Kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menjanjikan peningkatan perlindungan bagi spesies terancam di Malaysia disambut baik oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Kami menyokong cadangan yang akan melibatkan memperbesarkan lagi kawasan perlindungan, mendapatkan penglibatan komuniti tempatan, meningkatkan operasi penguatkuasaan untuk memerangi jenayah hidupan liar, memperluaskan lagi kawasan perlindungan marin (MPA), dan kajian semula Akta Perikanan dengan meningkatkan lagi penalti bagi kesalahan yang melibatkan ekosistem dan spesies marin.
Ini adalah langkah pencegahan yang terpuji yang diambil untuk melindungi spesies terancam kita daripada pupus. Laporan mengenai kehadiran gajah yang kerap kelihatan, harimau, harimau kumbang dan haiwan terancam lain menyerlahkan isu penting ini yang mesti ditangani dengan secepat mungkin.
Setiap tahun, beribu-ribu kilometer persegi hutan hilang. Menurut ‘Maklumat Hutan dan Data Malaysia – Hutan Hujan Tropika’, Malaysia kehilangan purata 96,000 hektar, atau 0.43%, setahun antara 1990 dan 2010. Secara keseluruhannya, kehilangan litupan hutan ialah 8.6% atau sekitar 1,920,000 hektar, semasa tempoh 10 tahun.
Ini adalah kebimbangan utama kerana negara masih membangun pada kadar yang pesat. Selain pembangunan, hutan yang tinggal menghadapi ancaman daripada pembalakan haram dan tidak mampan, penghapusan hasil hutan secara haram, dan pencerobohan hutan akibat aktiviti pertanian dan pembandaran.
Kehilangan hutan memberi kesan serius kepada spesies terancam kita. Pada 2009, Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan dibangunkan untuk menggandakan populasi harimau Malaya kepada 1,000 ekor menjelang 2020. Tetapi, bukannya populasi harimau yang meningkat malah menurut anggaran ia menurun dengan ketara kepada kurang daripada 150. Mengapa rancangan itu gagal? Tiada alasan diberikan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab.
Ia memerlukan pemahaman, sokongan dan komitmen kerajaan dan bukannya rancangan untuk usaha pemuliharaan berjaya. Mempunyai kemahuan politik dan kekuatan untuk melaksanakan saranan kajian diperlukan untuk menyelamatkan harimau.
Aktiviti perlombongan di hutan simpan kekal, kawasan sensitif ekologi, dan kawasan perlindungan merupakan ancaman kepada pemuliharaan harimau dan CAP amat bimbang mengenai kelulusan yang diberikan oleh pihak berkuasa untuk perlombongan di kawasan ini.
Sama ada aktiviti dijalankan di dalam atau di sebelah kawasan perlindungan, perlombongan mempunyai beberapa kesan negatif alam sekitar seperti peningkatan konflik manusia-haiwan daripada orang yang tinggal dan bekerja di sekitar lombong, pemburuan liar hidupan liar, pemecahan habitat dan pencemaran.
Kami berharap kerajaan dan agensinya cukup komited untuk mengikuti kajian separuh penggal peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 mengenai perlindungan hidupan liar. Pengiktirafan dan komitmen untuk menyelesaikan masalah berkaitan hidupan liar memerlukan rangka kerja berstruktur dasar yang berhati-hati, pembiayaan operasi dan pengukuhan peranan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Mohideen Abdul Kader
Presiden
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Surat Kepada Pengarang, 25 Oktober 2023