Perkenalkan Semula Cukai Pewarisan dan Ubah Suai Cukai Tertentu yang Sedia Ada untuk Membantu Merapatkan Jurang Antara Golongan Kaya dan Miskin 

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ingin menyuarakan beberapa perkara berhubung cadangan kemungkinan cukai pewarisan yang akan diperkenalkan semula (NST, 29 Ogos 2017: MOF deny rumours of inheritance tax in BUDGET 2018).

Dilaksanakan dengan betul, cukai pewarisan (serta bentuk percukaian lain yang berkaitan seperti cukai kekayaan, cukai keuntungan modal dan cukai hadiah) menyediakan ruang penting untuk tabungan negara daripada golongan yang amat kaya dan bukannya daripada golongan berpendapatan rendah.

Cukai pewarisan (sama dengan duti harta atau cukai harta) dinilai ke atas nilai bersih harta individu ketika kematian. Tidak semua harta tertakluk kepada cukai. Hanya harta dan melebihi nilai tertentu yang dikira.

Dalam keadaan ekonomi semasa perlahan yang sedang dihadapi oleh Malaysia terutama sekali kemerosotan nilai ringgit dan kenaikan harga barangan, golongan yang menghadapi beban besar adalah mereka yang berada dalam kategori pendapatan rendah dan pertengahan.

Tidak seperti mereka yang berpendapatan tinggi dan hasil perniagaan yang besar, bahagian daripada masyarakat ini sebenarnya terjejas akibat kesukaran dalam membeli keperluan asas iaitu makanan, perumahan, pengangkutan, pendidikan, rawatan perubatan dan sebagainya, inilah senario kewangan pada masa ini.

CAP secara berterusan menggesa supaya langkah yang lebih tegas diambil untuk merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin. Cara terbaik untuk menangani ketidakseimbangan kekayaan ini ialah melalui penggunaan percukaian, terutama sekali cukai pewarisan.

Jurang ketaksamaan antara golongan kaya dan miskin yang semakin berkembang adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Mereka yang bekerja keras dan bersusah payah dengan waktu kerja yang panjang membayar cukai, manakala mereka yang memperolehi kekayaan dengan tidak melakukan jenis kerja yang sama dan mewarisi daripada seseorang tanpa perlu membayar cukai. Ini adalah sesuatu yang tidak adil dan tidak wajar.

Cukai pewarisan di negara lain dan di Malaysia sebelum ini

Sesetengah negara yang mempunyai cukai pewarisan (atau bersamaan dengannya) adalah United Kingdom, Perancis, Amerika Syarikat, Jepun dan Jerman.

Menurut The Tax Foundation yang berpangkalan di AS, sehingga 2015, harta atau cukai pewarisan kepada ahli waris  di Jepun ialah 55%, Korea Selatan 50%, Perancis 45%, United Kingdom 40%, Amerika Syarikat 40%, Sepanyol 34% dan Ireland 33%, manakala Belgium dan Jerman 30%.

Di ASEAN, Thailand memperkenalkan semula cukai pewarisan pada 1 Februari 2016, selepas 72 tahun dengan kerajaan menyatakan bahawa tujuan undang-undang itu amat penting untuk meningkatkan asas cukai bagi menjana hasil pendapatan untuk memajukan negara dan mempertingkatkan kehidupan golongan yang kurang bernasib baik.

Malaysia memansuhkan duti harta pada 1991. Sebelum langkah itu diambil, duti harta dikenakan hanya jika nilai bersih harta melebihi RM2 juta. Kadarnya ialah 5% ke atas harta bernilai RM2.4 juta dan 10% setiap yang melebihinya.

Tetapi sebelum itu, duti harta itu lebih progresif dengan pelbagai kadar cukai bagi kumpulan penilaian yang berbeza ke atas harta itu, sesuatu yang seperti cukai pendapatan kita.

Dalam konteks hari ini, kadar cukai pewarisan bagi Malaysia kini seharusnya sekurang-kurangnya 50% untuk harta bernilai RM2 juta dan RM3 juta, dengan peningkatan progresif apabila jumlah pewarisan semakin tinggi.

CAP berharap isu ini akan ditangani dalam Bajet 2018 apabila ia dibentangkan pada Oktober ini. Kami telah lama menggesa diperkenalkan semula cukai pewarisan sejak 2001.

Kami telah menegaskan sebelum ini bahawa rakyat Malaysia tidak seharusnya bimbang atau takut dengan cukai pewarisan. Ini kerana mereka tidak perlu membayar sedikit pun cukai pewarisan melainkan mereka mempunyai aset bernilai berjuta ringgit. Cukai pewarisan dikenakan kepada mereka yang teramat kaya dan bukannya rakyat biasa.

Menurut buku Khazanah Nasional Bhd, ‘The State of Households’, ketidaksamaan kekayaan yang benar-benar penting dan cara terbaik untuk menangani masalah ketidaksamaan kekayaan ialah melalui penggunaan pecukaian, terutama sekali cukai pewarisan.

