Perlu lebih berhati-hati dan telus dalam pembelian vaksin Pfizer

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan persekutuan agar lebih berhati-hati dan bersifat telus berhubung pembelian vaksin Pfizer dalam usaha menangani pandemik COVID-19, kerana kita perlu memastikan penduduk Malaysia memperolehi vaksin yang selamat dan berkesan.

Kami merujuk kepada perjanjian yang ditandatangani oleh kerajaan dengan syarikat Pfizer bagi bekalan vaksin COVID-19. Menurut laporan, jumlah pembelian akan meliputi 20% daripada penduduk Malaysia dengan golongan berisiko tinggi akan diutamakan.

Kami mengalu-alukan syarat yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi pemerolehan dan penggunaan vaksin berkenaan, termasuk Kementerian memantau keberkesanan vaksin itu ke atas kumpulan berisiko tinggi; menilai keberkesanan dan kesan sampingan dan  menilai sama ada vaksin itu juga berkesan untuk imuniti kelompok.

Namun begitu, CAP memandang berat dan risau mengenai soal keselamatan dan keberkesanan yang dibangkitkan di seluruh dunia berhubung generasi pertama vaksin ini, lebih-lebih lagi ia akan disuntik kepada anggota masyarakat yang berisiko tinggi. 

Di Amerika Syarikat (AS) proses kelulusan pemasaran telah dipendekkan disebabkan keperluan segera untuk mendapatkan vaksin tersebut. Komuniti saintifik telah menyuarakan kebimbangan berhubung “emergency use authorisations” (EUAs), termasuk ini akan merumitkan usaha untuk mengkaji kesan-kesan jangka panjangnya.

Sementara Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (US Food and Drug Administration – FDA)  mengeluarkan EUAs yang berasingan untuk diagnostik dan terapi yang disasarkan kepada penyakit berjangkit lain, seperti H1N1 dan Zika, vaksin tidak pernah digunakan untuk orang awam di bawah EUA. Vaksin adalah berbeza daripada produk perubatan lain kerana ia digunakan secara meluas dan membabitkan orang yang sihat, oleh itu takat untuk meluluskannya adalah tinggi.

Itulah sebabnya kenapa CAP berasa ragu-ragu mengenai syarat yang dikenakan oleh Pfizer dalam perjanjian pembelian lebih awal seperti yang ditandatangani dengan Malaysia – iaitu syarikat terlepas daripada liabiliti bagi vaksinnya.

Perlu diingat, Pfizer telah terlibat dalam banyak saman mahkamah yang dikemukakan oleh pengguna dan Jabatan Kehakiman AS membabitkan penipuan dalam penjagaan kesihatan, kegagalan memberi amaran mengenai risiko besar dan pemasaran haram ubat.

Dalam sebarang perjanjian, integriti pihak-pihak yang mengadakan rundingan adalah sangat penting, lebih-lebih lagi dalam situasi ini di mana ia boleh menentukan soal hidup dan mati. Sejarah masa lalu Pfizer tidak begitu baik dalam keadaan ini.

Agak membimbangkan bahawa kerajaan AS telah mengandaikan liabiliti bagi kesan sampingan vaksin. Reuters telah melaporkan di Eropah, pembuat ubat termasuk Pfizer telah berkeras mengenai pelepasan dari tanggungan (indemnity) dari kerajaan jika berlaku kesan sampingan.

CAP ingin tahu jika keadaannya adalah sama bagi Malaysia, iaitu kerajaan akan menanggung segala liabiliti bagi sebarang kesan buruk suntikan vaksin Pfizer. Kami juga ingin bertanya sama ada indemnity ini turut dikehendaki oleh syarikat pengeluar vaksin yang lain ketika berunding dengan kerajaan.

CAP menyertai gesaan yang dibuat oleh pertubuhan masyarakat sivil selain ramai lagi saintis dan pakar kesihatan di seluruh dunia yang memperincikan perjanjian pembelian vaksin di antara kerajaan dan syarikat farmaseutikal perlu didedahkan. Berbilion wang pembayar cukai di Malaysia diketepikan semata-mata untuk membeli vaksin, dan sekiranya liabiliti harus ditanggung oleh kerajaan  maka rakyat sudah pasti membayar sekali lagi dalam ringgit dan nyawa serta kesihatan mereka.

Sekiranya kerajaan telah bersetuju untuk mengecualikan Pfizer dan syarikat lain daripada liabiliti membabitkan kesan sampingan, undang-undang domestik perlu digubal untuk menangani perkara ini, memandangkan ianya bukanlah satu kebiasaan di bawah undang-undang sivil dan jenayah. Adakah ini hasrat kerajaan kita?

Tambahan pula, dalam keadaan di mana kerajaan menghadapi pertikaian dengan Pfizer, adakah pertikaian itu akan didengar dalam mahkamah di Malaysia atau di luar negara? Argentina dilaporkan terpaksa bersetuju dengan tuntutan syarikat farmseutikal bahawa pertikaian akan dibicarakan di luar negara.  Jika syarat sedemikian dituntut dari Malaysia, ia akan mencabuli kedaulatan negara kita.

Selain itu, CAP turut menggesa kerajaan agar menyokong saranan yang dimulakan oleh Afrika Selatan dan India di Pertubuhan Perdagangan Dunia (World Trade Organisation –WTO) untuk mengetepikan pelaksanaan beberapa peruntukan dalam perjanjian hak cipta intelektual, iaitu Perjanjian TRIPs bagi teknologi dan produk perubatan COVID-19 bagi tempoh tertentu.

Dengan ketiadaan klausa TRIPs tersebut, negara-negara terbabit akan mempunyai keupayaan untuk menangguhkan pelaksanaan dan penguatkuasaan hak cipta intelektual sehingga pengurusan COVID-19 dicapai. Ini akan memberi negara-negara ruang dasar yang diperlukan untuk bekerjasama dalam penyelidikan, pembangunan dan pengeluaran, serta meningkatkan dan membekalkan peralatan COVID-19.

Peningkatan dalam pengeluaran vaksin, ubatan dan diagnostik akan menghasilkan persaingan yang lebih hebat, menurunkan harganya dan membuatkan ia mudah diperolehi oleh semua orang.

 

Kenyataan Akhbar, 11hb. Disember 2020