Perlombongan pasir menguntungkan segelintir orang, menjejaskan banyak pihak

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) agak terkejut apabila mendapat tahu sebuah syarikat swasta, Ageson Bhd, telah bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan Bintang Dayang Sdn Bhd (BDSB) bagi pasir sungai dan Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) bagi pasir silika, untuk melombong dan mengeksport 50,000 tan pasir sungai setiap bulan ke China dan Hong Kong menjelang akhir 2020. Perlombongan pasir tersebut jelas mengeksploit sumber Malaysia demi menguntungkan segelintir pihak yang berminat dan beberapa ahli perniagaan di Hong Kong dan China namun tidak menguntungkan rakyat Malaysia sama sekali.

Terdapat pelbagai kajian berdasarkan sains dijalankan di seluruh dunia mengenai kesan buruk perlombongan pasir ke atas struktur ekologi termasuk kepupusan dan kemerosotan habitat, dan kemerosotan mutu alam sekitar seperti suhu air dan hidrolik sungai. Perubahan itu pula berlaku dengan pantas dan sukar untuk dipulihkan.

Sungai dan persekitarannya dihuni oleh pelbagai spesies riparian: ikan, krustasia, memerang, biawak dan burung. Perlombongan pasir akan memusnahkan habitat dan tempat pembiakan haiwan, menjejaskan tanah lembap, selain menyebabkan pencemaran dan banjir. Ia turut dikaitkan dengan gelongsoran tanah dan hakisan tanah pantai dengan lebih cepat melalui pengurangan mendapan yang dihanyutkan oleh sungai ke kawasan pesisir pantai.

Perlombongan pasir juga turut dikaitkan dengan penurunan paras air bawah permukaan tanah dan penenggelaman tanah. Kesan seumpamanya jelas dapat dilihat dalam kes pembinaan ruang bawah tanah Prangin Mall pada 1997. Beberapa bangunan sekitar jalan Pintal Tali, Jalan Sungai Ujong, Jalan Dr. Lim Chwee Leong, Jalan Magazine, Lebuh McNair dan Lebuh Nordin didapati retak pada 1997 apabila paras air direndahkan bagi membina ruang bawah tanah Prangin Mall. Pembaikan bangunan yang terjejas hanya dijalankan apabila paras air menjadi stabil. Ini jelas menunjukkan kepentingan menyelia paras air bawah tanah.

Selain itu terdapat juga kes lemas dalam kolam lombong kerana kegiatan itu mendalamkan sungai, dengan itu meningkatkan kadar aliran dan jumlah air. Pengambilan pasir menambah kekeruhan air dan melepaskan pencemar toksik seperti mangan dan kromium ke dalam sistem air.

Justeru, kami menggesa kerajaan agar membatalkan permit sedia ada, termasuk yang diberi kepada Ageson Bhd, dan menghentikan pemberian permit untuk melombong pasir. Alasannya, Ageson Bhd sahaja dijangka akan mengeksport di antara lima hingga lapan juta tan pasir sungai setahun dengan kontrak selama 15 tahun. Jika diteruskan seperti yang dijangka, Ageson Bhd akan mengeksport 120 juta tan dalam tempoh tersebut, selain ia juga terlibat dalam beberapa kontrak lain untuk mengeskport pasir.

Kenyataan Akhbar, 20 Oktober 2020