Bentuk lain percukaian untuk membantu golongan miskin 

Sesungguhnya, percukaian seharusnya menjadi salah satu pilihan yang diutamakan dalam keperluan segera untuk menangani ekuiti sosial, kestabilan sosial dan pertumbuhan ekonomi. Ia tidak hanya merapatkan jurang kekayaan tetapi ia juga meningkatkan tabungan yang diperlukan untuk membiayai program untuk sosial, kesihatan dan pendidikan yang akan membantu kumpulan berpendapatan rendah.

CAP juga menggesa supaya kadar GST (Cukai Perkhidmatan dan Barangan) yang lebih tinggi) untuk semua barangan mewah yang dijual di Malaysia. Kadarnya seharusnya sekurang-kurangnya 20%. Barangan ini termasuklah seperti barang kemas, kenderaan mewah di jalan raya, kapal terbang peribadi, jam tangan mewah dan aksesori tidak penting seperti beg tangan mewah.

Dengan mengenakan cukai yang tinggi ke atas barangan itu, kerajaan pasti memperolehi hasil pendapatan yang meningkat daripada percukaian itu, dan juga akan membantu mengurangkan sifat regresif GST.

Kadar cukai yang tinggi juga perlu dilaksanakan ke atas produk yang merosakkan kesihatan dan kesejahteraan seperti rokok dan alkohol. Langkah ini boleh membantu untuk tidak menggalakkan pembelian dan penggunaan barangan ini.

Berhubung perkara ini, kerajaan juga seharusnya mempertimbangkan dengan lebih serius untuk menghapuskan rokok dan alkohol sebagai barangan bebas cukai di Langkawi yang menikmati status bebas cukai itu. Dengan menghapuskan produk yang diketahui mempunyai kesan yang menjejaskan fizikal dan sosial, negara tidak akan kehilangan sebarang hasil berkaitan pelancongan yang ketara di Langkawi.

Sesungguhnya, pulau peranginan lain di rantau ini seperti Bali, Phuket dan Mactan tidak diketahui mempunyai insentif bebas cukai seperti itu demi untuk pelancongan. Tidak mungkin pengaliran pelancong ke pulau itu merosot dengan ketara hanya kerana duti barangan ini dikembalikan semula.

Pada hakikatnya, tabungan ekonomi Malaysia akan memperolehi keuntungan dengan duti ini yang boleh dikenakan ke atas rokok dan alkohol, manakala wang itu pula boleh digunakan untuk program dan projek yang lebih bermanfaat untuk awam.

CAP juga menggesa kerajaan supaya melihat semula bagaimana bentuk lain percukaian  terutama sekali cukai kekayaan, cukai keuntungan modal dan cukai hadiah boleh digunakan untuk meningkatkan hasil pendapatan negara, serta membantu merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin.

Cukai kekayaan, sebagai cukai ke atas nilai bersih harta seseorang atau modal, membolehkan kerajaan mengenakan levi ke atas aset individu, sama ada perseorangan atau entiti korporat. Aset ini termasuklah hartanah, deposit bank, saham dan unit amanah. Dengan mengenakan cukai ini, kerajaan berpotensi menjana berbilion ringgit dalam hasil pendapatan. Dikatakan bahawa apa yang cukai kekayaan juga lakukan ialah mengenakan cukai modal yang pasif atau tidak aktif, dengan itu memacu kepada penggunaan yang lebih produktif.

Cukai keuntungan modal dikenakan ke atas keuntungan yang terakru daripada penjualan aset yang nilainya telah meningkat. Ia membolehkan cukai dikenakan ke atas keuntungan yang dibuat melalui penjualan, dan bukannya ke atas jumlah yang dibayar kepada penjual. Ia akan meliputi pemilikan persendirian khusus daripada nilai minimum tertentu, kenderaan, hartanah selain daripada rumah utama seseorang itu, barangan antik, aset perniagaan dan sebagainya.

Cukai hadiah dikenakan levi berdasarkan nilai minimum khusus yang tertentu “hadiah” yang dipindahkan daripada satu pemilik kepada yang lain tanpa membayarnya. Cukai boleh dibayar oleh penyumbang hadiah dan bukan penerima manfaat. Ia juga membantu mencegah meraka yang mahu mewariskan kekayaan mereka kepada seseorang yang lain sebelum dalam wasiat mereka daripada mengelakkan cukai harta. Hadiah daripada penerima tertentu untuk tujuan seperti rawatan perubatan, kebajikan dan pendidikan boleh dikecualikan daripada cukai.

CAP tegas berpendapat bahawa cara terbaik untuk menangani masalah ketidaksamaan kekayaan ini ialah melalui penggunaan percukaian, terutama sekali cukai pewarisan. Sepertimana kata jutawan Warren Buffet: “Tanpa cukai harta, anda akan mempunyai aristokrasi kekayaan, bermaksud anda menurunkan kemampuan untuk menguasai sumber negara berdasarkan keturunan bukannya merit.”

Tidak mungkin untuk merapatkan jurang yang semakin berkembang antara golongan kaya dan miskin jika isu ketidaksamaan kekayaan tidak ditangani dengan segera. Kami menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan dengan serius pelaksanaan cukai pewarisan serta melaksanakan perubahan yang amat diperlukan terhadap cukai khusus yang sedia ada seperti mana yang dijelaskan.

 

Kenyataan Akhbar,  5 September 2017