Pada 28 November 2023, kami, wakil dari sembilan buah persatuan penduduk kampung di Marudi, Baram Tengah, Bakong dan Niah telah menghadiri sebuah mesyuarat anjuran Sahabat Alam Malaysia (SAM) di Marudi untuk membincangkan beberapa masalah pembangunan yang dihadapi oleh penduduk kampung-kampung terlibat.
Hasil dari mesyuarat ini, pada hari ini, bersempena dengan perayaan Hari Hak Asasi Manusia 2023, sebuah memorandum akan dihantar kepada kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan persekutuan. Di bawah adalah antara isu yang diketengahkan oleh memorandum ini.
Pertamanya, masalah pencerobohan hak tanah adat (native customary rights, NCR) masih lagi berleluasa. Di Baram, projek perladangan sawit terus dibangunkan di wilayah turun temurun warisan nenek moyang kami tanpa konsultasi dan keizinan komuniti. Ini telah memusnahkan hutan dan kebun-kebun penduduk kampung, termasuklah pelbagai tanaman milik penduduk. Mata pencarian, sumber perubatan dan amalan budaya kami semua telah terjejas teruk akibat dari pencerobohan ini. Ini merupakan tindakan yang sangat kejam dan zalim terhadap kami.
Kedua, akibat dari projek perladangan yang berleluasa dan perubahan iklim, kekerapan banjir telah meningkat dengan buruk sekali di kawasan luar bandar Sarawak, termasuklah di Long Bemang di Sungai Apoh dan Long Panai di Sungai Tutoh.
Ketiga, kami menggesa kerajaan negeri agar melakukan reformasi terhadap tatacara pelantikan ketua-ketua kampung. Sistem hari ini tidak mempunyai keterbukaan, ketelusan dan akauntabiliti yang sepatutnya. Ia telah mencetuskan banyak konflik dalaman dan tuduhan-tuduhan nepotisme, campur tangan politik dan kadangkala korupsi. Pemilihan ketua kampung seharusnya dilakukan dengan konsensus penduduk secara terbuka dan berasaskan merit, seperti cara asal tradisi komuniti, dan bukan atas lantikan pihak kerajaan negeri. Sistem sekarang telah banyak menjejaskan kualiti pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan penting kepada rakyat.
Keempat, kami masih lagi tidak dapat menikmati perkhidmatan kemudahan yang paling asas, yang dinikmati oleh rakyat lain di bandar.
Jaringan jalan pengangkutan darat untuk penduduk di luar bandar masih lagi tidak diselenggara dengan baik, menyulitkan kami untuk mencapai kemudahan awam yang lain, dari perkhidmatan kesihatan ke pendidikan. Tanpa jalan akses yang baik, amat sukar untuk penduduk luar bandar mempertingkatkan taraf sosioekonomi mereka. Kampung-kampung juga masih lagi belum dapat menikmati kemudahan bekalan air bersih, elektrik dan telekomunikasi yang menyeluruh.
Pada musim kemarau, kami terpaksa bergantung kepada tangki simpanan air sebesar 4,000 liter sahaja. Ini sememangnya tidak mencukupi untuk sebuah keluarga jika kemarau berterusan sehingga dua atau tiga minggu. Kami juga terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk mendapatkan bekalan elektrik dengan menggunakan mesin janakuasa sendiri. Semasa situasi kecemasan dan bencana alam, ketiadaan sistem telekomunikasi yang berkesan boleh melibatkan rakyat kehilangan nyawa. Untuk golongan muda dan usahawan, ketiadaan kemudahan internet yang baik juga telah menjejaskan peluang pendidikan dan pembangunan perniagaan mereka.
Kami berasa sedih kerana keadaan situasi hidup kami di luar bandar kini semakin mencabar. Setelah lebih 60 tahun kelahiran Malaysia, hak tanah kami masih lagi tidak terjamin. Proses kepimpinan di kampung-kampung kami telah terjejas teruk akibat sistem lantikan kerajaan yang pincang. Kami masih lagi tidak dapat menikmati perkhidmatan kemudahan yang paling asas.
Oleh itu, kami menggesa agar kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan persekutuan untuk mengambil serius untuk menyelesaikan segala isu yang telah kami kemukakan di dalam memorandum tersebut.
Wakil-wakil persatuan penduduk kampung:
1. Lajen Anyi (Persatuan Penduduk Kampung Long Tepen, Pelutan, Baram)
2. Peter Anak Tom (Persatuan Penduduk Sungai Buri)
3. Bangga Anak Kerdit (Persatuan Penduduk Rh.Lachi anak Bikang, Sebatuk Baru, Suai, Niah)
4. Roseta Anak Mawa (Persatuan Penduduk Logan Entasan, Marudi)
5. Rubin Alah (Persatuan Penduduk Long Pilah, Telang Usan, Miri)
6. Saging Ngau (Persatuan Penduduk Kampung Long Miri, Baram, Sarawak)
7. Robertson Belayong (Persatuan Penduduk Rumah Labang, Nanga Seridan Tinjar Beluru, Miri)
8. Peter Abung (Persatuan Penduduk Kampung Long Lunyim, Sungai Pelutan)
9. Ubin Anak Telajan (Persatuan Penduduk Iban Marudi, Baram)
Surat kepada Pengarang, 10 Disember 2023