarisan tidak akan dilaksanakan.

Ini hanya akan menyumbang kepada ketaksamaan yang lebih buruk antara mereka yang kaya dan miskin. Banyak kerajaan diketahui menangani masalah ini dan mengambil langkah untuk mengenakan cukai pewarisan untuk menanganinya.

The Financial Times semalam melaporkan jutawan Amerika Syarikat termasuk George Soros dan pengasas bersama Facebook, Chris Huges menggesa supaya dikenakan cukai kepada golongan jutawan memandangkan ketaksamaan menjadi agenda utama bagi pilihan raya Amerika Syarikat pada 2020.

Dalam surat terbuka mereka menulis: “Rakyat Amerika mempunyai tanggungjawab moral, etika dan ekonomi untuk mengenakan cukai yang lebih ke atas kekayaan kita”. “Cukai kekayaan boleh membantu menangani krisis iklim, memperbaiki ekonomi, memperbaiki kesihatan, mewujudkan peluang yang lebih adil dan menguatkan kebebasan demokratik kita”. 

Kami menggesa supaya diperkenalkan semula cukai pewarisan sejak 2001. 

Dilaksanakan dengan sempurna, cukai pewarisan (serta bentuk cukai berkaitan yang lain seperti cukai kekayaan, cukai keuntungan modal dan cukai hadia) menyediakan hasil penting bagi pendapatan negara daripada golongan kaya dan bukannya daripada mereka yang berpendapatan rendah.

Cukai pewarisan (sama seperti duti hartanah atau cukai hartanah) dinilai pada nilai bersih individu sewaktu kematiannya. Tidak semua hartanah tertakluk kepada cukai. Hanya hartanah melebihi nilai tertentu dikira.

Di tengah-tengah keadaan ekonomi semasa yang perlahan yang sedang dihadapi oleh Malaysia, terutama sekali kemerosotan nilai ringgit dan kenaikan harga barangan, penanggung beban terbesar adalah mereka yang berada dalam kategori berpendapatan rendah dan pertengahan.

Tidak seperti mereka yang berpendapatan tinggi dan hasil perniagaan yang besar, sebahagian daripada masyarakat ini sebenarnya menerima kesan yang teruk dalam kesukaran membeli barangan asas seperti makanan, perumahan, pengangkutan, pendidikan, rawatan perubatan dan sebagainya terutama sekali dalam senario kewangan pada masa kini.

CAP sentiasa menggesa supaya langkah yang lebih tegas diambil untuk merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin. Cara terbaik untuk menangani ketaksamaan kekayaan ialah melalui percukaian terutama sekali cukai pewarisan.

Ketaksamaan yang semakin meningkat antara golongan kaya dan miskin tidak dapat diterima. Mereka yang bekerja keras dan mengambil masa yang panjang membayar cukai, manakala mereka yang memperolehi kekayaan dengan tidak melakukan kerja serta hanya mewarisinya daripada seseorang tidak perlu membayar cukai. Secara prinsipnya sesuatu yang tidak adil.

Cukai pewarisan di negara lain dan di Malaysia sebelum ini

Sesetengah negara yang mempunyai cukai pewarisan (atau bersamaan dengannya) adalah United Kingdom, Perancis, Amerika Syarikat, Jepun dan Jerman.

Menurut The Tax Foundation yang berpangkalan di Amerika Syarikat, sehingga 2015, cukai hartanah atau pewarisan kepada waris sezuriat di Jepun ialah 55%, Korea Selatan ialah 50%, Perancis 45%, United Kingdom 40%, Amerika Syarikat 40%, Sepanyol 34% dan Ireland 33%, manakala Belgium dan Jerman 30%.

Di ASEAN, Thailand memperkenalkan semula cukai pewarisan pada 1 Februari 2016 selepas 72 tahun dengan kerajaan menyatakan tujuan undang-undang itu amat penting untuk meningkatkan asas cukai bagi menghasilkan pendapatan untuk memajukan negara dan meningkatkan kehidupan golongan yang serba kekurangan.

Malaysia memansuhkan duti hartanah pada 1991. Sebelum itu, duti hartanah dikenakan hanya jika nilai bersih hartanah melebihi RM2 juta. Kadarnya ialah 5% bagi hartanah bernilai RM2.4 juta dan 10% yang melebihinya.

Tetapi sebelum itu, duti hartanah lebih progresif dengan pelbagai kadar cukai bagi kategori nilaian hartanah yang berbeza, sesuatu seperti cukai pendapatan kita.

Dalam keadaan sekarang, kadar cukai pewarisan bagi Malaysia seharusnya kini sekurang-kurangnya 50% bagi hartanah bernilai antara RM2 juta dan RM3 juta, dengan peningkatan progresif apabila jumlah pewarisan semakin tinggi.

Kami menegaskan sebelum ini bahawa rakyat Malaysia tidak perlu takut dengan cukai pewarisan. Ini kerana mereka tidak perlu membayar sesen pun cukai pewarisan melainkan mereka memiliki aset bernilai jutaan. Cukai pewarisan dikenakan kepada mereka yang kaya dan bukannya orang biasa.

Menurut buku Khazanah Nasional Bhd ‘The State of Households’, ketaksamaan kekayaan yang diambilkira dan cara terbaik untuk menangani masalah ketaksamaan kekayaan ialah melalui penggunaan cukai terutama sekali cukai pewarisan.

 

Kenyataan Akhbar, 26 Jun 2019